Tuesday 29 March 2022

Bank Negara Unjur Pertumbuhan Ekonomi Kekal 5.3 hingga 6.3 Peratus Pada 2022

    Sumber Foto: MOF


EKONOMI | Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus bertambah baik dengan berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada tahun 2022, meningkat daripada pertumbuhan 3.1 peratus pada 2021, kata Bank Negara Malaysia (BNM).


Bank pusat itu dalam laporan Kajian Ekonomi dan Kewangan 2021 (EMR 2021) yang dikeluarkan pada 30 Mac 2022 menjelaskan unjuran itu disokong pengembangan berterusan dalam permintaan luar, penarikan balik sepenuhnya langkah pembendungan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan keadaan pasaran buruh/tenaga kerja semakin baik.


Katanya pelaksanaan projek pelaburan dan langkah dasar yang disasarkan memberikan sokongan seterusnya kepada aktiviti ekonomi dan permintaan agregat.


BNM berkata pemulihan sektor swasta lebih kukuh, disokong oleh penambahbaikan pasaran buruh/tenaga kerja menjadi pemacu pertumbuhan utama pada 2022.


Jelasnya apabila aktiviti ekonomi meningkat, kadar pengangguran dijangka terus berkurangan pada 2022 kepada kira-kira 4.0 peratus daripada tenaga buruh, disokong langkah disasarkan untuk melonjakkan permintaan buruh, memudahkan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran serta mengurangkan geseran pasaran buruh.


Katanya ia menambah pemulihan berterusan dalam pekerjaan dan pendapatan dijangka memacu peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah, manakala kemajuan dalam vaksinasi dan penarikan balik langkah pembendungan membawa kepada peningkatan dalam keyakinan pengguna selain beberapa permintaan terpendam dapat direalisasikan.


"Hasilnya, penggunaan swasta dijangka melonjak 9.0 peratus (2021: naik 1.9 peratus) manakala pelaburan swasta juga diunjur pulih, meningkat 5.3 peratus pada 2022 daripada 2.6 peratus pada 2021, disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan pelaksanaan projek pelaburan baharu dan yang sedang dijalankan," katanya.


Mengenai pelaburan awam pula, BNM berkata ia diunjurkan berkembang 9.6 peratus pada 2022 berbanding penguncupan 11.4 peratus tahun 2021, didorong oleh perbelanjaan modal berterusan kerajaan dan syarikat awam.


"Penggunaan awam dijangka berkembang 1.2 peratus pada 2022 daripada 6.6 peratus pada 2021, penyederhanaan itu disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam emolumen dan penguncupan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan," katanya.


Ia menyatakan bahawa langkah dasar disasarkan dijangka kekal untuk memudahkan momentum pemulihan.


Walaupun menyedari langkah pembendungan lebih meluas berpotensi dilaksanakan semula disebabkan kebangkitan semula penularan COVID-19 seperti kemunculan varian membimbangkan (VOC) yang teruk dan tahan vaksin merupakan risiko penurunan utama kepada pertumbuhan domestik, BNM tetap mengunjurkan risiko keseluruhan condong ke arah bawah.


"Pertumbuhan global yang lebih tinggi daripada jangkaan dan peningkatan lebih kukuh daripada jangkaan dalam sektor berkaitan pelancongan di tengah-tengah pembukaan semula sempadan menimbulkan risiko meningkat kepada pertumbuhan domestik," katanya.


Semua Sektor Ekonomi Diunjurkan Berkembang Pada 2022, Diterajui Sektor Perkhidmatan


Menurut BNM, semua sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2022, dengan sektor berorientasikan eksport terus mendapat manfaat daripada permintaan luar dan pengembangan kapasiti pengeluaran domestik yang kukuh.


Katanya sektor perkhidmatan dijangka menyaksikan pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.9 peratus daripada 1.9 peratus pada 2021, diikuti pembinaan (6.1 peratus daripada -5.2 peratus pada 2021), pembuatan (5.2 peratus daripada 9.5 peratus pada 2021), perlombongan dan kuari (2.5 peratus daripada 0.7 peratus pada 2021) dan pertanian (1.5 peratus daripada -0.2 peratus pada 2021).


Bank pusat itu menambah jangkaan pertumbuhan lebih tinggi bagi sektor perkhidmatan diterajui subsektor berkaitan pengguna dan pelancongan; pertumbuhan dalam sektor pembuatan disokong kelompok atau kluster elektrik dan elektronik (E&E) berikutan permintaan global berterusan; dan pemulihan dalam sektor pertanian dipacu terutamanya pengeluaran minyak sawit lebih tinggi.


Bagi sektor perlombongan, BNM berkata ia dijangka mencerminkan peningkatan berterusan dalam pengeluaran minyak mentah dan gas asli susulan pengoperasian kemudahan baharu seperti projek gas Pegaga di luar pantai Sarawak; manakala pertumbuhan dalam sektor pembinaan dijangka pulih berikutan pembukaan semula ekonomi. 

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...