Wednesday, 16 June 2021

Industri Hotel Rugi Lebih RM5 Bilion, Inap Desa Turun Pendapatan 90 Peratus

   Foto Sumber: Pexels


BISNES |  Dalam tempoh enam bulan tahun 2021 industri perhotelan Malaysia dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 bilion berikutan sekatan pergerakan bagi membendung perebakan wabak Covid-19.

BH Online dalam laporannya pada 16 Jun 2021 menyatakan anggaran itu berdasarkan kadar penghunian rendah iaitu purata 21 peratus pada Januari, 17 peratus pada Februari dan 27 peratus masing-masing pada Mac serta April lalu yang kebanyakannya adalah bagi keperluan kuarantin.

Sementara itu, kadar penghunian pada Mei hanya 18 peratus dan purata bagi bulan ini dijangka di bawah 15 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, berkata sehingga bulan ini, lebih 91 hotel terpaksa menutup sementara operasinya, manakala dua hotel sudah ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata, walaupun kadar pengoperasian hotel ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih tinggi sekitar 71 peratus, kebanyakannya hanya bergantung kepada keperluan kuarantin dan tetamu dalam sektor perkhidmatan penting.

"Pengurangan pendapatan ini juga akan mengakibatkan hotel terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos dan kesannya adalah kepada pekerja.

"Dalam tinjauan MAH baru-baru ini, hampir 28 peratus hotel mengurangkan pekerja lebih daripada separuh, manakala 51 peratus melaksanakan pembuangan pekerja.

"Trend ini sangat membimbangkan, memberi isyarat lebih banyak kehilangan tenaga kerja berkemahiran, sekali gus menimbulkan persoalan lebih besar bagaimana industri akan pulih apabila tiba masanya," katanya, lapor BH Online.

Mengulas lanjut, Lip Seng berkata, sektor perhotelan dijangka kembali pulih pada 2022 menerusi pelaksanaan pelbagai pelan pemulihan.

Beliau berkata, MAH percaya sektor itu lebih bersedia pada 2022 dan mungkin dapat bergerak lebih maju.

Katanya, industri hotel mengunjurkan kadar purata kepenghunian pada 2022 meningkat kepada 35 peratus.

"Walaupun peningkatan yang sedikit dan akan menghasilkan satu lagi tahun kerugian, ia sekurang-kurangnya mencatatkan peningkatan berbanding kini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan, berkata sektor inap desa mengalami penurunan pendapatan lebih 90 peratus ketika COVID-19 melanda negara tahun lalu.

Beliau berkata, ia terus terjejas tahun ini selepas kerajaan melaksanakan PKP 3.0 dan belum ada kepastian mengenai tarikh pembukaan sempadan negara.

Katanya, perkembangan itu merisaukan kerana ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) bagi inap desa.

"Pada 2019, pendapatan inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) adalah lebih RM30 juta sebelum turun mendadak kepada kurang RM1 juta pada 2020.

"Tahun ini sekali lagi mereka berdepan kerugian. Malah, ada yang terpaksa menutup operasi atau beralih kepada pekerjaan lain.

"Kebanyakan pengusaha inap desa adalah golongan B40. Apabila perkara ini terjadi, ia memberi bebanan lebih tinggi kepada mereka," katanya.

Sahariman berkata, hampir 80 peratus sektor inap desa bergantung kepada pelancong asing dan penutupan sempadan berterusan menyukarkan sektor untuk segera pulih.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein, berkata kebanyakan operasi hotel bajet terpaksa ditutup kerana ketiadaan tetamu serta tidak layak dijadikan lokasi kuarantin COVID-19.

Beliau berkata, hotel bajet ketika ini hanya beroperasi untuk tujuan kuarantin atau penginapan tetamu sektor penting negara saja.

"Namun, banyak hotel bajet tidak menepati kelayakan dijadikan pusat kuarantin. Lantaran itu, banyak yang terpaksa menutup operasi sementara bagi penjimatan kos.

"Tidak dinafikan berkemungkinan besar ada yang terpaksa gulung tikar jika keadaan ini berlarutan," katanya.

Sumber: BH Online/ 16 Jun 2021

No comments:

Post a Comment

Understanding Air Turbulence and How Passengers Can Stay Safe

      AI image generated by : Mohd Ezli Mashut By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT ChatGPT can make mistakes. Check important info.  Introdu...