Tuesday 4 July 2023

PROTON catat prestasi jualan terbaik sejak 2012


    Sumber Foto : Proton Cars


AUTOMOTIF | Pengeluar kereta nasional, PROTON mencatat kejayaan apabila separuh pertama tahun 2023 apabila mencapai jumlah jualan terkumpul terbaik sejak 2012.


Dengan 14,351 unit dijual pada bulan Jun 2023 yang merangkumi pasaran domestik dan eksport, jualan PROTON setakat enam bulan pertama 2023 berjumlah 77,321 unit, meningkat 28.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, malah mengatasi lebih daripada tiga kali ganda pertumbuhan jualan industri.


Bagi bulan Jun, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 61,900 unit dan hasilnya, pegangan pasaran PROTON dianggarkan pada 23.2 peratus manakala angka pegangan pasaran tahun sehingga kini meningkat semula kepada 21.3 peratus, peningkatan sebanyak 3.2 peratus dalam tempoh yang sama dari tahun lalu.


Ia angka pertumbuhan tertinggi dalam kalangan lima jenama teratas di pasaran automotif Malaysia, yang turut meningkat 9.4 peratus pada separuh pertama tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata prestasi PROTON pada separuh pertama tahun ini patut diberi perhatian kerana mencapai permulaan tahunan yang terbaik sejak 2012 dan juga berada di landasan untuk pertumbuhan jualan bagi tahun kelima berturut-turut.


Beliau berkata, angka-angka itu menunjukkan permintaan untuk produk PROTON kekal kukuh walaupun unjuran pengurangan kuasa beli untuk pengguna, dan ini terbukti dengan kadar pertumbuhan syarikat yang mengatasi pasaran keseluruhan lebih tiga kali ganda.


"Ia juga menunjukkan bahawa strategi kami menawarkan produk berkualiti tinggi dengan teknologi ketersambungan pada harga yang berbeza-beza membolehkan kami meliputi sebahagian besar pembeli kereta Malaysia.


"Untuk separuh kedua tahun ini, PROTON yakin kami mempunyai produk dan strategi promosi untuk meneruskan trajektori pertumbuhan.


"Kami juga akan melaksanakan rancangan untuk mengemas kini rangkaian, melancarkan kemasukan ke pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan PRO-NET dan meningkatkan lagi kualiti produk melalui pelaburan yang diumumkan tahun ini untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan media pada 5 Julai 2023.


Lima model PROTON menerajui jualan dalam segmen pasaran masing-masing pada bulan Jun.


Proton Saga mendahului semula sedan segmen-A dengan melepasi ambang 6,000 unit buat kali ketiga tahun ini setelah mengakhiri bulan Jun dengan 6,111 unit. Secara terkumpul, 33,325 unit dijual setakat ini, yang juga prestasi terbaik model itu sejak tahun 2012.


Sementara itu, penyerahan model serba baharu Proton X90 kini bermula dengan giat dan meningkat lebih daripada empat kali ganda pada bulan lalu, apabila 1,082 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama PROTON diserahkan, yang meletakkan model itu di tangga teratas kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen D.


Satu lagi model yang berada di puncak segmen pasarannya pada bulan Jun ialah Proton Persona, dengan 2,254 unit dijual pada bulan Jun membolehkannya mendahului semula sedan segmen B sambil mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju segmen keseluruhan selepas enam bulan.


Proton X50 pula mengekalkan kedudukannya bukan sahaja sebagai pendahulu keseluruhan untuk SUV segmen-B, tetapi juga kedudukannya sebagai SUV paling popular di Malaysia, kejayaan yang dipegang sejak pelancarannya pada Oktober 2020.


Sebanyak 2,449 unit Proton X50 dijual pada Jun manakala secara terkumpul, 17,562 unit diserahkan tahun ini, peningkatan sebanyak 9.9 peratus berbanding 2022.


Peneraju segmen keseluruhan kelima PROTON ialah Proton Exora, yang kekal tidak dicabar dalam pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C, apabila 368 unit dijual pada bulan Jun, membawa kepada peningkatan terkumpul sebanyak 21.5 peratus.


Dalam pada itu, Proton Iriz mencapai 842 unit pada bulan Jun, ketiga terbaik dalam segmennya, manakala Proton X70 mencatatkan prestasi kedua terbaiknya untuk tahun ini dengan 1,245 unit dijual bulan Jun.

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...