Friday 25 March 2022

Bank Negara Perkenal MYOR-i Rangsang Pembangunan Inovasi Produk Kewangan Islam


   Sumber Foto: Bank Negara Malaysia


PERBANKAN | Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) yang bakal merangsang pembangunan inovasi produk kewangan patuh syariah seterusnya memperkukuh pasaran kewangan Islam Malaysia.


BNM dalam kenyataan media pada 25 MAC 2022 menjelaskan MYOR-i juga bakal mengukuhkan ekosistem patuh syariah holistik serta meningkatkan amalan dan piawaian pasaran terbaik.


Katanya MYOR-i menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (KLIRR), yang akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.


"MYOR-i adalah kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia dan dibangunkan mengikut Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan.


"Ia akan menjadi pemangkin dalam memacu inovasi produk kewangan Islam dan mewujudkan ketelusan bagi peserta pasaran untuk berunding dan menyeragamkan kontrak kewangan mereka, seterusnya mencapai penetapan harga yang cekap merentas semua instrumen kewangan," menurut BNM.


Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh : 


BNM melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia bagi merangsang inovasi produk kewangan Islam


Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelancaran Kadar Semalaman Islam Malaysia (Malaysia Islamic Overnight Rate, MYOR-i). 


Pengenalan MYOR-i akan merangsang pembangunan produk kewangan patuh Syariah yang inovatif yang akan terus memperdalam pasaran kewangan Islam Malaysia. MYOR-i juga akan mengukuhkan ekosistem patuh Syariah yang holistik serta meningkatkan amalan dan piawaian pasaran yang terbaik.


MYOR-i merupakan kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia. Kadar ini dibangunkan menurut Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan [1]. Majlis Penasihat Shariah (MPS) BNM juga telah mengesahkan status patuh Syariah MYOR-i. 


MYOR-i akan menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Reference Rate, KLIRR), yang akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.


Dalam usaha membangunkan MYOR-i, BNM telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) [2] dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam (Islamic Market Technical and Development Committee, IMTDC) AIBIM-FMAM [3]. Dokumen dasar MYOR-i telah diterbitkan melalui laman sesawang BNM dengan ciri utama dan piawaian tadbir urus yang berikut:


MYOR-i ditadbir dan dikira oleh BNM. MYOR-i merupakan kadar pulangan purata berwajaran jumlah (volume-weighted average rate of return) bagi urus niaga Ringgit semalaman patuh Syariah antara bank tanpa cagaran, termasuk operasi monetari semalaman Islam BNM [4].


MYOR-i pada masa ini adalah berasaskan instrumen Murabahah Komoditi. Instrumen patuh Syariah yang baharu boleh dimasukkan pada masa hadapan.


MYOR-i untuk mana-mana hari bekerja di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada pukul 12 tengah hari pada hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM.


BNM akan melakukan penilaian berkala terhadap MYOR-i bagi memastikan MYOR-i terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas.


Penubuhan MYOR-i sebagai kadar penanda aras Islam akan menjadi pemangkin dalam memacu inovasi produk kewangan Islam dan mewujudkan ketelusan bagi peserta pasaran untuk berunding dan menyeragamkan kontrak kewangan mereka, seterusnya mencapai penetapan harga yang cekap merentas semua instrumen kewangan. 


Hal ini akan membantu memperdalam pasaran kewangan Islam dalam negeri dan meningkatkan peranannya untuk membiayai kegiatan ekonomi benar di Malaysia.


Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pasukan Tinjauan Penanda Aras Kewangan (Financial Benchmark Review) BNM melalui fbr@bnm.gov.my.


Lihat juga:


Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) dan jumlah agregat

https://www.bnm.gov.my/myor-i


Dokumen Dasar Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i)

https://www.bnm.gov.my/documents/20124/938039/pd-myor-i.pdf


Nota kaki


[1] Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan dibangunkan oleh Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (International Organization of Securities Commission, IOSCO). IOSCO menyediakan rangka kerja yang menyeluruh bagi prinsip untuk penanda aras yang digunakan dalam pasaran kewangan.


[2] FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016. Keahlian FMC terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.


[3] AIBIM: Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia)

FMAM: Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (Financial Markets Association Malaysia)


[4] Tidak termasuk Kemudahan Tersedia.


Bank Negara Malaysia

25 Mac 2022


No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...