Thursday 27 February 2020

Wisma Putra: Rakyat Malaysia Dinasihat Tangguh Perjalanan Ke Arab Saudi

Makkah


PUTRAJAYA, 27 FEB: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan langkah negara itu menggantung sementara kemasukan warganegara asing termasuk dari Malaysia berikutan wabak Covid-19.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan setelah pengesahan rasmi berhubung perkara itu diterima daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur hari ini.

“Pihak Berkuasa Arab Saudi mengambil langkah ini bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak Covid-19. Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa langkah-langkah itu adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggantung sementara kemasukan warganegara asing ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah ke Masjid Nabawi di Madinah.

“ ...juga menghentikan kemasukan ke Arab Saudi oleh pengunjung dengan visa pelancong dari negara mengalami wabak COVID-19, berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi. Menurut Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dimaksudkan,” katanya.

Wisma Putra berkata pihaknya serta Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci  berhubung perkara itu.

“Rakyat Malaysia di Arab Saudi yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Wednesday 26 February 2020

UMRAH: Belum Ada Arahan Rasmi Gantung Jemaah Malaysia

Makkah


KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan arahan rasmi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah dari Malaysia ke negara itu berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata setakat jam 9.30 pagi tadi Kedutaan Arab Saudi memaklumkan tiada sekatan visa bagi tujuan menunaikan umrah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah.

“Kedutaan Arab Saudi memberitahu buat masa ini tidak ada arahan untuk menyekat jemaah Malaysia.

“Begitu juga apabila disemak dengan syarikat penerbangan Arab Saudi, tidak ada arahan untuk menggantung sementara kemasukan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Razali berkata, PAPUH menjangkakan Arab Saudi hanya akan menggantung kemasukan bagi negara yang teruk terjejas berikutan COVID-19 seperti China dan Hong Kong.

“Setakat ini, penerbangan bagi jemaah Malaysia termasuk yang akan berlepas hari ini masih berjalan seperti biasa.

“Kerajaan Arab Saudi juga hanya mengumumkan akan menyekat jemaah dari negara yang terjejas berikutan COVID-19, cuma tidak disebut negara yang tersenarai.

“Kami menjangkakan Malaysia tidak termasuk di antara negara yang disekat memandangkan masih belum ada yang meninggal dunia berikutan COVID-19,” katanya.

Beliau turut berkata, sekiranya visa jemaah Malaysia disekat, ia berkemungkinan akan menyebabkan penggiat industri umrah tanah air terjejas teruk terutama membabitkan syarikat kecil.

“Walaupun tempoh masa sekarang hingga April bukan musim puncak bagi jemaah Malaysia, tetapi ia masih memberikan kesan terutama kepada syarikat kecil kerana kebiasaannya mereka perlu membayar keseluruhan kos sebelum ketibaan jemaah.

“Jika perkara ini benar-benar berlaku, dijangkakan penggiat industri akan menanggung kerugian minimum RM50 juta sebulan membabitkan sekurang-kurangnya 10,000 jemaah,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung berita penggantungan Umrah dan Ziarah dari negara mengalami COVID-19.

Susulan itu, kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihak itu sewajarnya.

Kenyataan itu disiarkan di twitter rasminya sebentar tadi.

Pengurus Umrah, CSH Holidays Sdn Bhd, Mohd Khairil Azwan, berkata setakat ini pihaknya masih menunggu makluman dari kerajaan Arab Saudi mengenai status penangguhan visa berkenaan.

“Setakat hari ini belum ada makluman terperinci, jadi kami masih menunggu pihak Arab Saudi terutama mengenai status penangguhan itu , adakah ia kekal atau ada jangka masa tertentu.

“Ini disebabkan ada kenyataan yang menyebut ziarah di Makkah dan Masjid Nabawi turut ditangguh, jadi permasalahan di sini akan menimbulkan kerugian yang banyak bukan sahaja kepada syarikat (agensi umrah), tetapi kepada jemaah sendiri,” katanya.

Mohd Khairil berkata, ada dalam kalangan jemaah yang sudah diluluskan permohonan visa dan sudah menempah hotel dan tiket penerbangan.

Justeru, ia menimbulkan tanda tanya adakah perbelanjaan yang sudah dikeluarkan itu turut ditangguh atau hangus berikutan pemberhentian visa berkenaan.

Pagi tadi, Kementerian Luar, Arab Saudi melalui Twitter memaklumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah.

Kerajaan Arab Saudi turut menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman coronavirus dan langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19.

SUMBER: BH ONLINE

Arab Saudi Gantung Sementara Visa Umrah

Makkah


KAHERAH: Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah.

Pengumuman Kementerian Luar negara melalui Twitter, hari ini, menyebut langkah itu susulan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19.

Kerajaan Arab Saudi turut menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman coronavirus.

Ibadah umrah menarik kemasukan ratusan ribu umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun.

Selain itu, kementerian berkenaan meminta rakyat Arab Saudi supaya tidak berkunjung ke negara yang menghadapi penularan COVID-19.

Sementara itu, Iraq melarang semua perhimpunan awam, selain menyekat kemasukan pelawat dari Kuwait dan Bahrain, kata Menteri Kesihatannya, semalam.

Bilangan negara dimasukkan ke dalam senarai larangan masuk berkenaan kini mencecah sembilan, susulan kebimbangan terhadap penularan coronavirus.

Rakyat Iraq kini turut dilarang berkunjung ke sembilan negara, iaitu China, Iran, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Itali, Bahrain serta Kuwait, kata menteri itu dalam satu dekri yang dilihat oleh Reuters.

Selain itu, beliau mengarahkan penggantungan sekolah dan universiti serta penutupan panggung wayang, kafe, kelab serta tempat perhimpunan awam lain di seluruh negara dari 27 Februari hingga 7 Mac depan.

Walaupun bilangan kes baharu COVID-19 menurun di China, berlaku peningkatan mendadak di sebahagian Asia, Eropah dan Asia Barat.

Iran muncul sebagai lokasi utama penularan virus itu di rantau terbabit dengan mencatatkan 15 kematian, setakat ini.

Malah, Kuwait dan Bahrain turut mengumumkan peningkatan kes COVID-19, minggu ini. - 

SUMBER: Agensi

The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...