Monday 14 February 2022

Maybank Perkenal Maybank Flexible Retirement Solution, Sasar Pulangan 6-8 Peratus Setahun


Sumber Foto : Business Today


PERBANKAN | Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia) memperkenalkan Maybank Flexible Retirement Solution, produk penyelesaian yang bermatlamat sebagai tambahan kepada perancangan persaraan individu.


BH ONLINE pada 15 FEBRUARI 2022/Selasa melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group dan MAM Malaysi berkata produk terbaharu itu membabitkan dua dana global patuh syariah iaitu Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I.


Najib Nazlan berkata, kelebihan ditawarkan MAM Malaysia adalah pelabur boleh memilih salah satu daripada dua dana aset campuran patuh syariah terbabit untuk persaraan mereka.


"Pandemik COVID-19 memberi kesan negatif kepada kewangan sebilangan besar isi rumah kerana mereka terpaksa mengeluarkan simpanan persaraan untuk berhadapan dengan krisis ekonomi.


"Justeru, Maybank Flexible Retirement Solution menyediakan penyelesaian persaraan fleksibel patuh syariah yang pertama di pasaran untuk menambah dan mempelbagaikan perancangan persaraan," katanya selepas pelancaran Maybank Flexible Retirement Solution secara maya.


Najib berkata, penyelesaian berkenaan turut membolehkan pelabur bersedia berhadapan dengan peningkatan inflasi, ketaktentuan pasaran dan jangka hayat yang lebih panjang.


"Situasi hari ini menunjukkan berlakunya kenaikan kos sara hidup dan inflasi. Lantaran itu, kita perlu menitikberatkan kepentingan menambah akaun persaraan individu sedia ada seawal mungkin bagi memastikan jaringan keselamatan yang selesa di masa hadapan.


"Memandangkan kehidupan sukar dijangka, perancangan persaraan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat anda, namun cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan," katanya.


Najib berkata, Maybank Flexible Retirement Solution adalah satu pelaburan unik, kerana pelabur daripada pelbagai segmen boleh memilih tahap risiko yang diinginkan, sama ada sederhana atau pertumbuhan.


Beliau berkata, pelabur juga diberi kebebasan untuk menetapkan perancangan persaraan yang memenuhi matlamat dan keperluan masing-masing.


Malah, katanya golongan muda bekerja boleh melabur dalam penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan mereka, pada setiap peringkat kehidupan.


"Maybank Flexible Retirement Solution memberikan kebebasan kepada pelabur untuk memilih dan menukar antara dua dana berbeza, serta berkongsi kelas untuk memenuhi perubahan gaya hidup dan keperluan persaraan.


"Matlamat dana ini ialah mencapai pertumbuhan modal menerusi jangka sederhana dan jangka panjang dengan sasaran pulangan sebanyak enam hingga lapan peratus setahun.


"Ia menggabungkan peruntukan aset dinamik dan pengurusan risiko ke bawah, bertujuan memastikan kestabilan untuk pelabur yang menyimpan untuk pelaburan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang," katanya.


Dana Maybank Global Wealth Moderate-I ditawarkan dalam dua kelas saham iaitu Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit dan Pengedaran Terlindung Nilai Ringgit, manakala Dana Maybank Global Wealth Growth-I ditawarkan dalam Kelas Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit.


Pelabur boleh membeli unit-unit Dana dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1,000 dan membuat pelaburan tambahan pada harga minimum RM100.

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...