Makkah |
KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan arahan rasmi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah dari Malaysia ke negara itu berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19.
Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata setakat jam 9.30 pagi tadi Kedutaan Arab Saudi memaklumkan tiada sekatan visa bagi tujuan menunaikan umrah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah.
“Kedutaan Arab Saudi memberitahu buat masa ini tidak ada arahan untuk menyekat jemaah Malaysia.
“Begitu juga apabila disemak dengan syarikat penerbangan Arab Saudi, tidak ada arahan untuk menggantung sementara kemasukan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Razali berkata, PAPUH menjangkakan Arab Saudi hanya akan menggantung kemasukan bagi negara yang teruk terjejas berikutan COVID-19 seperti China dan Hong Kong.
“Setakat ini, penerbangan bagi jemaah Malaysia termasuk yang akan berlepas hari ini masih berjalan seperti biasa.
“Kerajaan Arab Saudi juga hanya mengumumkan akan menyekat jemaah dari negara yang terjejas berikutan COVID-19, cuma tidak disebut negara yang tersenarai.
“Kami menjangkakan Malaysia tidak termasuk di antara negara yang disekat memandangkan masih belum ada yang meninggal dunia berikutan COVID-19,” katanya.
Beliau turut berkata, sekiranya visa jemaah Malaysia disekat, ia berkemungkinan akan menyebabkan penggiat industri umrah tanah air terjejas teruk terutama membabitkan syarikat kecil.
“Walaupun tempoh masa sekarang hingga April bukan musim puncak bagi jemaah Malaysia, tetapi ia masih memberikan kesan terutama kepada syarikat kecil kerana kebiasaannya mereka perlu membayar keseluruhan kos sebelum ketibaan jemaah.
“Jika perkara ini benar-benar berlaku, dijangkakan penggiat industri akan menanggung kerugian minimum RM50 juta sebulan membabitkan sekurang-kurangnya 10,000 jemaah,” katanya.
Sementara itu, Wisma Putra sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung berita penggantungan Umrah dan Ziarah dari negara mengalami COVID-19.
Susulan itu, kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihak itu sewajarnya.
Kenyataan itu disiarkan di twitter rasminya sebentar tadi.
Pengurus Umrah, CSH Holidays Sdn Bhd, Mohd Khairil Azwan, berkata setakat ini pihaknya masih menunggu makluman dari kerajaan Arab Saudi mengenai status penangguhan visa berkenaan.
“Setakat hari ini belum ada makluman terperinci, jadi kami masih menunggu pihak Arab Saudi terutama mengenai status penangguhan itu , adakah ia kekal atau ada jangka masa tertentu.
“Ini disebabkan ada kenyataan yang menyebut ziarah di Makkah dan Masjid Nabawi turut ditangguh, jadi permasalahan di sini akan menimbulkan kerugian yang banyak bukan sahaja kepada syarikat (agensi umrah), tetapi kepada jemaah sendiri,” katanya.
Mohd Khairil berkata, ada dalam kalangan jemaah yang sudah diluluskan permohonan visa dan sudah menempah hotel dan tiket penerbangan.
Justeru, ia menimbulkan tanda tanya adakah perbelanjaan yang sudah dikeluarkan itu turut ditangguh atau hangus berikutan pemberhentian visa berkenaan.
Pagi tadi, Kementerian Luar, Arab Saudi melalui Twitter memaklumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah.
Kerajaan Arab Saudi turut menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman coronavirus dan langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19.
SUMBER: BH ONLINE
No comments:
Post a Comment