Friday 1 April 2022

Takaful Ikhlas, Andalusia Jalin Kerjasama Sedia Perlindungan Umrah Dan Haji


       Logo : TAKAFUL IKHLAS


TAKAFUL | Takaful Ikhlas General Bhd menjalin kerjasama strategik dengan agensi pelancongan tempatan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd bermula 7 Februari 2022, bagi menyediakan perlindungan takaful menyeluruh untuk peserta umrah dan haji sepanjang tempoh ibadah.


Takaful IKHLAS, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd dalam kenyataan media pada 1 APRIL 2022 berkata turut menyasarkan usaha berkenaan dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan sebanyak RM9 juta setahun selain mengukuhkan jenamanya sebagai pengendali takaful yang diyakini.


"Kerjasama ini juga dijangka dapat melebarkan penguasaan pasaran Takaful IKHLAS dalam segmen takaful perjalanan," katanya.


Di bawah kerjasama itu, Takaful IKHLAS akan menyediakan produk dan khidmat takaful kepada peserta umrah yang berdaftar dengan Andalusia Travel & Tours.


"Produk dan khidmat itu kami edarkan melalui Andalusia Tijarah, unit pengurusan takaful bagi Andalusia Travel & Tours yang mempunyai 40 cawangan di serata negara," katanya.


Jelasnya, kerjasama itu turut menyokong inisiatif Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dalam mempermudah ziarah umrah di samping memastikan kebolehlaksanaan dan kesinambungan bagi rakyat negara ini melaksanakan ibadah umrah.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Bhd berkata pihaknya menyokong penuh usaha Andalusia Travel & Tours dalam memberikan khidmat penyediaan pakej umrah kepada umat Islam di negara ini.


"Kami berbesar hati menjadi pengendali takaful eksklusif untuk bekerjasama dengan Andalusia Travel & Tours dalam membantu menyediakan pelbagai perlindungan takaful kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah serta melancong bersama Andalusia Travel & Tours," kata Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.


Sementara itu, Pengasas Andalusia Travel & Tours  menyuarakan harapan di atas kerjasama itu berikutan Takaful IKHLAS menyediakan pelan perlindungan menyeluruh untuk memenuhi pelbagai keperluan jemaah umrah.


"Ini membuktikan bahawa Takaful IKHLAS amat peka terhadap masalah peserta umrah yang memerlukan perlindungan tambahan termasuk perbelanjaan perubatan dan kos kuarantin bagi yang positif COVID-19 sejurus pulang ke tanah air," kata Ibrahim Mat Sin.


Andalusia Travel & Tours yakin usaha itu dapat memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pasaran penyediaan pakej dan pengaturan perjalanan umrah dengan menyediakan perlindungan takaful yang komprehensif untuk pelanggan.


"Kerjasama ini juga turut dapat membantu meningkatkan pasaran Andalusia Travel & Tours sedia ada kepada 50,000 pelanggan setiap tahun daripada 30,000 pelanggan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...