Wednesday 23 June 2021

Industri Automotif Dijangka Hilang Pendapatan RM3.44 Bilion


BISNES AUTO: Hampir tiada kereta dijangka dapat dijual bulan ini berikutan penutupan bilik pameran dan pengeluaran diberhentikan semasa fasa pertama sekatan pergerakan penuh bermula sejak 1 Jun lalu.

Berdasarkan purata harga jualan kenderaan RM70,000 seunit di Malaysia, industri automotif negara dianggar kehilangan pendapatan sekitar RM3.44 bilion pada Jun jika jangkaan tiada jualan direkodkan bulan ini, lapor BH Online pada 23 Jun 2021/Rabu.

Walaupun kebanyakan pengeluar memperkenalkan platform pembelian dalam talian termasuk e-showroom, kekangan proses dokumentasi bagi pinjaman dan pendaftaran boleh menjadi penyebab urusan jual beli mungkin tertangguh.

Menurut Kenanga Research dalam nota penyelidikan, hanya beberapa unit dapat didaftarkan menerusi sistem e-Daftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembelian kenderaan dengan pinjamannya telah dipersetujui menerusi surat aku janji (LOU).

"Penyelesaian pendaftaran adalah penting untuk mengelak perjanjian tidak luput, yang apabila terjadi memerlukan proses dilakukan sekali lagi," katanya.

Dalam kenyataan ringkas kepada BH, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata jangkaan tanpa jualan mungkin berlaku ketika semua bilik pameran dan rantaian pengeluaran ditutup sementara dengan kekurangan cip komputer juga menjejaskan beberapa pengeluar.

"Jika ada stok di bilik pameran, kakitangan masih boleh mendaftar dengan JPJ dalam talian. Bagaimanapun, saya tidak fikir ia akan membabitkan jumlah yang besar," katanya.

Jualan kenderaan merosot 19 peratus kepada 46,663 unit pada Mei, berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

MAA berkata, jualan bulan lalu lebih rendah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari pertengahan hingga akhir Mei.

Menurut persatuan itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Mei lebih rendah disebabkan PKP 3.0, bulan bekerja lebih singkat berikutan cuti umum Aidilfitri dan kekurangan cip komputer yang menjejaskan jualan beberapa pengeluar.

Setakat Januari hingga Mei, TIV automotif tempatan berada pada 245,932 unit berbanding 128,790 unit dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Mengikut pecahan, kenderaan penumpang mencatatkan jualan 41,988 unit pada Mei, manakala kenderaan komersial 4,675 unit.

Dalam kenyataan sebelum ini, MAA berkata, jualan bulan ini dijangka minimum disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang menyaksikan bilik pameran tidak dibenarkan dibuka.

Malah, kebanyakan agensi kerajaan seperti JPJ, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ditutup atau beroperasi dengan jumlah kakitangan yang minimum.

Sementara itu, Kenanga Research berkata, walaupun berdepan kemungkinan tiada jualan direkodkan bulan ini, firma penyelidik itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan sasaran TIV tahun ini 545,000 unit.

"Sasaran pertumbuhan TIV tahun ini yang tiga peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu akan dipacu lanjutan pengecualian cukai jualan kereta penumpang sehingga akhir tahun ini.

"Sasaran ini dapat dicapai meskipun jualan terjejas akibat penutupan bilik pameran dan pengeluaran dihentikan ketika tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama.

"Ia akan diimbangi bekalan mencukupi bagi model baharu untuk memperoleh margin lebih baik," katanya.

Penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam, berkata firma penyelidik itu masih menjangkakan perolehan sektor automotif kembali melonjak dengan pertumbuhan keuntungan bersih 34 peratus lebih tinggi tahun ini.

"Kami juga menjangkakan jualan pada bulan ini adalah minimum. Namun, kami tetap meramalkan TIV pada separuh kedua tahun ini lebih kukuh disokong pengecualian cukai kereta penumpang.

"Bagaimanapun, kami juga melihat kemungkinan kejatuhan berpotensi 10 peratus dalam unjuran TIV, jika kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh sehingga Julai," katanya dalam nota penyelidikan.

Bagi Penganalisis TA Securities, Angeline Chin, pelaksanaan program vaksinasi yang berkesan menjadi petanda baik kepada jualan kenderaan.

"Jualan juga akan meraih momentum hasil pemulihan ekonomi, persekitaran kadar faedah yang akomodatif dan pelancaran model baharu.

"Kami meramalkan TIV tahun ini kekal kepada 627,000 iaitu 18.4 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu. Secara keseluruhannya, kami mengharapkan sektor automotif berprestasi lebih baik pada 2021, berkat insentif cukai," katanya.

Sumber: BH ONLINE/23 JUN 2021

TAGS: AUTOMOTIF - PKP


Monday 21 June 2021

Axiata, Telenor, Digi Meterai Perjanjian Bergabung, Jangka Pendapatan RM12.4 Bilion


  Grafik: Astro Awani

BISNES | Axiata Group Bhd (Axiata), Telenor Asia Pte Ltd (Telenor) dan Digi.Com Bhd (Digi) memuktamadkan kajian daya maju pelaburan dan memeterai perjanjian transaksi bagi pelaksanaan cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi (MergeCo).

BH Online pada 21 Jun 2021/Isnin melaporkan pemeteraian perjanjian transaksi itu pada 21 Jun 2021 mengesahkan hasrat untuk mewujudkan penyedia perkhidmatan bersepadu digital yang lebih utuh dan lebih berdaya tahan, dan menjadi peneraju pengendali telekomunikasi Malaysia dalam memacu cita-cita digital negara ini.

Berdasarkan asas proforma, MergeCo dijangka mempunyai pelanggan kira-kira 19 juta dengan pendapatan sebanyak RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai RM1.9 bilion dan aliran tunai sejumlah RM4.0 bilion.

Penggabungan Celcom-Digi akan menyaksikan Axiata dan Telenor masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan dan syarikat bergabung itu akan terus disenarai di Bursa Malaysia Securities Bhd.

"Dijangka menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa dari segi permodalan pasaran, MergeCo dinilai pada nilai ekuiti pra-sinergi yang digabungkan mencecah kira-kira RM50 bilion," katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Axiata dan Telenor.

Axiata dan Telenor berkata, fasa perancangan integrasi akan merangkumi kerja terperinci mengenai sinergi dan rancangan perniagaan MergeCo, dan anggaran awal menunjukkan peningkatan nilai berpotensi melalui sinergi kos dan perbelanjaan modal sekitar RM8 bilion berdasarkan nilai asas kini bersih.

Ia berkata, MergeCo akan menyaksikan gabungan skala, pengalaman, kecekapan dan kekuatan kewangan kedua-dua kumpulan telekomunikasi global itu dengan pengetahuan pasaran dua syarikat tempatan yang utuh.

"Kedudukannya yang unik untuk menangani peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dan jangkaan penyambungan yang lebih baik, MergeCo akan mempunyai keupayaan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi dan menarik perkongsian berasaskan internet global untuk memberikan pelbagai penyelesaian inovatif untuk pelanggannya.

"Ia dalam kedudukan baik untuk melaksanakan teknologi digital bila 5G, Internet untuk Segalanya (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berawan secara bersama mempercepatkan digitalisasi merentasi semua masyarakat," katanya.

MergeCo juga menyasarkan untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun dalam membangunkan Pusat Inovasi bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur dengan sasaran memacu transformasi digital Revolusi Industri 4.0 (4IR), mengukuhkan ekosistem tempatan dan menjadikan Malaysia di barisan hadapan evolusi digital global.

Dalam memanfaatkan peluang baharu dalam ekonomi digital, Pusat Inovasi itu akan melakukan penyelidikan dan pembangunan yang luas, membangunkan kes penggunaan 5G, menyokong syarikat permulaan digital tempatan, dan menyediakan platform untuk memupuk tenaga kerja berasaskan pengetahuan selaras dengan aspirasi MyDIGITAL.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris, berkata cadangan penggabungan berjalan lancar dan sejajar dengan hasratnya untuk memberikan cadangan nilai mantap yang membolehkan pelanggan mengambil bahagian lebih yakin dengan negara beralih ke arah ekonomi digital.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menyampaikan nilai dan pilihan yang lebih baik untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam merapatkan jurang di kawasan luar bandar dan membantu perniagaan Rumah dan Perusahaan memanfaatkan peluang baharu dalam persekitaran digital yang dipercepatkan.

"Dengan andaian peralihan yang lancar, tempoh pasca integrasi, kami menjangkakan peningkatan dalam EBITDA dan marjin aliran tunai dalam entiti digabungkan sejajar dengan komitmen berterusan kami untuk memaksimumkan pembayaran dividen untuk pemegang saham kami," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Asia dalam Telenor Group, Jørgen A. Rostrup, berkata pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Axiata untuk merealisasikan potensi cadangan penggabungan.

Beliau berkata, industri telekomunikasi berada di awal peralihan digital yang menarik, dan teknologi baharu akan mengubah cara pembangunan dan penyampaian perkhidmatan untuk sektor swasta dan awam.

"Dengan penggabungan ini, kami menggabungkan kecekapan, pengukuhan kewangan dan skala untuk melangkaui penyambungan dan melaksanakan teknologi yang terus meningkatkan pengalaman digital pelanggan kami," katanya.

Dalam pengumuman sebelum ini, Axiata dan Telenor bersetuju Izzaddin menjadi Pengerusi dan Rostrup sebagai Timbalan Pengerusi MergeCo, yang mana akan dinamakan sebagai Celcom Digi Bhd sebaik saja diluluskan pemegang saham, sementara

Idham Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Albern Murty sebagai Timbalan CEO.

Sementara itu, dari aspek kepentingan nasional, Axiata dan pemegang saham institusi utama Malaysia dijangka memiliki lebih 51 peratus MergeCo selepas proses penggabungan selesai.

Kedua-dua pihak komited untuk melindungi kesejahteraan pekerja tanpa pemberhentian secara paksa.

Setelah selesai, Axiata akan menerima terbitan saham biasa baharu dalam Digi, mewakili 33.1 peratus daripada modal saham terbitan Digi yang diperbesarkan, pertimbangan tunai sebanyak RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion dari Digi sebagai hutang dalam MergeCo dan kira-kira RM300 juta dari Telenor sebagai sebahagian daripada kesamarataan pemilikan di bawah syarat penggabungan yang dicadangkan.

Cadangan penggabungan itu dijangka selesai suku kedua 2022, tertakluk kepada kelulusan yang berkaitan.

Sumber: BH Online/21 Jun 2021

Wednesday 16 June 2021

Industri Hotel Rugi Lebih RM5 Bilion, Inap Desa Turun Pendapatan 90 Peratus

   Foto Sumber: Pexels


BISNES |  Dalam tempoh enam bulan tahun 2021 industri perhotelan Malaysia dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 bilion berikutan sekatan pergerakan bagi membendung perebakan wabak Covid-19.

BH Online dalam laporannya pada 16 Jun 2021 menyatakan anggaran itu berdasarkan kadar penghunian rendah iaitu purata 21 peratus pada Januari, 17 peratus pada Februari dan 27 peratus masing-masing pada Mac serta April lalu yang kebanyakannya adalah bagi keperluan kuarantin.

Sementara itu, kadar penghunian pada Mei hanya 18 peratus dan purata bagi bulan ini dijangka di bawah 15 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, berkata sehingga bulan ini, lebih 91 hotel terpaksa menutup sementara operasinya, manakala dua hotel sudah ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata, walaupun kadar pengoperasian hotel ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih tinggi sekitar 71 peratus, kebanyakannya hanya bergantung kepada keperluan kuarantin dan tetamu dalam sektor perkhidmatan penting.

"Pengurangan pendapatan ini juga akan mengakibatkan hotel terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos dan kesannya adalah kepada pekerja.

"Dalam tinjauan MAH baru-baru ini, hampir 28 peratus hotel mengurangkan pekerja lebih daripada separuh, manakala 51 peratus melaksanakan pembuangan pekerja.

"Trend ini sangat membimbangkan, memberi isyarat lebih banyak kehilangan tenaga kerja berkemahiran, sekali gus menimbulkan persoalan lebih besar bagaimana industri akan pulih apabila tiba masanya," katanya, lapor BH Online.

Mengulas lanjut, Lip Seng berkata, sektor perhotelan dijangka kembali pulih pada 2022 menerusi pelaksanaan pelbagai pelan pemulihan.

Beliau berkata, MAH percaya sektor itu lebih bersedia pada 2022 dan mungkin dapat bergerak lebih maju.

Katanya, industri hotel mengunjurkan kadar purata kepenghunian pada 2022 meningkat kepada 35 peratus.

"Walaupun peningkatan yang sedikit dan akan menghasilkan satu lagi tahun kerugian, ia sekurang-kurangnya mencatatkan peningkatan berbanding kini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan, berkata sektor inap desa mengalami penurunan pendapatan lebih 90 peratus ketika COVID-19 melanda negara tahun lalu.

Beliau berkata, ia terus terjejas tahun ini selepas kerajaan melaksanakan PKP 3.0 dan belum ada kepastian mengenai tarikh pembukaan sempadan negara.

Katanya, perkembangan itu merisaukan kerana ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) bagi inap desa.

"Pada 2019, pendapatan inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) adalah lebih RM30 juta sebelum turun mendadak kepada kurang RM1 juta pada 2020.

"Tahun ini sekali lagi mereka berdepan kerugian. Malah, ada yang terpaksa menutup operasi atau beralih kepada pekerjaan lain.

"Kebanyakan pengusaha inap desa adalah golongan B40. Apabila perkara ini terjadi, ia memberi bebanan lebih tinggi kepada mereka," katanya.

Sahariman berkata, hampir 80 peratus sektor inap desa bergantung kepada pelancong asing dan penutupan sempadan berterusan menyukarkan sektor untuk segera pulih.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein, berkata kebanyakan operasi hotel bajet terpaksa ditutup kerana ketiadaan tetamu serta tidak layak dijadikan lokasi kuarantin COVID-19.

Beliau berkata, hotel bajet ketika ini hanya beroperasi untuk tujuan kuarantin atau penginapan tetamu sektor penting negara saja.

"Namun, banyak hotel bajet tidak menepati kelayakan dijadikan pusat kuarantin. Lantaran itu, banyak yang terpaksa menutup operasi sementara bagi penjimatan kos.

"Tidak dinafikan berkemungkinan besar ada yang terpaksa gulung tikar jika keadaan ini berlarutan," katanya.

Sumber: BH Online/ 16 Jun 2021

Thursday 3 June 2021

Stable HarmonyOS 2 Update Rolling Out For These 18 Huawei Devices [LIST]

 Photo by: Huawei Central

On June 2, Huawei launched the HarmonyOS operating system, which comes with many new features and is designed for the internet of everything era.

Along with the unveiling, Huawei also launched the HarmonyOS beta campaign of its devices. On the other hand, some devices are eligible to get a direct ticket for an upgrade over the official version of HarmonyOS.

However, these devices are one of the earliest adopted models for the HarmonyOS 2.0 developer beta program and received test software builds via OTA upgrades.

After 6 months of the HarmonyOS 2.0 beta testing program, Huawei has finally announced the list of 18 devices including flagship smartphones and tablets, which are eligible to get their hands on the stable HarmonyOS 2.0 version.

Still, HarmonyOS’s rollout is limited to the Chinese models and may soon be opened for global consumers.

These devices receiving stable HarmonyOS from June 2:

Huawei Mate 40

Huawei Mate 40 Pro

Huawei Mate 40 Pro+

Huawei Mate 40 RS Porsche Design

Huawei Mate 40E

Huawei Mate X2

Huawei P40

Huawei P40 4G

Huawei P40 Pro

Huawei P40 Pro Plus

Huawei Mate 30 Pro 4G

Huawei Mate 30 Pro 5G

Huawei Mate 30E Pro 5G

Huawei Mate 30 RS Porsche Design

Huawei Mate 30 4G

Huawei Mate 30 5G

Huawei MatePad Pro WiFi

Huawei MatePad Pro 5G


NOTE:

This plan will first apply to the Chinese models only.

SOURCE: https://www.huaweicentral.com/


AirAsia X Sedia Penerbangan Penghantaran Pulang KL-Sydney


   Foto: Air Asia

AirAsia X akan menyediakan perkhidmatan penerbangan penghantaran pulang antara Kuala Lumpur dan Sydney, Australia bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail, berkata penerbangan berkenaan kini boleh ditempah di airasia super app dan laman web airasia.com tertakluk pada ketersediaan dan berdasarkan permintaan.

"Kami memahami bahawa ramai orang menghadapi kesukaran untuk perjalanan pulang ke negara mereka kerana penerbangan adalah terhad berikutan pandemik semasa.

"Justeru, kami berbesar hati untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan khas ini untuk tujuan repatriasi dan membantu membawa mereka pulang terutama sekali dalam keadaan yang mencabar ini.

"Oleh kerana tempat duduk adalah terhad, kami menasihatkan tetamu untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan membuat tempahan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada 3 Jun/ Khamis.

Syarikat penerbangan itu berkata, buat masa ini, hanya dua penerbangan pergi balik tersedia pada bulan Jun iaitu dari Kuala Lumpur ke Sydney pada pada 6 dan 13 Jun, 2021 manakala dari Sydney ke Kuala Lumpur adalah pada 7 dan 14 Jun 2021.

"Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sydney akan ditambah tidak lama lagi.

"Pelanggan juga perlu memastikan bahawa mereka memahami syarat sekatan perjalanan tertentu dan mempunyai kelulusan yang relevan oleh pihak berkuasa sebelum melakukan perjalanan, termasuk mengemukakan dokumen perjalanan seperti yang diminta oleh pihak berkuasa tempatan.

"Peraturan kuarantin juga akan dikenakan semasa ketibaan," katanya.

Sumber: BERNAMA/3 JUN 2021

Wednesday 2 June 2021

NASA Umum Dua Misi Baharu RM2.06 Bilion Ke Zuhrah Pelajari Persekitaran


    Foto: NASA

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan dua misi baharu ke Zuhrah, pada 2 Jun yang akan dilancarkan penghujung dekad ini, lapor AFP pada 3 Jun 2021.

Sasaran misi berkenaan antara lain terarah kepada matlamat untuk mempelajari persekitaran planet berdekatan yang tidak menyediakan persekitaran terbaik bagi kehidupan, berbanding keadaan kondusif yang wujud di Bumi.

Pentadbir baharu NASA, Bill Nelson, ketika mengumumkan perkara itu berkata pelancaran kedua-dua misi berkenaan mempunyai tujuan terperinci, iaitu bagi memahami sains di sebalik persekitaran yang sangat panas di Zuhrah, sehingga berupaya meleburkan plumbum di permukaan.

"Mereka akan menawarkan peluang kepada keseluruhan komuniti sains untuk menyiasat sebuah planet yang kita sudah tidak kunjungi lebih 30 tahun," katanya.

Misi berkenaan diperuntukkan sekitar AS$500 juta (RM2.06 bilion) menerusi Program Penerokaan NASA, dan setiap satunya dijangka dilancarkan dalam tempoh antara 2028 hingga 2030.

Kedua-dua misi dipilih bersandarkan proses penilaian bersama yang dibuat secara kompetitif, selain nilai sains dan kebolehlaksanaan pelan berkenaan.

DAVINCI+ yang bermaksud Penyiasatan Atmosfera Dalaman Zuhrah mengenai Gas Lengai, Kimia dan Pengimejan, bakal mengumpulkan perincian berhubung kandungan karbon dioksida pada atmosfera Zuhrah, bagi meneroka aspek pembentukan dan evolusinya.

Misi itu turut menggariskan matlamat untuk menentukan sama ada planet berkenaan pernah mempunyai permukaan laut sebelum ini.

Suatu alat berbentuk sfera akan diturunkan ke dalam atmosfera penuh tumpat di Zuhrah yang dilitupi awan asid sulfurik.

Ia akan mengukur secara terperinci paras gas lengai dan elemen lain di dalam planet berkenaan, sekali gus membolehkan pengkaji memahami punca di sebalik kesan rumah hijau seperti yang berlaku ketika ini.

DAVINCI+ juga akan memancarkan imej beresolusi tinggi pertama 'tesserae' Zuhrah, iaitu ciri geologi yang hampir sama dengan benua di Bumi yang memberi gambaran bahawa Zuhrah juga mempunyai kerak tektonik.

Keputusan itu berupaya menyuntik pemahaman dalam kalangan saintis mengenai pembentukan permukaan planet.

Misi lain dikenali sebagai VERITAS, iaitu singkatan kepada Kadar Radiasi Zuhrah, Sains Radio, InSAR, Topografi dan SpektroskopiIa antara lain menggariskan matlamat untuk memetakan keseluruhan permukaan Zuhrah, iaitu dari orbit sehingga mencakupi aspek sejarah geologi planet berkenaan.

Menggunakan sejenis radar bagi menghasilkan pembinaan tiga dimensi, ia akan memberikan ketinggian permukaan planet dan mengesahkan sama ada gunung berapi dan gempa bumi masih berlaku di Zuhrah.

Imbasan sinar infra merah juga akan digunakan untuk menentukan jenis batuan, yang sehingga kini tidak diketahui umum, dan sama ada gunung berapi aktif di planet berkenaan melepaskan wap air ke lapisan atmosfera.

Tatkala misi berkenaan diterajui NASA, Pusat Aeroangkasa Jerman akan menyediakan pemetaan sinar infra merah, manakala Agensi Angkasa Itali dan France's Centre National d'Etudes Spatiales bakal menyumbangkan radar serta komponen lain bagi misi terbabit.

Saintis Program Penerokaan NASA, Tom Wagner, ketika mengulas berhubung pelan pelancaran misi itu menzahirkan keterujaan mengenai tahap pengetahuan manusia mengenai Zuhrah.

"Memang sukar untuk kita nafikan bahawa terlalu sedikit yang kita ketahui mengenai Zuhrah, tetapi hasil misi secara bersama ini berupaya memberi pencerahan berhubung pelbagai perkara.

"Dari awan di langit Zuhrah sehingga gunung berapi pada permukaan dan kandungan pada teras planetnya dapat kita rungkaikan.

"Ia seolah-olah kita bakal menjalankan penerokaan semula planet ini," katanya.

Kali terakhir kapal misi NASA melakukan penerokaan angkasa lepas di Zuhrah, ialah menerusi Magellan, yang mendarat pada 1990, namun beberapa kapal angkasa lain turut melakukan penerbangan melepasi Zuhrah selepas itu. 

SUMBER: AFP/3 JUN 2021

The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...