Wednesday, 23 June 2021

Industri Automotif Dijangka Hilang Pendapatan RM3.44 Bilion


BISNES AUTO: Hampir tiada kereta dijangka dapat dijual bulan ini berikutan penutupan bilik pameran dan pengeluaran diberhentikan semasa fasa pertama sekatan pergerakan penuh bermula sejak 1 Jun lalu.

Berdasarkan purata harga jualan kenderaan RM70,000 seunit di Malaysia, industri automotif negara dianggar kehilangan pendapatan sekitar RM3.44 bilion pada Jun jika jangkaan tiada jualan direkodkan bulan ini, lapor BH Online pada 23 Jun 2021/Rabu.

Walaupun kebanyakan pengeluar memperkenalkan platform pembelian dalam talian termasuk e-showroom, kekangan proses dokumentasi bagi pinjaman dan pendaftaran boleh menjadi penyebab urusan jual beli mungkin tertangguh.

Menurut Kenanga Research dalam nota penyelidikan, hanya beberapa unit dapat didaftarkan menerusi sistem e-Daftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembelian kenderaan dengan pinjamannya telah dipersetujui menerusi surat aku janji (LOU).

"Penyelesaian pendaftaran adalah penting untuk mengelak perjanjian tidak luput, yang apabila terjadi memerlukan proses dilakukan sekali lagi," katanya.

Dalam kenyataan ringkas kepada BH, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata jangkaan tanpa jualan mungkin berlaku ketika semua bilik pameran dan rantaian pengeluaran ditutup sementara dengan kekurangan cip komputer juga menjejaskan beberapa pengeluar.

"Jika ada stok di bilik pameran, kakitangan masih boleh mendaftar dengan JPJ dalam talian. Bagaimanapun, saya tidak fikir ia akan membabitkan jumlah yang besar," katanya.

Jualan kenderaan merosot 19 peratus kepada 46,663 unit pada Mei, berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

MAA berkata, jualan bulan lalu lebih rendah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari pertengahan hingga akhir Mei.

Menurut persatuan itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Mei lebih rendah disebabkan PKP 3.0, bulan bekerja lebih singkat berikutan cuti umum Aidilfitri dan kekurangan cip komputer yang menjejaskan jualan beberapa pengeluar.

Setakat Januari hingga Mei, TIV automotif tempatan berada pada 245,932 unit berbanding 128,790 unit dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Mengikut pecahan, kenderaan penumpang mencatatkan jualan 41,988 unit pada Mei, manakala kenderaan komersial 4,675 unit.

Dalam kenyataan sebelum ini, MAA berkata, jualan bulan ini dijangka minimum disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang menyaksikan bilik pameran tidak dibenarkan dibuka.

Malah, kebanyakan agensi kerajaan seperti JPJ, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ditutup atau beroperasi dengan jumlah kakitangan yang minimum.

Sementara itu, Kenanga Research berkata, walaupun berdepan kemungkinan tiada jualan direkodkan bulan ini, firma penyelidik itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan sasaran TIV tahun ini 545,000 unit.

"Sasaran pertumbuhan TIV tahun ini yang tiga peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu akan dipacu lanjutan pengecualian cukai jualan kereta penumpang sehingga akhir tahun ini.

"Sasaran ini dapat dicapai meskipun jualan terjejas akibat penutupan bilik pameran dan pengeluaran dihentikan ketika tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama.

"Ia akan diimbangi bekalan mencukupi bagi model baharu untuk memperoleh margin lebih baik," katanya.

Penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam, berkata firma penyelidik itu masih menjangkakan perolehan sektor automotif kembali melonjak dengan pertumbuhan keuntungan bersih 34 peratus lebih tinggi tahun ini.

"Kami juga menjangkakan jualan pada bulan ini adalah minimum. Namun, kami tetap meramalkan TIV pada separuh kedua tahun ini lebih kukuh disokong pengecualian cukai kereta penumpang.

"Bagaimanapun, kami juga melihat kemungkinan kejatuhan berpotensi 10 peratus dalam unjuran TIV, jika kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh sehingga Julai," katanya dalam nota penyelidikan.

Bagi Penganalisis TA Securities, Angeline Chin, pelaksanaan program vaksinasi yang berkesan menjadi petanda baik kepada jualan kenderaan.

"Jualan juga akan meraih momentum hasil pemulihan ekonomi, persekitaran kadar faedah yang akomodatif dan pelancaran model baharu.

"Kami meramalkan TIV tahun ini kekal kepada 627,000 iaitu 18.4 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu. Secara keseluruhannya, kami mengharapkan sektor automotif berprestasi lebih baik pada 2021, berkat insentif cukai," katanya.

Sumber: BH ONLINE/23 JUN 2021

TAGS: AUTOMOTIF - PKP


No comments:

Post a Comment

Understanding Air Turbulence and How Passengers Can Stay Safe

      AI image generated by : Mohd Ezli Mashut By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT ChatGPT can make mistakes. Check important info.  Introdu...