Monday 28 February 2022

Allianz Motorcycle Plus Tawar Lindungi Pembonceng Motosikal Percuma


INSURANS | Allianz Motorcycle Plus kini ditambah baik dengan perlindungan dipertingkatkan untuk penunggang dan pembonceng motosikal 250cc dan ke bawah.


Perlindungan itu sama ada komprehensif atau pihak ketiga kini menawarkan perlindungan tambahan kepada penunggang motosikal dan pembonceng yang sah dengan RM10,000 untuk kematian atau hilang upaya kekal setiap seorang dan pendapatan hospital sehingga RM6,000 setiap seorang (RM100 sehari, sehingga 60 hari) tanpa kos tambahan.


Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) berkata penunggang motosikal kadang-kala tidak mengambil perlindungan tambahan kerana tidak mampu atau kurang memahami tentang insurans.


"Tetapi jangan sehingga anda kurang diinsuranskan. Penunggang motosikal layak mendapat perlindungan yang mampu milik dan berguna, dan kami berbangga kerana dapat memberikan mereka itu melalui Allianz Motorcycle Plus yang dipertingkatkan ini.


"Dengan sebanyak 90 peratus motosikal di jalan raya Malaysia adalah 'motor kapcai' atau model 250cc dan kebawah, kami berkeras mahukan perlindungan tambahan disediakan untuk polisi komprehensif dan pihak ketiga tanpa kos tambahan.


"Dalam masa yang sukar, kami mahukan penunggang untuk mengenepikan kemampuan kewangan mereka dan dapatkan perlindungan yang selayaknya," kata Sean Wang dalam kenyataan media pada 1 Mac 2022/Selasa.


Syarikat itu berkata Allianz Motorcycle Plus (Komprehensif) melindungi kerugian atau kerosakan kepada motosikal anda daripada kemalangan, kebakaran, kecurian, kematian dan kecederaan anggota badan pihak ketiga dan kerosakan atau kerugian harta pihak ketiga.


Manakala polisi pihak ketiga melindungi kecederaan anggota badan dan kematian pihak ketiga dan kerugian atau kerosakan harta pihak ketiga.


Tambahan pula, perlindungan komprehensif juga menampilkan perlindungan tambahan untuk semua Perlindungan Jumlah Yang Diinsuranskan Penuh Peril Khas (melindungi daripada banjir, tanah runtuh, atau mana-mana bencana alam) dan bantuan tepi jalan yang ditawarkan oleh Allianz Road Rangers, kedua-duanya tanpa kos tambahan.


Bantuan tepi jalan termasuk bantuan trak tunda kecemasan (percuma sehingga 50km, pergi balik), penghantaran minyak, bateri dan perkhidmatan tayar pancit.


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Allianz Motorcycle Plus, boleh layari allianz.com.my/personal/home-motor-and-travel/car-and-motorcycle.html.

Malaysia Airports Catat Rugi Lebih Kecil kepada RM766.44 Juta Pada 2021


     Sumber Foto: Malaysia Airport


BISNES | PENERBANGAN | Kerugian bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyusut kepada RM766.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada kerugian bersih RM1.12 bilion tahun lalu.


BERNAMA pada 28 Februari 2022/Isnin melaporkan ia disebabkan pengurangan selanjutnya dalam perbelanjaan operasi teras sebanyak 11 peratus serta peningkatan dalam pendapatan lain.


Selain itu, pengendali lapangan terbang itu berkata, kerugiannya pada tahun kewangan 2021 dikurangkan dengan pengiktirafan aset cukai tertunda daripada kerugian perniagaan tahun semasa.


Hasil bagi tahun dikaji turun kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.87 bilion sebelumnya, disebabkan penguncupan 16 peratus pergerakan penumpang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.


Ia sekali gus menurunkan hasil segmen aeronautik sebanyak 9.9 peratus kepada RM798.1 juta.


"Hasil daripada operasi bukan lapangan terbang meningkat sebanyak 12.3 peratus disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada pertanian, didorong oleh harga tandan buah segar yang lebih tinggi, penyelenggaraan pembaikan dan perniagaan hotel," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


MAHB berkata, bagi tahun kewangan 2021, operasi Malaysia mencatatkan kerugian sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM193.7 juta daripada RM448.1 juta pada tahun kewangan 2020, kerugian sebelum cukai operasi Turki pada RM22.3 juta daripada RM626.8 juta tahun sebelumnya.


Dari segi pergerakan penumpang, kumpulan itu berkata untuk tahun kewangan 2021, ia melihat tanda-tanda pemulihan trafik daripada COVID-19, walaupun pada kadar yang berbeza di Turki dan Malaysia.


"Operasi Turki menunjukkan ke arah normalisasi berikutan trafik penumpang meningkat sebanyak 47.7 peratus (antarabangsa: 69.8 peratus, domestik: 37.8 peratus) kepada 25.4 juta daripada 17.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.


"Sementara itu, operasi Malaysia mencatatkan penurunan pergerakan penumpang sebanyak 58.5 peratus (antarabangsa: pengurangan 86.3 peratus, domestik: pengurangan 37.8 peratus) kepada 10.7 juta penumpang berbanding 25.8 juta penumpang pada tahun sebelumnya," katanya.


MAHB berkata, pendapatan segmen bukan aeronautik menurun 16.0 peratus kepada RM668.5 juta berbanding tahun sebelumnya disebabkan hasil sewa komersial yang lebih rendah daripada operasi Malaysia.


Bagi suku keempat, MAHB menyaksikan kerugian bersihnya menguncup kepada RM136.73 juta daripada RM685.02 juta, disumbangkan oleh hasil lebih tinggi sebanyak 109.1 peratus, ditambah dengan perbelanjaan operasi teras yang lebih rendah sebanyak lapan peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.


Hasilnya melonjak kepada RM551.34 juta daripada RM263.64 juta sebelumnya, seiring dengan peningkatan ketara dalam jumlah penumpang dengan pelonggaran PKP, perjalanan rentas negeri dan pengenalan Lorong Perjalananan Lengkap Vaksin (VTL) di Malaysia, serta momentum pemulihan yang berterusan di Turki.


Melangkah ke hadapan, MAHB menyatakan bahawa VTL Singapura-Kuala Lumpur, penyambungan semula perjalanan umrah dan pengenalan beberapa laluan domestik baharu adalah beberapa perkembangan terkini yang akan terus memacu pemulihan trafik dalam tempoh terdekat.


MAHB berkata, ia kekal yakin dan berwaspada terhadap pemulihan yang berterusan, sambil memantau perkembangan varian membimbangkan, keberkesanan vaksin penggalak dan sekatan perjalanan serta kesannya kepada pemulihan trafik penumpang.


Sunday 27 February 2022

Public Bank Sedia Perkhidmatan Penyelesaian Pembayaran Terjamin Baharu



PERBANKAN | Public Bank Bhd muncul bank pertama melancarkan penyelesaian pembayaran terjamin baharu secara dalam talian, DuitNow Online Banking/Wallets untuk terus menyokong keperluan ekonomi tanpa tunai yang semakin meningkat.


DuitNow Online Banking/Wallets dilancarkan pada Januari 2022 menyokong peniaga e-dagang untuk memudahkan penerimaan bayaran masa nyata melalui perbankan dalam talian e-dompet menerusi arahan semula mudah.


Ia adalah langkah ke hadapan dan mempertingkatkan perkhidmatan pembayaran sedia ada untuk pelanggan.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank dalam kenyataan media pada 28 Februari 2022 berkata bank itu sentiasa mendahulukan pelanggannya dan masyarakat dalam apa juga dilakukannya.


"Menyediakan perkhidmatan terbaharu ini yang selaras dengan kehendak pelanggan demi kemudahan dan keselamatan.


"Public Bank juga memberi keutamaan pada usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan menyediakan kaedah pembayaran yang mudah selain membolehkan peniaga dalam talian untuk mudah menerima bayaran dalam masa nyata melalui penyelesaian pembayaran baharu, efektif kos secara secara dalam talian dengan selamat," kata Tan Sri Tay Ah Lek.


Dengan pendebitan masa nyata melalui akaun DuitNow Online Banking/Wallets pembayar dan pengkreditan terus dalam akaun saudagar yang diselenggara oleh bank-bank, ia direka bagi memenuhi keperluan dan manfaat perniagaan kecil dan besar.


DuitNow Online Banking/Wallets kendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), rangkaian pembayaran kebangsaan dan perkongsian infrastuktur berpusat untuk pasaran kewangan Malaysia.


Perkhidmatan baharu ini melanjutkan ekosistem DuitNow PayNet untuk merangkumi dompet digital lain selain mengekalkan keserasiannya dengan institusi kewangan yang mengambil bahagian.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet berkata, pembayaran dibuat menggunakan perbankan internet/mudah alih menyaksikan peningkatan mendadak sejak dua tahun lalu.


"Justeru, DuitNow Online Banking/Wallets direka untuk mempertingkatkan lagi pengalaman pengguna melalui proses pembayaran yang mudah menggunakan aplikasi mudah alih," kata Peter Schiesser .


RHB Rekod Untung RM2.62 Bilion Pada 2021




PERBANKAN | RHB Bank Bhd mengekalkan daya tahan perniagaan sepanjang tahun lalu apabila merekodkan untung bersih RM2.62 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.


BH ONLINE pada 28 Februari 2022 melaporkan pendapatannya dalam tempoh dikaji bagaimanapun susut kepada RM11.75 bilion, daripada RM12.5 bilion tahun sebelumnya.


Kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu sepenuhnya keempat terbesar di Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata, pendapatan berasaskan dana bersihnya meningkat kepada RM5.9 bilion tahun lalu disokong pengurusan kos pembiayaan proaktif yang berkurangan 24.1 peratus tahun ke tahun dipacu pertumbuhan akaun semasa akaun simpanan (CASA) sebanyak 4.5 peratus.


"Margin faedah bersih (NIM) bagi tahun dikaji berada pada 2.14 peratus berbanding 2.06 peratus yang dicatatkan tahun sebelumnya.


"Setakat 31 Disember 2021, jumlah aset kumpulan meningkat 6.8 peratus kepada RM289.5 bilion dengan aset bersih sesaham berada pada RM6.76 dengan ekuiti pemegang saham RM28 bilion setakat akhir Disember 2021," katanya.


Menurut RHB Bank, pertumbuhan pinjaman/pembiayaan kasar kumpulan berkembang 6.7 peratus tahun ke tahun kepada RM198.5 bilion, disokong kebanyakan oleh pertumbuhan dalam gadai janji, pembiayaan kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial serta pasaran Singapura.


"Pinjaman/pembiayaan domestik berkembang 4.8 peratus tahun ke tahun.


"Bagi pinjaman terjejas kasar, ia berada pada RM3 bilion pada 31 Disember 2021 dengan nisbah rosot nilai kasar pinjaman sebanyak 1.49 peratus berbanding masing-masing RM2.6 bilion dan 1.32 peratus setakat September 2021 dan RM3.2 bilion dan 1.71 peratus setakat Disember 2020.


"Deposit pelanggan pula meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun kepada RM218.7 bilion disebabkan pertumbuhan deposit masa pasaran tetap dan tunai sebanyak 9.0 peratus dan CASA sebanyak 4.5 peratus," katanya.


Bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih RHB Bank melonjak kepada RM631.2 juta daripada RM438.6 juta kebanyakan disebabkan jangkaan kerugian kredit (ECL) yang lebih rendah.

Friday 25 February 2022

Seramai 95 Peratus Tetamu AirAsia Daftar Masuk Kendiri Guna Aplikasi, Laman Web



Logo: AirAsia

TEKNOLOGI | PENERBANGAN | Penggunaan daftar masuk melalui airasia Super App dan laman web sebanyak 95 peratus bagi tetamu AirAsia adalah pencapaian besar syarikat penerbangan itu dan terus menjadi sebahagian daripada usaha mengukuhkan lagi pelan mitigasi Covid-19 melalui operasi tanpa sentuhan.


AirAsia dalam kenyataan media pada 25 Februari 2022/Jumaat berkata  ia adalah inisiatif yang diwajibkan atas semua penumpang semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun 2021.


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata pencapaian itu diraih melalui penambahbaikan pada sistem serta para tetamu yang menggunakannya. 


"Daftar masuk untuk penerbangan melalui airasia Super App adalah percuma sepenuhnya dan boleh dilakukan dengan hanya beberapa langkah mudah," kata Riad Asmat.


Berikut adalah kenyataan media penuh :


Seramai 95% tetamu AirAsia kini daftar masuk kendiri melalui aplikasi dan laman web


AirAsia menyifatkan satu pencapaian besar apabila 95% daripada keseluruhan tetamunya kini beralih untuk mendaftar masuk melalui airasia Super App dan laman web, satu inisiatif yang diwajibkan atas semua penumpang semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan akan terus menjadi sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan lagi pelan mitigasi Covid-19 melalui operasi tanpa sentuhan. 


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata: “Pencapaian ini diraih melalui penambahbaikan pada sistem kami serta para tetamu yang menggunakannya. Daftar masuk untuk penerbangan melalui airasia Super App adalah percuma sepenuhnya dan boleh dilakukan dengan hanya beberapa langkah mudah. 


Ianya membolehkan para tetamu menambah bagasi, hidangan dalam penerbangan, insurans perjalanan dan memilih tempat duduk mereka. Mereka juga boleh mendaftar masuk untuk penerbangan mereka seawal 14 hari sebelum tarikh pelepasan.


“Setelah selesai mendaftar masuk, mereka akan menerima pas masuk elektronik dalam aplikasi tersebut yang boleh digunakan untuk menaiki penerbangan mereka. 


Mereka juga akan menerima kod QR yang boleh digunakan untuk mencetak tag bagasi di kiosk tanpa sentuhan di lapangan terbang sebelum mendaftar masuk bagasi secara kendiri. 


Para tetamu tanpa bagasi daftar masuk pula boleh terus ke pintu pelepasan dengan mengemukakan pas masuk elektronik dan kad pengenalan atau pasport mereka. Bagi tetamu dengan tempahan perjalanan berkumpulan, mereka boleh mendaftar masuk bagi pihak ahli kumpulan yang lain.


“Sebagai usaha berterusan untuk mencapai penggunaan 100% bagi inisiatif tanpa sentuhan kami, AirAsia akan meneruskan kempen kesedaran dan pendidikan mengenai faedah daftar masuk kendiri dan penggunaan airasia Super App melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk media sosial, mel elektronik dan pengumuman melalui aplikasi tersebut. 


Para tetamu yang selalunya menggunakan laman web untuk mendaftar masuk juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi tersebut untuk menikmati lebih kemudahan termasuk perkhidmatan dalam penerbangan dan sambungan wifi dalam penerbangan kami.”


Penggunaan airasia Super App adalah percuma sepenuhnya dan ia boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery tanpa sebarang kos.


Dalam masa yang sama, AirAsia akan mengehadkan perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter di semua lapangan terbang di Malaysia bermula 1 April 2022. 


Dengan penutupan perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter secara beransur-ansur, tiada caj daftar masuk melalui kaunter akan dikenakan mulai 1 April 2022 kerana hanya tetamu yang layak dalam kategori berikut akan diterima di kaunter:


• Warga emas berusia 70 tahun ke atas

• Tempahan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan melalui Waran Kerajaan

• Tetamu penerbangan sewa khas

• Tetamu kurang upaya yang memegang kad OKU yang sah

• Tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih

• Tetamu perseorangan bawah umur (12-16 tahun)

• Tetamu yang terjejas akibat perubahan jadual dan pembatalan penerbangan

• Tetamu yang terjejas akibat gangguan sistem airasia Super App, laman web atau kiosk

• Tetamu yang tidak diberikan tempat duduk semasa daftar masuk kendiri

• Tetamu Corporate Full Flex dan Premium Flex



AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama dua tahun lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya. 

AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal. 


Semua pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pengeluar pesawat. 


AirAsia juga telah menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman iaitu Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara bukan sahaja pesawat AirAsia tetapi juga pesawat dari syarikat penerbangan lain. 


Selain itu, semua juruterbang dan kru kabinnya juga diberikan latihan dan kursus penyegaran agar mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.


AirAsia baru-baru ini telah dianugerahkan tahap tertinggi dalam keselamatan dan integriti operasi dengan pengiktirafan 7/7 daripada pakar penerbangan di airlineratings.com sekali lagi sama seperti pengiktirafan yang dianugerahkan kepada syarikat penerbangan ini pada kemuncak pandemik pada tahun 2020.

Thursday 24 February 2022

Petronas Chemicals Group Raih Untung RM7.3 Bilion Pada 2021

Logo : Petronas Chemicals Group Bhd


Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan keuntungan bersih RM7.3 bilion pada tahun kewangan 2021 didorong oleh harga petrokimia yang kukuh.


PCG dalam kenyataan pada 24 Februari 2022 berkata, harga produk petrokimia meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah tahun 2021 didorong oleh harga tenaga yang lebih tinggi, permintaan yang kukuh dan bekalan yang terhad pada waktu gangguan bekalan global.


Katanya pendapatan kumpulan meningkat 60 peratus tahun ke tahun kepada RM23 bilion disokong oleh kadar penggunaan loji yang tinggi, sebanyak 93 peratus, walaupun terdapat beberapa aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori yang dijalankan pada tahun ini.


"Margin produk yang lebih baik disebabkan oleh harga produk lebih tinggi meningkatkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahun kewangan 2021 kepada 36 peratus daripada dan turut meningkatkan keuntungan selepas cukai kepada RM7.3 bilion daripada RM1.6 bilion dalam tahun berkenaan," katanya.


Keputusan suku keempat 2021 PCG juga adalah prestasi suku tahunan terbaik sejak penubuhannya dan penyenaraian dalam Bursa Malaysia pada 2010.


PCG mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2 bilion pada suku dikaji daripada pendapatan sebanyak RM7 bilion, terutama disumbangkan oleh margin produk yang lebih baik daripada harga urea, polimer dan metanol yang lebih tinggi.


Berikutan prestasi menggalakkan itu, PCG mengumumkan dividen interim kedua berjumlah RM1.8 bilion.


Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata syarikat itu meraih pencapaian yang memberangsangkan di sebalik cabaran yang dihadapi.


Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata cabaran itu termasuk kekangan terhadap rantaian bekalan global, kejutan harga, kesan perubahan iklim dan sekatan berkaitan COVID-19, yang menjadi antara faktor yang masih relevan bagi tahun 2022.


"Prestasi tahun kewangan 2021 PCG yang cemerlang adalah hasil daripada inisiatif kecemerlangan operasi dan komersial warga kerja kami.


"Walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran, kami mengambil peluang, menyampaikan sasaran pengeluaran dan jualan dan yang paling penting, memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui produk dan penyelesaian inovatif tepat pada masanya," katanya.


Mengenai prospek 2022, Mohd Yusri berkata, tahun 2022 bermula dengan baik apabila prospek pasaran jangka terdekat menyaksikan harga produk dijangka kekal kukuh, disokong oleh harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi seiring dengan ketegangan geopolitik berterusan dan peningkatan pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) yang lewat.


"Kami menjangkakan pemulihan pasaran akan berlaku secara beransur-ansur apabila permintaan seimbang dengan bekalan daripada kapasiti baharu di rantau Asia Pasifik, yang dijadualkan bermula tahun ini (2022)," katanya.


Untung Maybank Melonjak 24.9 Peratus Kepada RM8.1 Bilion pada 2021

   Logo : Maybank


KEWANGAN & PERBANKAN | Malayan Banking Bhd (Maybank) merekodkan peningkatan keuntungan bersih 24.9 peratus kepada RM8.1 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM6.48 bilion pada tempoh sama tahun 2022.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank berkata prestasi positif kumpulan itu disumbangkan oleh prospek ekonomi serantau yang bertambah baik.


Datuk Seri Abdul Farid Alias berkata situasi ekonomi serantau itu menyokong pertumbuhan pendapatan operasi bersih dan mengurangkan kerugian rosot nilai 36.6 peratus hasil daripada peruntukan awal kumpulan untuk pinjaman dan pelaburan kewangan berpotensi buruk yang dilaksanakan sejak bermulanya pandemik pada 2020.


Katanya Maybank yang juga bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset itu turut merekodkan pendapatan lebih tinggi bagi tempoh dikaji dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 25.8 peratus tahun ke tahun kepada RM10.89 bilion.


Pendapatan operasi bersih kumpulan juga, katanya, meningkat 2.8 peratus kepada RM25.45 bilion, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 3.1 peratus pada 2021.


"Keupayaan kumpulan untuk menyampaikan keputusan yang lebih baik pada 2021 disokong oleh keputusan stategik berhemat dari segi pengurusan kredit dan risiko semenjak bermulanya pandemik," katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan Maybank secara maya, lapor BH ONLINE pada 24 Februari 2022/Khamis.


Abdul Farid berkata, kumpulan juga komited memberikan pertumbuhan bertanggunjawab dan mengekalkan pulangan pemegang saham yang baik.


"Kekuatan dan daya tahan kewangan kami adalah hasil daripada tumpuan dalam membina kecairan, modal, serta amalan kredit dan pengurusan risiko yang kukuh di seluruh kumpulan selama ini.


"Ini membantu kami mengatasi pandemik dan memberi keupayaan untuk menyokong pelanggan kami yang memerlukan," katanya


Abdul Farid berkata, walaupun terdapat risiko COVID-19 yang berlarutan ketika ini, Maybank kekal optimis berdasarkan peratusan tinggi rakyat yang sudah mendapat vaksin lengkap.


Beliau berkata, kumpulan juga sedang belajar untuk hidup dengan kewujudan mutasi virus itu.


Katanya, berdasarkan perkara itu, Maybank akan kekal teguh dalam mengejar cita-cita M25 untuk membolehkan penciptaan nilai yang bermakna dan berkekalan.


"Di bawah pelan M25 pada 2021, Maybank berjaya meluaskan rangkuman kewangan dan kebolehcapaian bagi pelanggannya dengan membolehkan pemindahan rentas sempadan masa nyata antara Malaysia dan Singapura serta dengan Kemboja.


"Pelan ini juga memudahkan perbankan perniagaan harian untuk pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelancaran Maybank2u Biz," katanya.


Beliau menambah, dalam meraih peluang pertumbuhan baharu dalam bidang digital, kemampanan, PKS dan segmen kekayaan, Maybank juga mencatat penembusan pinjaman PKS yang lebih besar di seluruh rantau.


"Kumpulan juga melancarkan penyelesaian pengurusan kekayaan islam baharu dan dana baharu bertemakan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir) pada 2021," katanya.


Mengulas mengenai prestasi kewangan Maybank di pasaran utama, Abdul Farid berkata, Maybank Indonesia turut merekodkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak 29.9 peratus kepada 1.64 trilion rupiah (RM479 juta).


Beliau berkata, lonjakan itu disebabkan oleh peruntukan yang lebih rendah, penurunan kos dana dan kos overhed serta prestasi yang lebih baik daripada unit perbankan shariah.


Maybank Singapura, katanya, turut merekodkan peningkatan kukuh sebanyak 77.2 peratus keuntungan sebelum cukai kepada S$324.92 juta (RM1.01 bilion).

Wednesday 23 February 2022

Jualan Amway Melonjak 28 Peratus Kepada RM1.49 Bilion Pada 2021

Logo : Amway

Amway Holdings Bhd, syarikat kesihatan dan kesejahteraan mencatat prestasi kewangan memberangsangkan dengan hasil jualannya melonjak 28 peratus kepada RM1.49 bilion bagi tahun kewangan 2021.


Pengarah Urusan Amway Malaysia, Singapura dan Brunei berkata pertumbuhan kukuh yang diraih syarikat disebabkan manfaat pelaksanaan langkah proaktif sejak 2020 dengan fokusnya menawarkan produk berinovatif, lapor BH ONLINE pada 24 Februari 2022.


"Kami komited untuk terus berkhidmat demi keperluan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.


"Justeru, kami akan sentiasa memperkenalkan produk yang selamat, berkualiti tinggi dan relevan merentasi semua kategori dalam usaha memenuhi keperluan pelanggan dengan menawarkan pilihan yang menarik kepada komuniti bagi membantu mereka memiliki gaya hidup yang sihat," katanya pada 24 Februari 2022.


Walaupun hasil jualan Amway Malaysia meningkat, namun kadar keuntungan menurun berikutan kos insentif jualan baharu dan perbelanjaan berkaitan Pemilik Perniagaan Amway (ABO).


Duong berkata, Amway Malaysia turut menyokong sektor pekerjaan dengan menawarkan peluang yang berisiko rendah serta jaminan wang dikembalikan bagi pemilikan perniagaan.


"Di kala pandemik, ramai yang terjejas dan terdorong untuk mencari pekerjaan alternatif dengan perlindungan kewangan yang lebih terjamin serta suasana kerja yang lebih fleksibel.


"Amway Malaysia sentiasa memberikan yang terbaik dalam menawarkan peluang yang berisiko rendah serta jaminan wang dikembalikan bagi pemilikan perniagaan.


"Kumpulan syarikat memperkenalkan pelbagai inisiatif demi kelancaran perjalanan perniagaan usahawan terbabit," katanya.


Beliau berkata, inisiatif baharu apabila digandingkan dengan permintaan yang tinggi terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan Amway berjaya merekodkan pendaftaran setengah juta usahawan ABO dan pelanggan baharu tahun lalu.


"Sebagai tambahan, kami menyaksikan peningkatan sebanyak tiga kali ganda dalam jumlah bonus pendapatan awal ABO hasil daripada jualan produk kepada pelanggan serta lebih banyak ABO yang menerima pengiktirafan dan tahap kejayaan perniagaan yang tinggi," katanya.

Huawei Malaysia Bina Ekosistem Tenaga Malaysia, Penuhi Permintaan Meningkat


 

   Sumber Foto: CNBC


TELEKOMUNIKASI | Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan KVC Industrial Supplies Sdn Bhd (KVC Industrial Supplies) dan JJ-LAPP (M) Sdn Bhd (JJ-LAPP Malaysia) untuk membina ekosistem tenaga negara bagi memenuhi permintaan semakin meningkat.


Dalam kenyataan media pada 24 Februari 2022 Huawei Malaysia berkata perkongsian itu membantu membuka jalan kepada Malaysia untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2050.


katanya ia dilaksanakan melalui pembuatan solar dan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan menggunakan teknologi fotovoltan solar (PV) untuk memajukan peralihan kepada tenaga digital hijau.


"Kerjasama dengan KVC Industrial Supplies dan JJ-LAPP Malaysia ini akan menyaksikan kedua-dua rakan kongsi menumpukan kepada sokongan jualan, pengedaran dan perkhidmatan rangkaian inverter PV Solar Huawei di seluruh negara," kata Huawei Malaysia.


Kedua-dua pihak adalah pengedar utama inverter PV solar Huawei di Malaysia.


Huawei Malaysia menjadi penasihat teknologi kepada kedua-dua pihak, mengeluarkan produk dan menjalankan latihan produk untuk menyokong pembangunan hidrogen bersih dan teknologi boleh diperbaharui yang lain.


Ia juga melengkapkan rangkaian produk KVC Industrial Supplies dan JJ-LAPP Malaysia untuk memenuhi permintaan semakin meningkat untuk PV solar dan tenaga di dalam negara.


Sementara itu, dengan penggunaan elektrik dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040 di Asia Tenggara, Huawei Malaysia berkata Malaysia adalah antara pasaran tenaga solar yang paling pesat berkembang.


Maxis Labur RM1.2 Bilion Perkukuh Rangkaian Pada 2021

Logo MAXIS


Sebanyak RM1.2 bilion dilaburkan Maxis pada 2021 dengan RM597 juta dilabur pada suku keempat, menjadikan jumlah tertinggi pernah dibelanjakan dalam satu suku kewangan.


Pelaburan dilaksanakan bagi memberi pengukuhan kepada rangkaian Maxis, penyelesaian perusahaan dan liputan fiber serta penggunaan berhemah bagi mengurangkan hayat spektrum.


Bagaimanapun, ia menyebabkan keuntungan selepas cukai penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu pada suku keempat 2021 susut 9.4 peratus kepada RM289 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


Maxis dalam kenyataan media pada 24 Februari 2022 berkata, pelaburan berskala besar yang berterusan dilaksanakan kumpulan mengakibatkan kos susut nilai dan pelunasan yang tinggi.


Pelaburan itu termasuklah untuk memastikan prestasi tinggi Rangkaian Menyeluruh, penyelesaian perusahaan serta komitmen untuk Jalinan Digital Negara (JENDELA) termasuk fiber ke rumah pada tahun lalu," katanya.


Maxis berkata, secara keseluruhannya, kumpulan masih lagi mampu menutup tahun kewangan penuh 2021 dengan kukuh.


Ini, katanya, berdasarkan prestasi suku keempat yang berdaya tahan, disebabkan pertumbuhan sihat dalam hasil perkhidmatan dan Aliran Tunai Bebas Operasi (OFCF) yang kukuh.


"Dengan kemajuan strategi konvergen yang baik, prestasi didorong oleh perniagaan mudah alih teras serta pertumbuhan kukuh dalam jalur lebar fiber dan tanpa wayar.


"Maxis mencatatkan keuntungan bersih yang sihat, disokong oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dinormalisasikan yang stabil, walaupun dengan pelaburan berterusan dalam negara untuk rangkaian mudah alih 4G, liputan fiber dan penyelesaian perusahaan.


"Pada suku dikaji, kumpulan turut menumpukan kepada program modal kerja Maxis dan pengurusan aliran tunai berhemah, yang memberikan pertumbuhan dua angka dari segi OFCF," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Maxis berkata kumpulan terus menumpukan pada penyampaian pengalaman peribadi yang tidak dapat ditandingi di negara ini.


Gokhan Ogut berkata ini terutama dalam persekitaran yang semakin digital apabila penggunaan data pelanggan meneruskan aliran menaik dengan purata 24GB sebulan.


Maxis, katanya, turut merekodkan tahap kepuasan pelanggan yang lebih tinggi iaitu pertambahan sebanyak 63 mata untuk suku keempat.


"Strategi konvergen dan ketangkasan kami dalam persekitaran yang berubah pantas membolehkan Maxis kekal berdaya tahan.


"Melalui pelaburan berterusan dalam rangkaian dan sokongan untuk rangkaian Malaysia, kami komited untuk membawa teknologi terbaik dan rangkaian menyeluruh bagi memastikan semua individu, keluarga dan perniagaan di Malaysia saling berhubung," katanya.

Thursday 17 February 2022

Jualan Kenderaan Naik 22 Peratus Kepada 40,581 Unit Pada Januari 2022


Sumber Grafik: Paultan

AUTOMOTIF | Jualan kenderaan di Malaysia meningkat 22 peratus kepada kepada 40,581 unit pada Januari 2022, berbanding Januari tahun lalu yang merekodkan 33,392 unit, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA) 


Persatuan itu dalam kenyataan media pada 17 Februari 2022/Khamis bagaimanapun berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan dikaji adalah 38 peratus lebih rendah daripada Disember 2021 yang mencatatkan 65,184 unit jualan.


Katanya, ia berikutan kebanyakan pelanggan membuat pembelian awal pada Disember 2021.


"Selain itu, TIV Disember 2021 yang amat tinggi ini adalah disebabkan oleh kempen promosi akhir tahun oleh syarikat automotif.


"Gangguan rantaian bekalan disebabkan oleh banjir di sebahagian kawasan Lembah Klang dan Pantai Timur pada Disember 2021 menyebabkan jumlah stok lebih rendah untuk dibawa ke Januari 2022," katanya.


MMa mengunjurkan jualan pada Februari 2022 kekal sama seperti pada tahap Januari 2022.


"Ia disebabkan oleh hari bekerja yang lebih pendek pada bulan ini dan gangguan rantaian bekalan disebabkan oleh banjir baru-baru ini dan kekurangan cip yang masih berterusan," katanya.


Jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 33,668 unit daripada 29,417 unit setahun lalu, manakala jualan kenderaan komersial turut naik kepada 6,913 unit berbanding 3,975 unit.


Mengenai jumlah pengeluaran, MAA berkata 42,961 unit dikeluarkan pada Januari 2022, naik 28.6 peratus daripada 33,392 unit pada Januari 2021.


Daripada jumlah itu, 39,455 unit adalah kenderaan penumpang berbanding Januari 2021 pada 36,186 unit manakala 3,506 unit adalah kenderaan komersial.

Tuesday 15 February 2022

BMW Perkenal Varian Baharu X3, X4 Untuk Pasaran Malaysia


PERMOTORAN | BMW Group Malaysia memperkenalkan tiga varian baharu BMW X3 bersama satu varian terbaharu BMW X4 untuk pasaran Malaysia, kata BMW Malaysia dalam kenyataan media pada 16 Februari 2022/ Rabu.


BMW Malaysia menjelaskan varian BMW X3 sDrive20i M Sport, BMW X3 xDrive30i M Sport dan BMW X3 xDrive30e M Sport bersama BMW X4 xDrive30i M Sport buat julung kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia.


Katanya ia sekali gus memaksimumkan kemampuan kuasa dan elektrifikasi jentera Sports Activity Vehicle (SAV) bersaiz sederhana dari keluarga BMW X.


Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata portfolio BMW X membina reputasinya di seluruh dunia buat sekian lama dan khususnya di Malaysia dalam pengeluaran jentera SAV.


"Tahun lalu (2021), portfolio BMW X merekodkan lebih 3,200 penyerahan di Malaysia menyumbang kepada lebih 38 peratus daripada bilangan penyerahan yang dibuat oleh jenama BMW.


"BMW Group Malaysia teruja untuk memperkenalkan jentera BMW X3 berelektrik yang dipasang di dalam negara buat kali pertama, di samping menyediakan pelbagai opsyen rangkaian kuasa bagi mereka yang ingin merasai pengalaman pemanduan yang berbeza," kata  Hans de Visser.


Dinamakan sebagai dua model yang paling popular di dunia, varian baharu BMW X3 dan BMW X4 bakal menaikkan tanda aras dalam segmen SAV premium dengan reka bentuk sporty yang canggih, pelbagai ciri dan perwatakan pemanduan yang terkini.


Ia dilengkapi rangkaian kuasa tambahan untuk menterjemahkan pengalaman pemanduan sempurna yang dijanjikan oleh BMW dalam pelbagai segi.


BMW X3 baharu akan hadir dalam dua varian petrol iaitu sDrive20i dan xDrive30i, di samping varian berelektrik, xDrive30e.


BMW X3 sDrive20i dan BMW X3 xDrive30i baharu ialah enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kuasa kuda (hp) dan tork puncak 300 Nm bagi sDrive20i, dan 252 hp dengan tork bernilai 350 Nm bagi xDrive30i.


BMW X3 sDrive20i berupaya untuk membuat pecutan abad dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 kilometer sejam (km/j), manakala BMW X3 xDrive30i mampu memecut dari 0-100 kilometer (km) dalam masa 6.3 saat pada kelajuan tertinggi mencecah 240 km/j.


Harga jualan bagi varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu dengan pakej 'BMW Service and Repair Inclusive' tanpa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah RM358,800 (BMW X3 sDrive20i M Sport); RM358,800 (BMW X3 xDrive30i M Sport); RM356,800 (BMW X3 xDrive30e M Sport) dan RM398,800 (BMW X4 xDrive30i M Sport).


Unit Capital A Bina Kemudahan MRO Luas 380,000 Kaki Persegi Di KLIA Metropolis, Siap 2024


   Sumber Foto: Asia Digital Engineering


PENERBANGAN | Anak syarikat kejuruteraan Capital A, Asia Digital Engineering (ADE) bakal membangunkan fasiliti hab penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bersepadu berkeluasan 380,000 kaki persegi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Kemudahan itu terletak di atas 8.19 hektar tanah yang berada di dalam Zon Sokongan Aeronautik 1 KLIA (ASZ 1) di bawah pembangunan KLIA Aeropolis Malaysia Airports.


Pembangunan bakal dimulakan pada pertengahan 2022 dan dijangka selesai tempoh dua tahun tahun.


Ketua Pegawai Eksekutif ADE dalam kenyataan media pada 15 Februari 2022 berkata fasiliti berkenaan dapat menyediakan perkhidmatan MRO berat sehingga 14 pesawat komersial pada bila-bila masa, termasuk bengkel komponen yang berdedikasi dan Pusat Pembangunan Produk Digital, menjadikan ADE sebagai penyedia MRO terbesar di Malaysia serta antara yang terulung di rantau ini.


"Fasiliti baharu ini akan mampu menangani pesawat berbadan sempit dan lebar dan kami berminat untuk mengembangkan keupayaan di luar jenis pesawat biasa," kata  Mahesh Kumar.


Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd berkata antara matlamat pembangunan KLIA Aeropolis adalah bagi merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa serta kargo serantau.


"Untuk tujuan ini, ASZ 1 KLIA adalah kawasan yang ditetapkan untuk memberi tumpuan kepada menyokong aktiviti aeronautik yang kritikal termasuk operasi syarikat penerbangan dan pengendali kargo.


"Kehadiran ADE di ASZ 1 akan mempelbagaikan keupayaan dan kepakaran yang terdapat di KLIA. Penciptaan pekerjaan peringkat tinggi seperti jurutera dan kakitangan teknikal juga akan menyumbang ke arah merangsang ekonomi negara," kata Datuk Iskandar Mizal Mahmood.


Monday 14 February 2022

Maybank Perkenal Maybank Flexible Retirement Solution, Sasar Pulangan 6-8 Peratus Setahun


Sumber Foto : Business Today


PERBANKAN | Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia) memperkenalkan Maybank Flexible Retirement Solution, produk penyelesaian yang bermatlamat sebagai tambahan kepada perancangan persaraan individu.


BH ONLINE pada 15 FEBRUARI 2022/Selasa melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group dan MAM Malaysi berkata produk terbaharu itu membabitkan dua dana global patuh syariah iaitu Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I.


Najib Nazlan berkata, kelebihan ditawarkan MAM Malaysia adalah pelabur boleh memilih salah satu daripada dua dana aset campuran patuh syariah terbabit untuk persaraan mereka.


"Pandemik COVID-19 memberi kesan negatif kepada kewangan sebilangan besar isi rumah kerana mereka terpaksa mengeluarkan simpanan persaraan untuk berhadapan dengan krisis ekonomi.


"Justeru, Maybank Flexible Retirement Solution menyediakan penyelesaian persaraan fleksibel patuh syariah yang pertama di pasaran untuk menambah dan mempelbagaikan perancangan persaraan," katanya selepas pelancaran Maybank Flexible Retirement Solution secara maya.


Najib berkata, penyelesaian berkenaan turut membolehkan pelabur bersedia berhadapan dengan peningkatan inflasi, ketaktentuan pasaran dan jangka hayat yang lebih panjang.


"Situasi hari ini menunjukkan berlakunya kenaikan kos sara hidup dan inflasi. Lantaran itu, kita perlu menitikberatkan kepentingan menambah akaun persaraan individu sedia ada seawal mungkin bagi memastikan jaringan keselamatan yang selesa di masa hadapan.


"Memandangkan kehidupan sukar dijangka, perancangan persaraan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat anda, namun cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan," katanya.


Najib berkata, Maybank Flexible Retirement Solution adalah satu pelaburan unik, kerana pelabur daripada pelbagai segmen boleh memilih tahap risiko yang diinginkan, sama ada sederhana atau pertumbuhan.


Beliau berkata, pelabur juga diberi kebebasan untuk menetapkan perancangan persaraan yang memenuhi matlamat dan keperluan masing-masing.


Malah, katanya golongan muda bekerja boleh melabur dalam penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan mereka, pada setiap peringkat kehidupan.


"Maybank Flexible Retirement Solution memberikan kebebasan kepada pelabur untuk memilih dan menukar antara dua dana berbeza, serta berkongsi kelas untuk memenuhi perubahan gaya hidup dan keperluan persaraan.


"Matlamat dana ini ialah mencapai pertumbuhan modal menerusi jangka sederhana dan jangka panjang dengan sasaran pulangan sebanyak enam hingga lapan peratus setahun.


"Ia menggabungkan peruntukan aset dinamik dan pengurusan risiko ke bawah, bertujuan memastikan kestabilan untuk pelabur yang menyimpan untuk pelaburan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang," katanya.


Dana Maybank Global Wealth Moderate-I ditawarkan dalam dua kelas saham iaitu Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit dan Pengedaran Terlindung Nilai Ringgit, manakala Dana Maybank Global Wealth Growth-I ditawarkan dalam Kelas Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit.


Pelabur boleh membeli unit-unit Dana dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1,000 dan membuat pelaburan tambahan pada harga minimum RM100.

Thursday 3 February 2022

Tidak Capai Sasaran, Mark Zuckerberg Hilang RM100 Bilion Dalam Sehari


   Foto: META


GLOBAL | Mark Zuckerberg kehilangan AS$24 bilion (RM100 bilion ) daripada kekayaan peribadinya, selepas perolehan suku keempat Meta Platforms Inc tidak menepati sasaran.


BLOOMBERG NEWS pada 3 Februari 2022 melaporkan ia menjadi kehilangan nilai kekayaan dalam masa sehari antara yang terbesar dalam sejarah.


Meta melaporkan tiada pertumbuhan bulanan pengguna Facebook pada suku keempat berbanding tempoh sebelumnya, sekali gus membangkitkan persoalan mengenai masa depan syarikat itu.


Saham Meta merudum kira-kira 20 peratus beberapa jam selepas dagangan pada Rabu.


Sekiranya kekal, ia akan meninggalkan Zuckerberg, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta dengan kekayaan bernilai AS$97 bilion (RM405 bilion), susut daripada AS$120.6 bilion (RM505 bilion) ketika pasaran ditutup, demikian menurut Bloomberg Billionaires Index.


Ia akan menolak keluarnya daripada senarai 10 bilionair paling kaya di dunia buat kali pertama sejak Julai 2015.


Penurunan kekayaan sebanyak RM100 bilion dalam masa sehari itu adalah antara yang terbesar dalam sejarah, hanya diatasi oleh turun naik nilai kekayaan Elon Musk.


Bilionair terkaya di dunia itu hilang AS$35 bilion (RM145 bilion) dalam masa sehari November lalu apabila saham Tesla Inc menjunam selepas undian pendapat di Twitter meminta pengguna mengundi sama ada beliau wajar menjual 10 peratus kepentingannya dalam syarikat itu.


Nilai kekayaan Musk turut merosot AS$25.8 bilion (RM108 bilion) minggu lalu.


Bagi Meta, laporan perolehan yang mengcewakan itu menambah lagi cabaran kepadanya.


Ia sedang berdepan beberapa dakwaan kawal selia dan mahu menjustifikasi peralihan strategiknya kepada dunia internet baharu yang dikenali sebagai metaverse.


Selain itu, platform lain seperti TikTok dan YouTube semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna lebih muda.


Bank Negara Pantau Rapi CIMB Isu Tangani Kesilapan Akaun Pelanggan

    Logo CIMB

PERBANKAN | CIMB Bank Bhd (CIMB) sedang dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan langkah diambil kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu untuk mendapatkan semula lebihan amaun dikreditkan kepada pelanggan mereka.


BH ONLINE pada 3 Februari 2022 melaporkan Bank Negara berkata, siasatan tentang insiden itu sedang dijalankan dan ia mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya, jika perlu.


Bank pusat itu menjelaskan, CIMB kini sedang dalam proses menghubungi setiap pelanggan terjejas bagi mengelakkan pelanggan mengalami sebarang gangguan untuk mengakses akaun.


Katanya CIMB dikehendaki memastikan proses mendapatkan semula amaun bukan milik pelanggan berkenaan tidak akan mengakibatkan beban kewangan luar jangka kepada pelanggan yang tidak sedar akan kesilapan pemprosesan itu.


"CIMB akan membincangkan pengaturan pemulihan dengan setiap pelanggan. Pelanggan terjejas yang telah menerima notis daripada CIMB mengenai insiden ini dinasihati supaya menghubungi CIMB bagi memastikan akaun mereka terus dapat diakses dengan lancar," katanya.


Kenyataan itu adalah dalam maklum balasnya kepada BH Online mengenai perkara berkaitan dengan kesilapan pemprosesan oleh CIMB..


Pada 1 Februari 2022/Isnin, CIMB menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.


CIMB berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.


"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya.


CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.


Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.


Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.


Dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB dibekukan sejak Isnin dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

Wednesday 2 February 2022

China, Rusia Rancang Bina Stesen Penyelidikan Di Bulan, Dijangka Siap 2035

   Sumber Grafik: Youtube


GLOBAL | Pentadbiran Angka Lepas Negara China (CNSA) mengesahkan bahawa China bakal bekerjasama dengan Rusia untuk membina sebuah stesen penyelidikan di Bulan yang dijangka siap pada 2035.


Akhbar Daily Star pada 27 Januari 2022 melaporkan Pusat penyelidikan yang dinamakan Stesen Kajian Lunar Antarabangsa (ILRS) itu dilaporkan bakal menjadi saingan kepada stesen Lunar Gateway yang dirancang untuk dibina oleh  Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Ini kerana Lunar Gateway hanya mampu mengorbit Bulan, manakala ILRS akan mempunyai kedua-dua pengorbit dan pangkalan di permukaan Bulan serta beberapa buah kenderaan  penerokaan.


Timbalan Pengarah CNSA, Wu Yanhua dalam satu taklimat akhbar kelmarin berkata, China dan Rusia menyasarkan untuk menyiapkan pembinaan infrastruktur di ILRS menjelang 2035.


Kerja-kerja pembinaan pula dijangka bermula pada 2026, lapor agensi berita United Press International.


“Kami mengalu-alukan penyertaan yang meluas daripada rakan kerjasama antarabangsa yang lain,” kata Yanhua.


Beijing dan Moscow pada bulan Mac tahun lepas telah menandatangani memorandum persefahaman bagi melancarkan projek tersebut.


Dokumen itu turut menyebut bahawa stesen tersebut direka untuk melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dalam pelbagai bidang dan melibatkan pelbagai tujuan.


Kerjasama itu juga dilaporkan adalah sebahagian daripada pelan China untuk menghantar angkasawan pertamanya ke Bulan seawal tahun 2030. 

The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...