Monday 7 November 2022

Bank-Bank Mula Naikkan Kadar Faedah Sejajar OPR



PERBANKAN | Berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, bank-bank dalam negara mula mengumumkan peningkatan kadar pinjaman masing-masing, lapor UTUSAN pada 7 November 2022.


Kadar Asas Standard (SBR) untuk Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank akan berada pada 2.75 peratus manakala Kadar Asas Bank (BR) dan Kadar Asas Islam (IBR) di­semak kepada 3.63 peratus daripada 3.38 peratus.


“Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Islamik (IFR) akan disemak kepada 6.64 peratus daripada 6.39 peratus.


“Perubahan ini berkuat kuasa mulai 8 November 2022. Pela­rasan dalam kadar adalah selaras dengan perubahan OPR terkini,” menurut Hong Leong Bank dalam kenyataan media.


RHB Bank pula meningkatkan SBR daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus, BR daripada 3.25 peratus kepada 3.50 peratus setahun, manakala BLR/BFR daripada 6.20 peratus kepada 6.45 peratus setahun bermula 7 November 2022.


Sementara itu, CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad akan melaksanakan 25 mata asas yang sepadan pe­ningkatan dalam SBR, BR dan Deposit Tetap / Kadar Papan Akaun-i Pulangan Pendapatan Tetap.


“Begitu juga semua kemudahan pembiayaan berdasarkan BLR dan BFR akan dinaikkan sebanyak 0.25 peratus. Semua perubahan kadar berkuat kuasa pada 8 November 2022,” katanya.


OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Berhad juga akan meningkatkan SBR, BR dan BLR/BFR bank sebanyak 0.25 peratus berkuat kuasa 9 November 2022.


“Semua kadar niaga deposit tetap konvensional dan kadar deposit bertempoh Islam juga akan ditingkatkan sebanyak 0.25 peratus pada hari yang sama.


“Dengan kenaikan di atas, SBR OCBC Malaysia dinaikkan daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus, BR daripada 3.33 peratus kepada 3.58 peratus, dan BLR/BFR daripada 6.26 peratus kepada 6.51 peratus,” ujarnya.


Dalam pada itu, Bank Muamalat turut mengumumkan SBR, BR dan BFR akan disemak sebanyak 25 mata asas daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus, BR daripada 3.31 peratus kepada 3.56 peratus dan BFR daripada 6.31 peratus kepada 6.56 peratus berkuat kuasa 8 November 2022.


“Ini akan menjejaskan semua pakej pembiayaan kadar terapung yang disandarkan kepada SBR, BR dan BFR.


“Selaras dengan peningkatan dalam SBR, BR dan BFR, kadar deposit FTA-i Bank Muamalat juga akan disemak dengan sewajarnya,” katanya. 

Sunday 6 November 2022

MYAirline Dijadual Mula Operasi Pada Nov 2022


   

   Sumber : Facebook MyAirline


PENERBANGAN | Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) kekal positif ke atas sektor penerbangan Malaysia apabila syarikat penerbangan tambang rendah baharu, MYAirline dijadual memulakan operasinya bulan November 2022.


Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya berkata, MYAirline dijangka memberi impak positif yang sederhana kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan memberi sedikit kesan negatif kepada Capital A Bhd.


"Walaupun kami percaya bahawa sejarah kembali berulang dengan syarikat penerbangan baharu, MYAirline, Maybank IB berpendapat wujud beberapa perbezaan yang sangat penting pada tahun 2013 apabila sebuah lagi syarikat penerbangan Malaysia, Malindo memulakan operasi sulungnya pada tahun berkenaan.


"Pertumbuhan kapasiti industri pada masa hadapan akan menjadi lebih sederhana kali ini walaupun dengan kemasukan MYAirline dalam sektor penerbangan Malaysia.


"Oleh itu, kesan positif/negatif terhadap MAHB dan Capital A sepatutnya lebih sederhana pada masa ini juga," kata Maybank IB.

   Sumber Foto : Facebook MyAirline


Sebelum ini, apabila Malindo memulakan operasinya, trafik penumpang MAHB Malaysia melonjak 18 peratus tahun ke tahun manakala bagi Capital A, tambang purata AirAsia Malaysia turun 10 peratus tahun ke tahun pada 2013.


Dalam pada itu, ia berkata trafik MAHB melonjak bukan sahaja disebabkan oleh kemasukan Malindo sendiri tetapi ia turut dipacu oleh syarikat penerbangan Malaysia lain yang menerima pesawat baharu, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memberi impak positif kepada trafik penumpang.


Malaysia Airlines menyertai pakatan syarikat penerbangan global, oneworld pada tahun berkenaan, menggalakkan ahli oneworld syarikat penerbangan lain untuk kerap melakukan penerbangan ke Malaysia, kata Maybank IB.


"Hari ini, tiada syarikat penerbangan Malaysia selain Batik Air Malaysia bercadang untuk menambah saiz armada. Menjadi perbualan ketika ini adalah mengenai 20 pesawat Airbus A330 yang akan diambil oleh Malaysia Airlines adalah untuk menggantikan bukan mengembangkan pesawat Airbus A330 sedia ada.


"Tambahan pula, AirAsia Malaysia bercadang untuk memindahkan 10 hingga 11 pesawat ke Indonesia AirAsia untuk memanfaatkan persekitaran tambang tinggi di sana.


"Justeru, peningkatan trafik penumpang kepada MAHB menerusi kemasukan MYAirline mungkin akan lebih sederhana kali ini," kata Maybank IB.


Memandangkan syarikat penerbangan Malaysia tidak akan menambah kapasiti dalam tempoh terdekat, ditambah pula dengan rancangan MYAirline untuk tidak bersaing dengan syarikat penerbangan lain, ia menganggap sektor penerbangan Malaysia tidak akan berada pada paras sebelum pandemik apabila lebihan kapasiti mendorong syarikat penerbangan tempatan untuk bersaing sehingga menyebabkan tiada syarikat penerbangan tempatan mencatat keuntungan pada 2019.


Sehubungan itu, firma penyelidikan menjangkakan penurunan tambang MAA berikutan kemasukan MYAirline menjadi lebih sederhana kali ini.


Ketika berita ini ditulis, armada MYAirline terdiri daripada empat Airbus A320 yang dipajak daripada beberapa pemajak.


"MYAirline menyasarkan untuk memajak lebih 50 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang. Buat masa ini, ia tidak bercadang untuk memajak Boeing B737 MAX atau Airbus A330. Syarikat penerbangan baharu itu mahu menggunakan hanya satu jenis pesawat (Airbus A320) dan satu konfigurasi (180 kerusi).


"Mengenai kos, berdasarkan perbualan kami dengan beberapa sumber daripada industri pajakan pesawat memberitahu bahawa MYAirline mampu bersaing dengan Capital A untuk gelaran syarikat penerbangan tambang murah menawarkan tambang terendah di peringkat antarabangsa. Mereka juga mendedahkan bahawa MYAirline memperoleh kadar pajakan pesawat yang rendah," katanya.


Maybank IB telah mengulangi saranan 'beli' ke atas MAHB dan Capital A dengan harga sasaran masing-masing sebanyak RM7.16 dan 84 sen.


Pada 11 pagi, saham MAHB naik satu sen kepada RM5.96 dengan 22,400 saham diniagakan manakala Capital A turun setengah sen kepada 59.5 sen dengan 787,300 saham didagangkan.


Sumber Berita Asal : BERNAMA/ 7 November 2022

The Ultimate Guide to Creating and Selling Info Products From $7 to $2,000

By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Introduction In today's digital age, the information economy is booming, and there's a massive o...