PERBANKAN | Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 6 Julai 2023/Khamis membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Dalam satu kenyataan media pada 7 Julai 2023, BNM berkata, ekonomi global terus berkembang didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
Walaubagaimanapun katanya, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi.
"Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.
BNM berkata, pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini.
Katanya, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat juga dijangka kekal ketat dengan prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan.
Ini terutamanya katanya disebabkan oleh momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.
"Susulan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama 2023, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada beberapa bulan ini.
"Keadaan itu berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan, seperti yang dijangka," katanya.
Bank pusat berkata, pertumbuhan bagi bulan ke hadapan 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Perbelanjaan isi rumah katanya terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.
Katanya, ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan.
"Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan.
"Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan," katanya.
Mengulas lanjut, BNM berkata, prospek pertumbuhan bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.
Risiko pertumbuhan katanya menjadi lebih tinggi pula berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek yang lebih pantas.
Inflasi keseluruhan juga katanya terus menurun berikutan faktor kos yang lebih rendah.
"Walaupun inflasi teras turut menjadi sederhana, inflasi tersebut kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.
"Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi separuh kedua 2023 diunjurkan lebih rendah namun pada amnya adalah mengikut jangkaan," katanya.
BNM berkata, risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh inflasi teras yang berlarutan, perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan.
Katanya, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
MPC katanya akan terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
"MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya.
Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh :
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.
Ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh. Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi. Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada bulan-bulan kebelakangan ini.
Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini. Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.
Susulan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun 2023, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada bulan-bulan kebelakangan ini. Keadaan ini berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan, seperti yang dijangka. Pertumbuhan bagi bulan-bulan seterusnya pada tahun 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.
Ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan. Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan.
Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan. Risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi pula berpunca terutamanya daripada faktor-faktor dalam negeri seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek yang lebih pantas.
Inflasi keseluruhan terus menurun berikutan faktor kos yang lebih rendah. Meskipun inflasi teras juga menjadi sederhana, inflasi tersebut kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi separuh kedua tahun 2023 diunjurkan lebih rendah namun pada amnya adalah mengikut jangkaan. Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh inflasi teras yang berlarutan, perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
No comments:
Post a Comment