Monday 23 May 2022

Eksport Ayam 3.6 Juta Sebulan Dihenti Mulai 1 Jun - PM

Sumber Foto: Dagang Halal.com



Kerajaan Malaysia pada 23 Mei 2022/Isnin mengarahkan eksport sebanyak 3.6 juta ayam sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini, sebagai sebahagian daripada lima pendekatan segera bagi mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.


Perdana Menteri berkata tindakan itu diambil sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil sebagai memberi keutamaan kepada rakyat negara ini.


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan langkah jangka pendek itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2022.


Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi kerajaan yang lain.


Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh : 


KENYATAAN MEDIA : KERAJAAN TEGAS TANGANI ISU BEKALAN DAN HARGA AYAM







Sunday 22 May 2022

Kajian Dapati Harga Makanan Di Malaysia Dijangka Terus Meningkat

   Sumber Foto : Unsplash


Inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.


Firma bank pelaburan itu menerusi cabang penyelidikannya berkata sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia amat terdedah kepada sebarang kejutan global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.


"Inflasi makanan global kekal tinggi terutama harga jagung, bijirin dan sayur-sayuran.


"Bagaimanapun, kami berpendapat tekanan inflasi secara keseluruhannya akan kekal stabil berikutan inflasi bahan api yang berada dalam aliran penurunan," katanya dalam satu nota ekonomi, lapor BERNAMA pada 23 Mei 2022.


Menurut bank pelaburan itu, penyusutan inflasi bahan api akan menampung kenaikan inflasi makanan dengan mengandaikan kerajaan mengekalkan had harga semasa minyak RON95 dan diesel.


"Dalam laporan 'Oil Exports Rebound & Inflation Concerns,' kami telah mengunjurkan bahawa inflasi keseluruhan Malaysia akan kekal di bawah tiga peratus biarpun sekiranya purata inflasi makanan pada lima peratus manakala harga bahan api semasa pada paras sedia ada.


"Namun, jika purata inflasi makanan melonjak kepada 10 peratus, purata inflasi keseluruhan akan berada pada 4.6 peratus," katanya.


Menurutnya, dalam senario buruk, purata inflasi keseluruhan diunjurkan pada 8.9 peratus sekiranya kerajaan memilih untuk mengapungkan harga bahan api, manakala purata inflasi makanan pada 10 peratus.


Monday 16 May 2022

Maybank Perkenal Pengeluaran Tunai Guna ATM Tanpa Sentuh

   Sumber Imej: Tangkap layar Youtube Maybank


PERBANKAN | Maybank menambah satu lagi perkhidmatan perintis dalam penawaran perbankan digital menerusi pengenalan pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh yang boleh digunakan melalui aplikasi MAE di ATM terpilih di seluruh negara.


Ia disasarkan untuk mempertingkatkan kemudahan kepada lebih 12 juta pemegang kad ATM, selaras dengan gaya hidup dalam norma baharu dan menikmati akses yang lebih berdaya digital berbanding perkhidmatan perbankan tradisional.


Pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan ini di kira-kira 1,000 ATM, yang akan tertera petanda ketersediaan perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh di mesin.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya dalam kenyataan media pada 17 Mei 2022/Selasa berkata Maybank menerajui perbankan digital selama bertahun-tahun, membawa pelbagai penyelesaian inovatif kepada pasaran untuk kemudahan pelanggan.


Datuk Khairussaleh Ramli menjelaskan ini pada mulanya didorong oleh Pelan Maybank2020 yang merangkumi aspirasi kumpulan untuk menjadi bank digital pilihan di rantau ini. 


"Kami kini telah maju ke fasa pembangunan digital seterusnya yang berpandukan Pelan M25, lima tahun terbaharu dan disandarkan pada misi untuk 'Menginsankan Perkhidmatan Kewangan'.


"Di bawah pelan ini, kami mempunyai keutamaan strategik yang dedikasi, digital secara meluas, bagi memastikan teknologi terus dimanfaatkan dalam membawa penyelesaian digital yang bermakna kepada pemegang berkepentingan daripada semua segmen perniagaan dan komuniti di seluruh rantau ini.


"Perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh baharu adalah satu lagi langkah dalam penawaran holistik perkhidmatan perbankan digital yang mana kami adalah perintis selama ini," katanya dalam satu kenyataan.


Khairussaleh berkata, perkhidmatan terbaharu itu juga muncul berikutan banyak perkhidmatan terkemuka yang perkenalkan Maybank baru-baru ini sebagai sebahagian daripada tawaran perbankan digital.


"Kami yakin akan terus menawarkan lebih banyak lagi perkhidmatan digital pada bulan-bulan berikutnya," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, berkata tumpuan kumpulan dalam membina keupayaan digital telah membolehkannya untuk terus berada di hadapan dan terus berkhidmat kepada pelanggan dan segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan, terutama semasa penularan pandemik.


Datuk John Chong menjelaskan perkhidmatan baharu itu mengesahkan kekuatan Maybank sebagai bank digital di samping peranan sebagai bank tradisional.


"Kami dapat mereka bentuk aplikasi gaya hidup sendiri, memperkenalkan penyelesaian pembiayaan digital di Malaysia merentasi segmen runcit dan bukan runcit untuk produk seperti pinjaman perumahan, pembiayaan peribadi dan PKS, selain membenarkan proses KYC (kenali pelanggan anda) dijalankan secara digital di Singapura, Indonesia dan Filipina," katanya.


Chong berkata, pengeluaran ATM tanpa sentuh bukan sahaja akan meningkatkan keselesaan kepada pelanggan malah memastikan mereka dapat menikmati rangkaian penyelesaian digital yang komprehensif melalui satu aplikasi iaitu MAE.


"Untuk membuat pengeluaran tunai, pengguna hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) pada skrin ATM Maybank terpilih menggunakan aplikasi MAE, masukkan jumlah, berikan PIN atau pengesahan biometrik dalam aplikasi dan terima wang tunai daripada ATM.


"Pengenalan perkhidmatan pengeluaran tanpa sentuh juga didorong oleh usaha bank untuk memastikan keselamatan pelanggan, memandangkan pelanggan tidak perlu menyentuh sebarang permukaan luaran secara fizikal, kecuali semasa menerima wang tunai yang dikeluarkan daripada ATM," katanya.


Mana-mana pemegang kad ATM Maybank boleh memuat turun aplikasi MAE dan mendaftar untuk perkhidmatan baharu ini.


Had pengeluaran tunai yang boleh ditetapkan oleh pelanggan melalui aplikasi MAE adalah had bersama dengan had kad ATM fizikal.


Panduan langkah demi langkah mengenai perkhidmatan pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh Maybank boleh dilihat pada pautan https://youtu.be/lymZomz2duo .

The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...