PERHOTELAN | Kadar tempahan bilik hotel seluruh negara disasar meningkat sehingga 60 peratus menjelang suku ketiga tahun 2022 susulan pembukaan semula pintu sempadan negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
BH ONLINE pada 3 APRIL 2022 melaporkan Yap Lip Seng, berkata peningkatan itu didorong pertambahan kehadiran pelancong antarabangsa termasuk dari Singapura selepas laluan sempadan darat antara kedua negara berjiran itu dibuka.
Jelas beliau sejak Januari 2022 hingga kini kadar penginapan hotel adalah antara 30 hingga 40 peratus, sebahagian besar disumbang pelancong domestik (selepas kebenaran rentas negeri), selain bergantung kepada permintaan ketika cuti dan perayaan.
"Dengan pembukaan semula sempadan negara pastinya kita mengharap ketibaan lebih ramai (pelancong), ini sedikit demi sedikit membantu pemulihan industri pelancongan dan hotel yang terjejas teruk kesan pandemik COVID-19.
"Kami yakin industri ini berada pada landasan untuk pulih dengan jangkaan kadar tempahan penginapan hotel kemungkinan akan naik sehingga 60 peratus menjelang suku ketiga tahun ini," katanya.
Pada 1 April 2022, pintu sempadan negara dibuka semula selepas dua tahun ditutup akibat pandemik. Ia juga selaras dengan fasa peralihan ke endemik yang berkuat kuasa hari sama.
Pembukaan sempadan itu menyaksikan rakyat Malaysia khususnya di Singapura, pulang ke tanah air, malah detik bersejarah itu dikongsikan ramai pengguna media sosial yang rata-rata sebak dan terharu dapat kembali ke kampung halaman masing-masing.
Selain itu Lip Seng berkata, kadar tempahan tidak akan meningkat dalam sekelip mata selepas pembukaan sempadan berikutan ketibaan Ramadan dan perayaan selain ramai rakyat tempatan akan bercuti ke luar negara.
"Apapun kita akan pastikan pengusaha melaksanakan yang terbaik dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan.
"Malah sekarang juga adalah masa bagi pemain industri pelancongan meningkatkan promosi bagi menarik minat kedatangan pelancong," katanya.
Jelas beliau industri amat memerlukan pemasaran yang agresif untuk mempromosikan Malaysia di luar negara sebagai destinasi pelancongan terpilih.
No comments:
Post a Comment