KOMODITI | Harga minyak sawit mentah (MSM) menjunam kira-kira 47.5 peratus sejak mencecah paras kemuncak RM7,104 satu tan pada April 2022, kata Penganalisis Public Invest Research.
Dalam nota penyeldikan Chong Hoe Leong, berkata kenaikan inventori sawit berkemungkinan memberikan tekanan selanjutnya kepada penurunan harga MSM dalam beberapa bulan akan datang dengan pengeluaran dijangka memuncak dalam tempoh dua bulan lagi.
Beliau berkata, inventori minyak sawit Malaysia meningkat kepada setinggi 2.31 juta tan pada September, 10.5 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya dan naik sebanyak 31.8 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, berikutan peningkatan pengeluaran serta penggunaan domestik yang lebih lemah.
"Pada masa ini, niaga hadapan MSM jatuh sebanyak RM145 satu tan kepada RM3,692 satu tan. Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan," katanya.
Hoe Leong berkata, inventori sawit yang lebih tinggi daripada jangkaan itu juga adalah paras tertinggi sejak Oktober 2019, menjadikan kenaikan bulan keempat berturut-turut.
"Nisbah stok berbanding penggunaan meningkat daripada 11.1 peratus kepada 11.5 peratus," katanya.
Sementara itu, eksport minyak sawit pada September meningkat 9.3 peratus kepada 1.42 juta tan, disokong oleh kenaikan 109 peratus eksport ke China dan 57.1 peratus ke Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, berikutan persaingan lebih sengit daripada Indonesia, eksport lebih lemah dicatatkan bagi Kesatuan Eropah atau EU (-36 peratus), India (-21 peratus) dan Pakistan (-39 peratus).
Pengeluaran minyak sawit pula mencatatkan tahap tertinggi sejak September 2020 pada 1.76 juta tan, disumbangkan oleh kenaikan di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur masing-masing sebanyak 0.8 peratus dan 4.5 peratus.
Di Indonesia, stok sawit pada Ogos jatuh kepada 4.04 juta tan, berbanding 5.91 juta tan pada Julai.
Manakala, output sawit meningkat 13.2 peratus kepada 4.31 juta tan berbanding bulan sebelumnya, manakala eksport melonjak 60 peratus kepada 4.33 juta tan, diperkukuh oleh penghantaran ke India, China serta EU susulan lanjutan pengecualian levi eksport sehingga Oktober.
Bagaimanapun, penggunaan domestik di negara itu susut 2.1 peratus kepada 1.84 juta tan.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei, pula berkata stok sawit berkemungkinan kekal tinggi pada bulan ini.
Beliau berkata, walaupun harga sawit yang rendah menggalakkan penggunaan komoditi itu, ia berkemungkinan akan diimbangi oleh langkah berterusan kerajaan Indonesia untuk mengurangkan beban inventori di negara itu.
"Kami sedang menyemak anggaran harga MSM bagi 2022/2023/2024 pada RM5,500/RM4,500/RM3,800 satu tan, berikutan prospek bekalan yang meningkat, permintaan tidak menentu, selain langkah berterusan Indonesia untuk menghabiskan inventori sawit," katanya dalam satu nota penyelidikan.
HLIB Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan, disokong oleh penilaiannya yang memberangsangkan.
Sementara itu, CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) menjangkakan stok minyak sawit dalam negara ini meningkat 8.2 peratus secara bulanan kepada 2.5 juta tan menjelang akhir Oktober berikutan pengeluaran yang lebih tinggi mengatasi eksport yang lebih tinggi.
Cabang penyelidikan CGS-CIMB Securities itu menjelaskan pihaknya juga yakin harga minyak sawit mentah (MSM) boleh didagangkan dalam julat RM3,500 hingga RM4,500 satu tan pada Oktober 2022.
"Harga MSM dijangka kekal rendah pada Oktober berikutan persaingan daripada eksport minyak sawit Indonesia yang lebih tinggi.
"Bagaimanapun, penurunan harga MSM akan dihadkan oleh diskaun menariknya berbanding minyak makan pesaing," menurutnya dalam satu nota penyelidikan.
Sumber Berita Asal : BH Online/ 12 Oktober 2022
No comments:
Post a Comment