Thursday 3 February 2022

Bank Negara Pantau Rapi CIMB Isu Tangani Kesilapan Akaun Pelanggan

    Logo CIMB

PERBANKAN | CIMB Bank Bhd (CIMB) sedang dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan langkah diambil kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu untuk mendapatkan semula lebihan amaun dikreditkan kepada pelanggan mereka.


BH ONLINE pada 3 Februari 2022 melaporkan Bank Negara berkata, siasatan tentang insiden itu sedang dijalankan dan ia mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya, jika perlu.


Bank pusat itu menjelaskan, CIMB kini sedang dalam proses menghubungi setiap pelanggan terjejas bagi mengelakkan pelanggan mengalami sebarang gangguan untuk mengakses akaun.


Katanya CIMB dikehendaki memastikan proses mendapatkan semula amaun bukan milik pelanggan berkenaan tidak akan mengakibatkan beban kewangan luar jangka kepada pelanggan yang tidak sedar akan kesilapan pemprosesan itu.


"CIMB akan membincangkan pengaturan pemulihan dengan setiap pelanggan. Pelanggan terjejas yang telah menerima notis daripada CIMB mengenai insiden ini dinasihati supaya menghubungi CIMB bagi memastikan akaun mereka terus dapat diakses dengan lancar," katanya.


Kenyataan itu adalah dalam maklum balasnya kepada BH Online mengenai perkara berkaitan dengan kesilapan pemprosesan oleh CIMB..


Pada 1 Februari 2022/Isnin, CIMB menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.


CIMB berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.


"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya.


CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.


Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.


Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.


Dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB dibekukan sejak Isnin dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...