Tuesday 22 March 2022

KLIA, Langkawi Dinobatkan Antara Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2021

    KLIA



PENERBANGAN | Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) dipilih sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia.


Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan media pada 23 Mac 2022 berkata pemilihan itu berdasarkan kepada kategori masing-masing bagi 2021 dalam kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) yang dijalankan oleh Airports Council International (ACI).


KLIA dan LIA mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu lapangan terbang yang memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan setahun dan dua hingga lima juta pelanggan setahun. 


ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi keseluruhan kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.


Penghargaan terbaharu oleh badan global itu memberi dorongan kepada MAHB untuk terus mengekalkan standard tinggi perkhidmatannya terutama dengan jangkaan peningkatan penumpang selepas sempadan Malaysia dibuka semula pada 1 April 2022.


Kumpulan itu merekodkan sejumlah 4.66 juta penumpang pada Februari 2022, yang mana 2.54 juta penumpang atau 55 peratus disumbang oleh rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45 peratus daripada asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG).


Di Malaysia, pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa sebanyak 280,000, manakala ISG mencatatkan 1.09 juta penumpang domestik dan 1.03 juta penumpang antarabangsa.


Bagi operasi kargo, kumpulan itu merekodkan peningkatan jumlah tan sebanyak 17.4 peratus bulan lalu yang mana kira-kira 86,768 tan metrik bagi operasi kargo di Malaysia dan juga di Turki, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.


Syarikat penerbangan kargo milik Malaysia, Kargo Xpress yang memulakan operasinya di KLIA pada Jun 2021, memulakan laluan baharu Kuala Lumpur-Hong Kong selain mengendalikan dua penerbangan kargo tempatan ke Kuching dan Kota Kinabalu.


Ia kini menawarkan perkhidmatan penerbangan harian ke Hong Kong ekoran pertumbuhan permintaan terhadap kargo udara daripada sektor e-dagang, perkhidmatan pos, penghantaran dan industri yang memerlukan perkhidmatan logistik bernilai tinggi.


Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata trafik dijangka pulih dengan stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila lebih banyak negara membuka semula sempadan sejajar dengan kadar vaksinasi tinggi di rantau ini.


Ia berkata, peningkatan seterusnya dijangkakan bermula separuh kedua 2022.


Penutupan ruang udara Ukraine dan Russia ekoran konflik antara kedua-dua negara itu ketika ini menganggu sementara penerbangan antara ISG Istanbul, Ukraine dan Russia (Moscow dan St Petersburg).


Bagi Asia Pasifik, penutupan ruang udara itu menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa mengubah semula laluan penerbangan ke Eropah, yang menyebabkan penambahan masa penerbangan dan peningkatan penggunaan bahan api dan kos.


Kumpulan itu sedang memantau perkembangan di Ukraine selain peningkatan harga bahan api pesawat dan akan terus menilai impaknya kepada trafik antarabangsanya.


No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...