Wednesday 2 June 2021

NASA Umum Dua Misi Baharu RM2.06 Bilion Ke Zuhrah Pelajari Persekitaran


    Foto: NASA

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan dua misi baharu ke Zuhrah, pada 2 Jun yang akan dilancarkan penghujung dekad ini, lapor AFP pada 3 Jun 2021.

Sasaran misi berkenaan antara lain terarah kepada matlamat untuk mempelajari persekitaran planet berdekatan yang tidak menyediakan persekitaran terbaik bagi kehidupan, berbanding keadaan kondusif yang wujud di Bumi.

Pentadbir baharu NASA, Bill Nelson, ketika mengumumkan perkara itu berkata pelancaran kedua-dua misi berkenaan mempunyai tujuan terperinci, iaitu bagi memahami sains di sebalik persekitaran yang sangat panas di Zuhrah, sehingga berupaya meleburkan plumbum di permukaan.

"Mereka akan menawarkan peluang kepada keseluruhan komuniti sains untuk menyiasat sebuah planet yang kita sudah tidak kunjungi lebih 30 tahun," katanya.

Misi berkenaan diperuntukkan sekitar AS$500 juta (RM2.06 bilion) menerusi Program Penerokaan NASA, dan setiap satunya dijangka dilancarkan dalam tempoh antara 2028 hingga 2030.

Kedua-dua misi dipilih bersandarkan proses penilaian bersama yang dibuat secara kompetitif, selain nilai sains dan kebolehlaksanaan pelan berkenaan.

DAVINCI+ yang bermaksud Penyiasatan Atmosfera Dalaman Zuhrah mengenai Gas Lengai, Kimia dan Pengimejan, bakal mengumpulkan perincian berhubung kandungan karbon dioksida pada atmosfera Zuhrah, bagi meneroka aspek pembentukan dan evolusinya.

Misi itu turut menggariskan matlamat untuk menentukan sama ada planet berkenaan pernah mempunyai permukaan laut sebelum ini.

Suatu alat berbentuk sfera akan diturunkan ke dalam atmosfera penuh tumpat di Zuhrah yang dilitupi awan asid sulfurik.

Ia akan mengukur secara terperinci paras gas lengai dan elemen lain di dalam planet berkenaan, sekali gus membolehkan pengkaji memahami punca di sebalik kesan rumah hijau seperti yang berlaku ketika ini.

DAVINCI+ juga akan memancarkan imej beresolusi tinggi pertama 'tesserae' Zuhrah, iaitu ciri geologi yang hampir sama dengan benua di Bumi yang memberi gambaran bahawa Zuhrah juga mempunyai kerak tektonik.

Keputusan itu berupaya menyuntik pemahaman dalam kalangan saintis mengenai pembentukan permukaan planet.

Misi lain dikenali sebagai VERITAS, iaitu singkatan kepada Kadar Radiasi Zuhrah, Sains Radio, InSAR, Topografi dan SpektroskopiIa antara lain menggariskan matlamat untuk memetakan keseluruhan permukaan Zuhrah, iaitu dari orbit sehingga mencakupi aspek sejarah geologi planet berkenaan.

Menggunakan sejenis radar bagi menghasilkan pembinaan tiga dimensi, ia akan memberikan ketinggian permukaan planet dan mengesahkan sama ada gunung berapi dan gempa bumi masih berlaku di Zuhrah.

Imbasan sinar infra merah juga akan digunakan untuk menentukan jenis batuan, yang sehingga kini tidak diketahui umum, dan sama ada gunung berapi aktif di planet berkenaan melepaskan wap air ke lapisan atmosfera.

Tatkala misi berkenaan diterajui NASA, Pusat Aeroangkasa Jerman akan menyediakan pemetaan sinar infra merah, manakala Agensi Angkasa Itali dan France's Centre National d'Etudes Spatiales bakal menyumbangkan radar serta komponen lain bagi misi terbabit.

Saintis Program Penerokaan NASA, Tom Wagner, ketika mengulas berhubung pelan pelancaran misi itu menzahirkan keterujaan mengenai tahap pengetahuan manusia mengenai Zuhrah.

"Memang sukar untuk kita nafikan bahawa terlalu sedikit yang kita ketahui mengenai Zuhrah, tetapi hasil misi secara bersama ini berupaya memberi pencerahan berhubung pelbagai perkara.

"Dari awan di langit Zuhrah sehingga gunung berapi pada permukaan dan kandungan pada teras planetnya dapat kita rungkaikan.

"Ia seolah-olah kita bakal menjalankan penerokaan semula planet ini," katanya.

Kali terakhir kapal misi NASA melakukan penerokaan angkasa lepas di Zuhrah, ialah menerusi Magellan, yang mendarat pada 1990, namun beberapa kapal angkasa lain turut melakukan penerbangan melepasi Zuhrah selepas itu. 

SUMBER: AFP/3 JUN 2021

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...