Friday 21 October 2022

Kajian Ramal Bank Negara Bakal Umum Satu Lagi Kenaikan OPR


   Bank Negara Malaysia


KEWANGAN | Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi pada November 2022 berikutan Indeks Harga Pengguna (IHP) teras yang kukuh dicatatkan pada September, menurut MIDF Research.


Firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik terus mengukuh apabila kadar inflasi teras kembali mencecah paras tertinggi baharu pada 4.0 peratus tahun ke tahun pada September 2022 manakala harga teras masih meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan.


Bagaimanapun, inflasi keseluruhan merosot kepada 4.5 peratus tahun ke tahun manakala inflasi bukan makanan dan inflasi makanan, masing-masing susut kepada 3.3 peratus dan 6.8 peratus.


MIDF Research menjangka tekanan inflasi di Malaysia sederhana selepas Ogos 2022, terutamanya dengan pembetulan untuk harga komoditi global dan tekanan rantaian bekalan yang berkurangan di peringkat domestik dan serantau, lapor BERNAMA pada 21 Oktober 2022.


Ia menaikkan sedikit unjuran IHP keseluruhannya kepada 3.0 peratus untuk 2022.


"Dalam persekitaran harga komoditi global yang meningkat, tekanan inflasi di Malaysia terjejas oleh inflasi makanan yang tinggi.



"Kami menjangka harga makanan akan meningkat 5.5 peratus pada tahun ini, antara lain berikutan penyusutan ringgit berbanding dolar AS," katanya.


Menjelang 2023, MIDF Research berkata, faktor pendorong bekalan terhadap inflasi dijangka berkurangan, disokong oleh kenaikan ringgit berbanding dolar AS, harga makanan yang sederhana, kelonggaran dalam rantaian bekalan global dan harga komoditi yang rendah.


Bagaimanapun, prospek inflasi Malaysia kekal suram pada tahun depan, menantikan pendekatan kerajaan baharu mengenai mekanisme subsidi bahan api selepas pilihan raya umum (PRU).


"Jika kerajaan baharu mengekalkan 'status quo' berhubung subsidi bahan api, inflasi keseluruhan akan berada antara 2.3 peratus dan 2.5 peratus pada 2023.


"Jika mekanisme subsidi dimansuhkan sepenuhnya, inflasi keseluruhan boleh mencecah 10 peratus manakala harga bahan api runcit domestik akan menyaksikan kenaikan empat hingga 5 peratus pada tahun depan," katanya.


Tuesday 11 October 2022

Harga Minyak Sawit Jatuh Hampir 50 Peratus Sejak April - Kajian Public Invest

Sumber Foto : Portal Berita RTM


KOMODITI | Harga minyak sawit mentah (MSM) menjunam kira-kira 47.5 peratus sejak mencecah paras kemuncak RM7,104 satu tan pada April 2022, kata Penganalisis Public Invest Research.


Dalam nota penyeldikan Chong Hoe Leong, berkata kenaikan inventori sawit berkemungkinan  memberikan tekanan selanjutnya kepada penurunan harga MSM dalam beberapa bulan akan datang dengan pengeluaran dijangka memuncak dalam tempoh dua bulan lagi.


Beliau berkata, inventori minyak sawit Malaysia meningkat kepada setinggi 2.31 juta tan pada September, 10.5 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya dan naik sebanyak 31.8 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, berikutan peningkatan pengeluaran serta penggunaan domestik yang lebih lemah.


"Pada masa ini, niaga hadapan MSM jatuh sebanyak RM145 satu tan kepada RM3,692 satu tan. Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan," katanya.


Hoe Leong berkata, inventori sawit yang lebih tinggi daripada jangkaan itu juga adalah paras tertinggi sejak Oktober 2019, menjadikan kenaikan bulan keempat berturut-turut.


"Nisbah stok berbanding penggunaan meningkat daripada 11.1 peratus kepada 11.5 peratus," katanya.


Sementara itu, eksport minyak sawit pada September meningkat 9.3 peratus kepada 1.42 juta tan, disokong oleh kenaikan 109 peratus eksport ke China dan 57.1 peratus ke Amerika Syarikat (AS).


Bagaimanapun, berikutan persaingan lebih sengit daripada Indonesia, eksport lebih lemah dicatatkan bagi Kesatuan Eropah atau EU (-36 peratus), India (-21 peratus) dan Pakistan (-39 peratus).


Pengeluaran minyak sawit pula mencatatkan tahap tertinggi sejak September 2020 pada 1.76 juta tan, disumbangkan oleh kenaikan di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur masing-masing sebanyak 0.8 peratus dan 4.5 peratus.


Di Indonesia, stok sawit pada Ogos jatuh kepada 4.04 juta tan, berbanding 5.91 juta tan pada Julai.


Manakala, output sawit meningkat 13.2 peratus kepada 4.31 juta tan berbanding bulan sebelumnya, manakala eksport melonjak 60 peratus kepada 4.33 juta tan, diperkukuh oleh penghantaran ke India, China serta EU susulan lanjutan pengecualian levi eksport sehingga Oktober.


Bagaimanapun, penggunaan domestik di negara itu susut 2.1 peratus kepada 1.84 juta tan.


Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei, pula berkata stok sawit berkemungkinan kekal tinggi pada bulan ini.


Beliau berkata, walaupun harga sawit yang rendah menggalakkan penggunaan komoditi itu, ia berkemungkinan akan diimbangi oleh langkah berterusan kerajaan Indonesia untuk mengurangkan beban inventori di negara itu.


"Kami sedang menyemak anggaran harga MSM bagi 2022/2023/2024 pada RM5,500/RM4,500/RM3,800 satu tan, berikutan prospek bekalan yang meningkat, permintaan tidak menentu, selain langkah berterusan Indonesia untuk menghabiskan inventori sawit," katanya dalam satu nota penyelidikan.


HLIB Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan, disokong oleh penilaiannya yang memberangsangkan.


Sementara itu, CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) menjangkakan stok minyak sawit dalam negara ini meningkat 8.2 peratus secara bulanan kepada 2.5 juta tan menjelang akhir Oktober berikutan pengeluaran yang lebih tinggi mengatasi eksport yang lebih tinggi.


Cabang penyelidikan CGS-CIMB Securities itu menjelaskan pihaknya juga yakin harga minyak sawit mentah (MSM) boleh didagangkan dalam julat RM3,500 hingga RM4,500 satu tan pada Oktober 2022.


"Harga MSM dijangka kekal rendah pada Oktober berikutan persaingan daripada eksport minyak sawit Indonesia yang lebih tinggi.


"Bagaimanapun, penurunan harga MSM akan dihadkan oleh diskaun menariknya berbanding minyak makan pesaing," menurutnya dalam satu nota penyelidikan.


Sumber Berita Asal : BH Online/ 12 Oktober 2022

Tuesday 4 October 2022

Proton Rekod Atasi Jualan 100,000 Unit Kereta Sekali Lagi

   Sumber Grafik : Proton Cars


AUTOMOTIF | Pengeluar kereta nasional PROTON mengakhiri suku ketiga tahun 2022 dengan bulan jualan kukuh 14,872 unit pada September 2022, sekali gus menyumbang kepada prestasi suku tahunan terbaik tahun 2022 dan membantunya mencapai sasaran 100,000 unit buat tahun keempat berturut-turut.


Jumlah jualan terkumpul PROTON setakat tahun 2022 adalah 102,353 unit, 40.2 peratus lebih tinggi berbanding sembilan bulan pertama 2021, membolehkannya mengatasi jualan 100,000 unit dua bulan lebih awal berbanding tahun 2022.


Berbanding pesaing, PROTON kekal di tempat kedua dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8 peratus untuk bulan September 2022.


Hasilnya, angka pegangan pasaran telah melebihi 20 peratus buat kali pertama tahun 2022 apabila kini berada pada 20.1 peratus.



Jumlah jualan industri (TIV) bagi September 2022 dianggarkan menyusut kepada kira-kira 62,500 unit, angka keempat terbaik tahun 2022 di mana pasaran automotif Malaysia dijangka akan mencatat tahun jualan terbaik.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dalam kenytaan media pada 5 Oktober 2022 berkata prestasi suku ketiga syarikat itu adalah suku terbaik bagi tahun 2022, dengan 42,229 unit untuk tiga bulan dari Julai ke Ogos 2022.


  Sumber Foto : Proton Cars


"Pencapaian ini adalah hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan model kami, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50. Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua angka bagi tahun keempat berturut-turut.


"Selain memberi tumpuan pada pertumbuhan jualan, suku terakhir juga menyaksikan kami membina asas untuk pertumbuhan masa depan.


"Perjanjian Pengedaran Am dengan smart menetapkan kami untuk menjual kenderaan elektrik (EV) daripada jenama itu bermula pada 2023, manakala pembentukan PRO-NET membuktikan komitmen PROTON untuk membangunkan dan menawarkan kenderaan tenaga baharu pada masa hadapan," kata  Roslan Abdullah.


Selepas memulakan tahun 2022 dengan pelbagai isu, ketersediaan alat ganti akibat kesan berlarutan daripada banjir pada bulan Disember 2021, COVID-19 dan kekurangan cip mikro global, jumlah pengeluaran PROTON telah stabil membolehkan syarikat menyerahkan lebih banyak unit kepada pelanggan yang menunggu.


Sumber Foto : Proton Cars

Ini paling ketara dengan Proton X50, kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Malaysia, yang bergelut untuk memenuhi permintaan sejak dilancarkan pada Oktober 2020.


Dengan 4,517 unit diserahkan pada bulan September, lebih 4,000 unit telah diserahkan selama empat bulan berturut-turut dan ini menyumbang kepada jumlah terkumpul setakat tahun ini sebanyak 29,591 unit, peningkatan sebanyak 78.2 peratus berbanding sembilan bulan pertama 2021.


Proton Saga turut mencatatkan angka yang mengagumkan.


Terjejas teruk akibat banjir tahun 2021 yang menyebabkan penyerahan merosot kepada hanya 76 unit pada Januari, model popular itu mencatatkan paras tertinggi baharu untuk 2022 dengan 6,442 unit, jumlah yang tidak pernah dicapai sejak Oktober 2013.


Model lain menunjukkan prestasi yang baik pada September.


Sumber Foto : Proton Cars


Proton X70 terus menerajui pasaran SUV segmen C dan dengan 1,730 unit diserahkan, jumlah jualan terkumpul kini berjumlah 14,145 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 32.1 peratus.


Proton Exora juga terus menunjukkan popularitinya walaupun terdapat pelancaran kenderaan pelbagai guna (MPV) pesaing yang lebih baharu.


Dengan 418 unit diserahkan bulan September 2022, jumlah jualan setakat tahun ini meningkat 15.6 peratus apabila 3,108 unit telah diserahkan.


Proton Persona mencatatkan 1,159 unit, manakala Proton Iriz mencatatkan 606 unit pada bulan September 2022.


Kedua-duanya masing-masing merosot 2.3 peratus dan 13.2 peratus dengan jumlah jualan setakat tahun ini 10,787 unit dan 4,119 unit, pemulihan dijangka berlaku pada suku terakhir ini kerana bekalan cip serta pengeluaran terus stabil.


Sementara itu, hasil langsung daripada permintaan yang kukuh untuk produk PROTON ialah pertumbuhan pembiayaan oleh anak syarikatnya, Proton Commerce Sdn Bhd.


Pada bulan September 2022, syarikat itu mengeluarkan 2,872 pinjaman, melepasi pencapaian tertinggi sebelumnya pada bulan Mac. Ini meningkatkan jumlah pinjaman yang dijamin pada tahun ini kepada 15,504, melebihi 14,550 pinjaman yang dikeluarkan pada keseluruhan tahun lalu.

The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...