Monday 28 February 2022

Malaysia Airports Catat Rugi Lebih Kecil kepada RM766.44 Juta Pada 2021


     Sumber Foto: Malaysia Airport


BISNES | PENERBANGAN | Kerugian bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyusut kepada RM766.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada kerugian bersih RM1.12 bilion tahun lalu.


BERNAMA pada 28 Februari 2022/Isnin melaporkan ia disebabkan pengurangan selanjutnya dalam perbelanjaan operasi teras sebanyak 11 peratus serta peningkatan dalam pendapatan lain.


Selain itu, pengendali lapangan terbang itu berkata, kerugiannya pada tahun kewangan 2021 dikurangkan dengan pengiktirafan aset cukai tertunda daripada kerugian perniagaan tahun semasa.


Hasil bagi tahun dikaji turun kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.87 bilion sebelumnya, disebabkan penguncupan 16 peratus pergerakan penumpang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.


Ia sekali gus menurunkan hasil segmen aeronautik sebanyak 9.9 peratus kepada RM798.1 juta.


"Hasil daripada operasi bukan lapangan terbang meningkat sebanyak 12.3 peratus disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada pertanian, didorong oleh harga tandan buah segar yang lebih tinggi, penyelenggaraan pembaikan dan perniagaan hotel," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


MAHB berkata, bagi tahun kewangan 2021, operasi Malaysia mencatatkan kerugian sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM193.7 juta daripada RM448.1 juta pada tahun kewangan 2020, kerugian sebelum cukai operasi Turki pada RM22.3 juta daripada RM626.8 juta tahun sebelumnya.


Dari segi pergerakan penumpang, kumpulan itu berkata untuk tahun kewangan 2021, ia melihat tanda-tanda pemulihan trafik daripada COVID-19, walaupun pada kadar yang berbeza di Turki dan Malaysia.


"Operasi Turki menunjukkan ke arah normalisasi berikutan trafik penumpang meningkat sebanyak 47.7 peratus (antarabangsa: 69.8 peratus, domestik: 37.8 peratus) kepada 25.4 juta daripada 17.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.


"Sementara itu, operasi Malaysia mencatatkan penurunan pergerakan penumpang sebanyak 58.5 peratus (antarabangsa: pengurangan 86.3 peratus, domestik: pengurangan 37.8 peratus) kepada 10.7 juta penumpang berbanding 25.8 juta penumpang pada tahun sebelumnya," katanya.


MAHB berkata, pendapatan segmen bukan aeronautik menurun 16.0 peratus kepada RM668.5 juta berbanding tahun sebelumnya disebabkan hasil sewa komersial yang lebih rendah daripada operasi Malaysia.


Bagi suku keempat, MAHB menyaksikan kerugian bersihnya menguncup kepada RM136.73 juta daripada RM685.02 juta, disumbangkan oleh hasil lebih tinggi sebanyak 109.1 peratus, ditambah dengan perbelanjaan operasi teras yang lebih rendah sebanyak lapan peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.


Hasilnya melonjak kepada RM551.34 juta daripada RM263.64 juta sebelumnya, seiring dengan peningkatan ketara dalam jumlah penumpang dengan pelonggaran PKP, perjalanan rentas negeri dan pengenalan Lorong Perjalananan Lengkap Vaksin (VTL) di Malaysia, serta momentum pemulihan yang berterusan di Turki.


Melangkah ke hadapan, MAHB menyatakan bahawa VTL Singapura-Kuala Lumpur, penyambungan semula perjalanan umrah dan pengenalan beberapa laluan domestik baharu adalah beberapa perkembangan terkini yang akan terus memacu pemulihan trafik dalam tempoh terdekat.


MAHB berkata, ia kekal yakin dan berwaspada terhadap pemulihan yang berterusan, sambil memantau perkembangan varian membimbangkan, keberkesanan vaksin penggalak dan sekatan perjalanan serta kesannya kepada pemulihan trafik penumpang.


No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...