Monday 19 June 2023

211,509 Jawatan Kosong Diiklan Pada Suku Pertama 2023 - DOSM



Bilangan kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian meningkat 3.5 peratus pada suku tahun pertama 2023 untuk merekodkan sejumlah 211,509 kekosongan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Jabatan itu menjekaskan pada suku berkenaan terdapat sebanyak 23,339 organisasi baharu yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 12,256 organisasi yang direkodkan pada suku keempat 2022.


Katanya, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 32.9 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku keempat 2022.


"Perincian secara bulanan menunjukkan majoriti kekosongan jawatan telah diiklankan pada Mac 2023 dengan 96,688 kekosongan merangkumi sumbangan sebanyak 45.7 peratus pada suku pertama 2023.


"Sementara itu, terdapat 65,297 dan 49,524 kekosongan masing-masing pada bulan Februari dan Januari 2023," katanya dalam Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia, bagi suku tahun pertama 2023.


Analisis suku tahunan ini memaparkan statistik yang disusun berdasarkan kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian oleh beberapa portal pekerjaan swasta yang popular.


Analisis ini juga menyediakan maklumat kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan secara dalam talian daripada pelbagai aspek seperti jenis pekerjaan, profil pekerjaan, aktiviti ekonomi, negeri dan kemahiran


Mengulas lanjut, DOSM berkata, bagi kekosongan jawatan mengikut kategori pekerjaan, hampir separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam Profesional dengan 47.9 peratus atau 101,214 kekosongan.


Katanya, ini diikuti oleh juruteknik dan profesional bersekutu (17.5 peratus), pengurus (13.8 peratus) dan pekerja sokongan perkeranian (8.7 peratus).





"Sebaliknya, pekerjaan paling popular pada suku ini dengan permintaan yang lebih tinggi adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif, akauntan dan juruaudit, profesional bersekutu pentadbiran serta pembangun perisian.


"Melihat kepada kekosongan jawatan mengikut keseluruhan sektor ekonomi, lebih separuh tertumpu kepada sektor perkhidmatan, menyumbang 54.9 peratus atau 116,163 kekosongan pada suku pertama 2023.


"Berhubung analisis kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, bilangan tertinggi dicatatkan oleh perdagangan borong dan runcit (35,956), diikuti oleh pembuatan (21,499), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (13,852) dan aktiviti kewangan dan insurans/takaful (13,326)," katanya.


Dari segi kekosongan jawatan di peringkat negeri, Kuala Lumpur terus mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 62,727 pada suku tahun berkenaan diikuti oleh Selangor dan Johor yang masing-masing mencatatkan 39,990 dan 12,150 kekosongan manakala Labuan mencatatkan bilangan kekosongan jawatan

terendah iaitu 125 iklan.


Menurut DOSM, berkaitan dengan kemahiran yang paling diperlukan dalam pasaran buruh, memiliki kemahiran dan kecekapan dapat meningkatkan laluan kerjaya seseorang individu.


"Justeru, menurut statistik ini, kemahiran insani yang paling banyak diperlukan oleh majikan adalah Bahasa Inggeris, komunikasi, Bahasa Malaysia, pemasaran dan perancangan.


"Sementara itu, Bahasa Mandarin, analisis, pemfailan, Microsoft Office dan pengurusan projek adalah kemahiran teknikal yang paling diperlukan dalam tempoh dikaji," katanya.

The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...