Tuesday 5 April 2022

CAAM Siasat Insiden Pesawat Malaysia Airlines MH2664 Berpatah Balik

   Sumber Foto: Jet Photo



PENERBANGAN | Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang berhubung rapat dengan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) berkait insiden pesawat MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah yang mengalami masalah sehingga terpaksa berpatah balik petang semalam.


Dalam kenyataan media pada 5 April 2022 Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata ia bagi memastikan segala perkara berkaitan keselamatan teknikal ditangani sebaiknya mengikut prosedur keselamatan dan peraturan.


Datuk Kapten Chester Voo mengesahkan satu laporan diterima dari Malaysia Airlines berhubung kejadian itu, berkata pesawat berkenaan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut prosedur keselamatan ditetapkan dan mendarat dengan selamat pada 5.03 petang.


"Susulan perkara itu, CAAM akan melihat semula Sistem Pengawasan Data Penerbangan dalaman Malaysia Airlines yang memantau dan merekodkan semua profil data penerbangan pesawat itu," katanya.


Menurutnya, juruterbang dan pembantu juruterbang mengendalikan isu teknikal itu dengan selamat dan pesawat berkenaan kembali ke Kuala Lumpur bagi tujuan penyelenggaraan.


"Data awal menunjukkan maklum balas yang betul daripada kru operasi berhubung isu teknikal ini. CAAM akan terus memantau situasi berkenaan dan tidak akan berkompromi atas sebarang isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan sekuriti operasi syarikat penerbangan serta orang awam," katanya.


Malaysia Airlines menerus Twitter rasminya pada 5 April 2022, melaporkan sebuah pesawat berpatah balik ke KLIA disebabkan masalah teknikal, ditambah dengan cuaca buruk semasa dalam penerbangan.


Berikut Adalah Kenyataan Media : 



  Berikut Adalah Tangkap Layar Flight Radar24







Sunday 3 April 2022

Jualan PROTON Meningkat Pada Mac 2022, Saksikan Pemulihan

    Sumber Foto: Proton Cars


AUTOMOTIF | Prestasi PROTON menyaksikan pemulihan jualan pada Mac 2022 dengan 13,028 unit kenderaan meningkat 41.2 peratus berbanding Februari 2022 menjadikan unjuran pegangan pasaran 19 peratus.


Pengeluar kereta nasional dalam kenyataan media pada 4 APRIL 2022 berkata mereka berdepan pada suku pertama yang mencabar tahun 2022 dengan jualan terkumpul dari Januari hingga Mac berada pada 26,706 unit.


Katanya ia berkurang sebanyak 18.6 peratus sementara pegangan pasaran terkumpul sebanyak 17.5 peratus, merosot 5.7 peratus berbanding suku pertama 2021 berikutan beberapa masalah seperti vendor tempatan yang terjejas akibat banjir, gangguan logistik dan kekurangan cip.


Jelasnya walaupun jumlah jualan untuk Mac turun 13 peratus berbanding bulan sama pada 2021, penjualan Proton Saga, model terjejas teruk pada Januari, mencecah 6,422 unit pada Mac, pencapaian terbaik sejak November 2013, sekali gus menjadikan Saga sebagai peneraju jualan untuk sedan segmen A dan juga model segmen-A terlaris secara keseluruhan.


Ia berkata, pertumbuhan dalam jualan eksport membantu memperkasakan jualan Saga apabila syarikat itu mencapai angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 108 bulan dengan sejumlah 794 unit (terdiri daripada pelbagai model) dieksport pada Mac 2022.


"Pakistan adalah pasaran eksport terbesar bulan Mac dengan 690 unit manakala jumlah keseluruhan eksport suku pertama sebanyak 1,117 unit, peningkatan 175 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu," katanya.


PROTON berkata, bagi model lain, Proton X70, Proton X50 dan Proton Exora mengekalkan kedudukan dalam segmen masing-masing dengan jualan 2,320 unit, 1,573 unit dan 536 unit.


Sementara itu, Proton Persona dan Proton Iriz menduduki tempat ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing akibat persaingan sengit dan kekurangan alat ganti yang terus menjejaskan jualan, katanya.


"Tiga bulan pertama 2022 sangat mencabar bagi PROTON dan pelanggan kami. Isu pengeluaran yang berterusan menindas potensi sebenar kami yang mengakibatkan senarai menunggu yang panjang.


"Bekalan alat ganti kami dan jumlah pengeluaran mula stabil pada Mac tetapi kami menjangkakan beberapa lagi gangguan dalam beberapa bulan akan datang apabila industri lain meningkatkan pengeluaran mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.


Bagaimanapun, beliau berkata, sepanjang tahun 2022, PROTON masih bermatlamat mencapai sasarannya dengan kerjasama dari vendor dan pengedar bagi melancarkan rangkaian bekalan untuk menyampaikan kereta kepada pelanggan.


"Kami juga menunjukkan perkembangan dalam menyelesaikan isu selepas jualan kami dan oleh itu, syarikat yakin boleh pulih dengan kukuh pada suku berikutnya," katanya.

Saturday 2 April 2022

Tempahan Hotel Disasar Melonjak Hingga 60% Suku Ketiga 2022

    Sumber Foto: Padibox Sekinchan

 

PERHOTELAN | Kadar tempahan bilik hotel seluruh negara disasar meningkat sehingga 60 peratus menjelang suku ketiga tahun 2022 susulan pembukaan semula pintu sempadan negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH).


BH ONLINE pada 3 APRIL 2022 melaporkan Yap Lip Seng, berkata peningkatan itu didorong pertambahan kehadiran pelancong antarabangsa termasuk dari Singapura selepas laluan sempadan darat antara kedua negara berjiran itu dibuka.


Jelas beliau sejak Januari 2022 hingga kini kadar penginapan hotel adalah antara 30 hingga 40 peratus, sebahagian besar disumbang pelancong domestik (selepas kebenaran rentas negeri), selain bergantung kepada permintaan ketika cuti dan perayaan.


"Dengan pembukaan semula sempadan negara pastinya kita mengharap ketibaan lebih ramai (pelancong), ini sedikit demi sedikit membantu pemulihan industri pelancongan dan hotel yang terjejas teruk kesan pandemik COVID-19.


"Kami yakin industri ini berada pada landasan untuk pulih dengan jangkaan kadar tempahan penginapan hotel kemungkinan akan naik sehingga 60 peratus menjelang suku ketiga tahun ini," katanya.


Pada 1 April 2022, pintu sempadan negara dibuka semula selepas dua tahun ditutup akibat pandemik. Ia juga selaras dengan fasa peralihan ke endemik yang berkuat kuasa hari sama.


Pembukaan sempadan itu menyaksikan rakyat Malaysia khususnya di Singapura, pulang ke tanah air, malah detik bersejarah itu dikongsikan ramai pengguna media sosial yang rata-rata sebak dan terharu dapat kembali ke kampung halaman masing-masing.


Selain itu Lip Seng berkata, kadar tempahan tidak akan meningkat dalam sekelip mata selepas pembukaan sempadan berikutan ketibaan Ramadan dan perayaan selain ramai rakyat tempatan akan bercuti ke luar negara.


"Apapun kita akan pastikan pengusaha melaksanakan yang terbaik dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan.


"Malah sekarang juga adalah masa bagi pemain industri pelancongan meningkatkan promosi bagi menarik minat kedatangan pelancong," katanya.


Jelas beliau industri amat memerlukan pemasaran yang agresif untuk mempromosikan Malaysia di luar negara sebagai destinasi pelancongan terpilih.

Friday 1 April 2022

Takaful Ikhlas, Andalusia Jalin Kerjasama Sedia Perlindungan Umrah Dan Haji


       Logo : TAKAFUL IKHLAS


TAKAFUL | Takaful Ikhlas General Bhd menjalin kerjasama strategik dengan agensi pelancongan tempatan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd bermula 7 Februari 2022, bagi menyediakan perlindungan takaful menyeluruh untuk peserta umrah dan haji sepanjang tempoh ibadah.


Takaful IKHLAS, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd dalam kenyataan media pada 1 APRIL 2022 berkata turut menyasarkan usaha berkenaan dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan sebanyak RM9 juta setahun selain mengukuhkan jenamanya sebagai pengendali takaful yang diyakini.


"Kerjasama ini juga dijangka dapat melebarkan penguasaan pasaran Takaful IKHLAS dalam segmen takaful perjalanan," katanya.


Di bawah kerjasama itu, Takaful IKHLAS akan menyediakan produk dan khidmat takaful kepada peserta umrah yang berdaftar dengan Andalusia Travel & Tours.


"Produk dan khidmat itu kami edarkan melalui Andalusia Tijarah, unit pengurusan takaful bagi Andalusia Travel & Tours yang mempunyai 40 cawangan di serata negara," katanya.


Jelasnya, kerjasama itu turut menyokong inisiatif Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dalam mempermudah ziarah umrah di samping memastikan kebolehlaksanaan dan kesinambungan bagi rakyat negara ini melaksanakan ibadah umrah.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Bhd berkata pihaknya menyokong penuh usaha Andalusia Travel & Tours dalam memberikan khidmat penyediaan pakej umrah kepada umat Islam di negara ini.


"Kami berbesar hati menjadi pengendali takaful eksklusif untuk bekerjasama dengan Andalusia Travel & Tours dalam membantu menyediakan pelbagai perlindungan takaful kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah serta melancong bersama Andalusia Travel & Tours," kata Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.


Sementara itu, Pengasas Andalusia Travel & Tours  menyuarakan harapan di atas kerjasama itu berikutan Takaful IKHLAS menyediakan pelan perlindungan menyeluruh untuk memenuhi pelbagai keperluan jemaah umrah.


"Ini membuktikan bahawa Takaful IKHLAS amat peka terhadap masalah peserta umrah yang memerlukan perlindungan tambahan termasuk perbelanjaan perubatan dan kos kuarantin bagi yang positif COVID-19 sejurus pulang ke tanah air," kata Ibrahim Mat Sin.


Andalusia Travel & Tours yakin usaha itu dapat memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pasaran penyediaan pakej dan pengaturan perjalanan umrah dengan menyediakan perlindungan takaful yang komprehensif untuk pelanggan.


"Kerjasama ini juga turut dapat membantu meningkatkan pasaran Andalusia Travel & Tours sedia ada kepada 50,000 pelanggan setiap tahun daripada 30,000 pelanggan," katanya.


The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...