Thursday 24 February 2022

Untung Maybank Melonjak 24.9 Peratus Kepada RM8.1 Bilion pada 2021

   Logo : Maybank


KEWANGAN & PERBANKAN | Malayan Banking Bhd (Maybank) merekodkan peningkatan keuntungan bersih 24.9 peratus kepada RM8.1 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM6.48 bilion pada tempoh sama tahun 2022.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank berkata prestasi positif kumpulan itu disumbangkan oleh prospek ekonomi serantau yang bertambah baik.


Datuk Seri Abdul Farid Alias berkata situasi ekonomi serantau itu menyokong pertumbuhan pendapatan operasi bersih dan mengurangkan kerugian rosot nilai 36.6 peratus hasil daripada peruntukan awal kumpulan untuk pinjaman dan pelaburan kewangan berpotensi buruk yang dilaksanakan sejak bermulanya pandemik pada 2020.


Katanya Maybank yang juga bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset itu turut merekodkan pendapatan lebih tinggi bagi tempoh dikaji dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 25.8 peratus tahun ke tahun kepada RM10.89 bilion.


Pendapatan operasi bersih kumpulan juga, katanya, meningkat 2.8 peratus kepada RM25.45 bilion, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 3.1 peratus pada 2021.


"Keupayaan kumpulan untuk menyampaikan keputusan yang lebih baik pada 2021 disokong oleh keputusan stategik berhemat dari segi pengurusan kredit dan risiko semenjak bermulanya pandemik," katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan Maybank secara maya, lapor BH ONLINE pada 24 Februari 2022/Khamis.


Abdul Farid berkata, kumpulan juga komited memberikan pertumbuhan bertanggunjawab dan mengekalkan pulangan pemegang saham yang baik.


"Kekuatan dan daya tahan kewangan kami adalah hasil daripada tumpuan dalam membina kecairan, modal, serta amalan kredit dan pengurusan risiko yang kukuh di seluruh kumpulan selama ini.


"Ini membantu kami mengatasi pandemik dan memberi keupayaan untuk menyokong pelanggan kami yang memerlukan," katanya


Abdul Farid berkata, walaupun terdapat risiko COVID-19 yang berlarutan ketika ini, Maybank kekal optimis berdasarkan peratusan tinggi rakyat yang sudah mendapat vaksin lengkap.


Beliau berkata, kumpulan juga sedang belajar untuk hidup dengan kewujudan mutasi virus itu.


Katanya, berdasarkan perkara itu, Maybank akan kekal teguh dalam mengejar cita-cita M25 untuk membolehkan penciptaan nilai yang bermakna dan berkekalan.


"Di bawah pelan M25 pada 2021, Maybank berjaya meluaskan rangkuman kewangan dan kebolehcapaian bagi pelanggannya dengan membolehkan pemindahan rentas sempadan masa nyata antara Malaysia dan Singapura serta dengan Kemboja.


"Pelan ini juga memudahkan perbankan perniagaan harian untuk pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelancaran Maybank2u Biz," katanya.


Beliau menambah, dalam meraih peluang pertumbuhan baharu dalam bidang digital, kemampanan, PKS dan segmen kekayaan, Maybank juga mencatat penembusan pinjaman PKS yang lebih besar di seluruh rantau.


"Kumpulan juga melancarkan penyelesaian pengurusan kekayaan islam baharu dan dana baharu bertemakan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir) pada 2021," katanya.


Mengulas mengenai prestasi kewangan Maybank di pasaran utama, Abdul Farid berkata, Maybank Indonesia turut merekodkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak 29.9 peratus kepada 1.64 trilion rupiah (RM479 juta).


Beliau berkata, lonjakan itu disebabkan oleh peruntukan yang lebih rendah, penurunan kos dana dan kos overhed serta prestasi yang lebih baik daripada unit perbankan shariah.


Maybank Singapura, katanya, turut merekodkan peningkatan kukuh sebanyak 77.2 peratus keuntungan sebelum cukai kepada S$324.92 juta (RM1.01 bilion).

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...