Sunday, 25 September 2022

Ringgit Melonjak Tinggi Banding Pound, RM4.9695 Tertinggi 10 Tahun

  Sumber Foto: Financial Times


KEWANGAN | Ringgit mencatat paras tertinggi baharu dalam tempoh 10 tahun berbanding pound British, meningkat ke bawah paras RM5.00 apabila ditutup pada RM4.9695 pada Jumaat lalu.


BH ONLINE pada 25 September 2022 melaporkan mata wang tempatan juga mencatat kenaikan kira-kira 16 peratus sejak 29 Julai 2021 iaitu apabila ia melonjak daripada RM5.91 berbanding pound British kepada paras semasa.


Ringgit turut mencatat paras tertinggi baharu dalam tempoh tujuh tahun berbanding euro apabila ditutup pada RM4.4374.


Mata wang tempatan melonjak kira-kira 12 peratus berbanding euro sejak 17 Mei 2021 iaitu daripada RM5.04 kepada paras semasa.



Penganalisis berkata, perkara itu berlaku susulan kesan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), yang mana kejatuhan pound British dan euro adalah lebih besar dan drastik berbanding ringgit


Katanya, pound British dan euro menjunam ke paras terendah baru 37 tahun dan 20 tahun berbanding dolar AS.



Kedua-dua mata wang itu terjejas teruk selepas terdapat laporan dapatan tinjauan yang menunjukkan kemerosotan dalam aktiviti perniagaan di seluruh zon euro dan Britain dan ekonomi di negara zon berkenaan berkemungkinan memasuki fasa kemelesetan.


Agensi berita Reuters pula melaporkan, turut memberi tekanan kepada pound British adalah apabila Menteri Kewangan baharu Britain, Kwasi Kwarteng, mengumumkan pemotongan cukai dan bantuan sokongan kepada isi rumah dan korporat di negara itu, yang mana akan menyaksikan kerajaan akan mengemukakan cadangan terbitan hutang tambahan 72 bilion pound (RM357.322 bilion) untuk tahun kewangan semasa untuk membiayai rangsangan itu.


Ketua Penyelidikan FX global Deutsche Bank, George Saravelos dalam nota penyelidikan yang dipetik Reuters, berkata pasaran memberi isyarat yang sangat kuat bahawa ia tidak lagi bersedia untuk membiayai kedudukan defisit luar UK pada konfigurasi semasa hasil sebenar UK dan kadar pertukaran.


"Tindak balas dasar yang diperlukan untuk apa yang sedang berlaku adalah jelas: kenaikan kadar antara mesyuarat yang besar daripada Bank of England sejurus minggu depan untuk mendapatkan semula kredibiliti dengan pasaran.


"Dan, isyarat kuat bahawa ia bersedia untuk melakukan 'apa sahaja yang diperlukan' untuk menurunkan inflasi dengan cepat dan hasil sebenar ke wilayah positif," katanya.


Dari segi euro pula, kejatuhan mata wang itu dicetuskan sebahagiannya oleh data yang menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian Komposit (PMI) zon euro yang disiarkan S&P Global, susut mendadak pada September.


Kemerosotan dalam aktiviti perniagaan di Jerman semakin parah, apabila kos tenaga yang besar menjejaskan ekonomi terbesar Eropah itu dan syarikat menyaksikan penurunan dalam perniagaan baharu.


Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini menegaskan meskipun ringgit menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal 2022, namun prestasi mata wang tempatan itu harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.


"Contohnya, yen Jepun turun 19.2 peratus, yang terendah sejak 24 tahun lalu, pound sterling jatuh 14.4 peratus, terendah sejak 37 tahun dan Euro turun sebanyak 11.7 peratus, terendah semenjak 20 tahun yang lalu," katanya menerusi hantaran video di laman media sosial beliau.


Beliau berkata meskipun negara-negara tersebut turut mengalami penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS, namun ia tidak mengalami krisis ekonomi termasuk di Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.


Menurutnya lagi, jika dibandingkan dengan rakan dagang Malaysia dan mata wang lain, nilai ringgit telah meningkat.


Sebagai contoh, beliau berkata, ringgit melonjak sebanyak 14.2 peratus berbanding yen Jepun, 3.9 peratus berbanding dolar New Zealand dan 7.2 peratus berbanding won Korea.


"Yang penting, sebagai sebuah negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara.


"Jadi jangan tengok pada satu aspek sahaja. Cuba tanya pengeksport Malaysia...depa (mereka) semua happy (gembira) sebab barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif," katanya.

Thursday, 22 September 2022

Senarai Tunggu Kereta Ditempah Boleh Cecah Setahun - Penganalisis

   Sumber Foto : PwC


AUTOMOTIF | Pembeli mungkin perlu mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan kereta yang ditempah dengan senarai menunggu syarikat automotif dianggarkan mencecah antara tujuh hingga 12 bulan, kata Penganalisis MIDF Research.


Hafriz Hezry dalam satu nota penyelidikan pada 22 September 2022 berkata jumlah tempahan yang amat memberangsangkan itu memberikan jaminan pendapatan yang sihat untuk sektor automotif menuju ke tahun depan.


Jelas beliau tempahan baharu selepas tempoh pengecualian cukai berakhir adalah agak memberangsangkan, apabila secara purata hanya mencatatkan pengurangan antara 20 hingga 30 peratus berbanding purata tempahan bulanan semasa tempoh cuti cukai.


"Tempahan baharu bermula dari Julai dan seterusnya mungkin dimasukkan kepada jumlah jualan industri (TIV) bermula April 2023 dan selanjutnya, sekali gus mengukuhkan lagi jaminan pendapatan daripada tempahan kukuh ke hadapan," katanya.



Firma penyelidikan pasaran itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor automotif.


Hafriz menjelaskan, tanpa mengambil kira pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan inflasi lebih tinggi, prospek sektor automotif dipengaruhi oleh jumlah tempahan yang tinggi, selain pasaran pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang semakin bertambah baik.


Berjaya Auto, MBM Resources dan UMW adalah pilihan utama bagi sektor ini, katanya.


"Berjaya Auto mendapat manfaat daripada pengembangan jenama daripada pengambilalihan francais Kia dan Peugeot, membolehkannya melakukan pertumbuhan berstruktur ke dalam penguasaan pasaran dan melebihi pertumbuhan industri.


"MBM Resources dan UMW pula kedua-duanya adalah proksi utama kepada pemulihan sektor ini, berikutan pendedahan kepada PERODUA (dan Toyota bagi UMW), yang sekali gus menguasai pasaran terbesar dalam industri.


"Risiko utama kepada saranan kami (terhadap sektor automotif) adalah inflasi yang berpanjangan dan tinggi, penurunan dalam pemulihan ekonomi dan ringgit lebih lemah daripada jangkaan," katanya.


Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada bulan Ogos 2022 adalah 66,614 unit, 36 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.


Mengikut perbandingan bulanan, kebanyakan pengeluar kereta mencatat peningkatan jualan yang didahului oleh PERODUA dan PROTON apabila pengeluaran berkembang sebanyak 33 peratus.


Sementara itu, Penganalisis RHB Investment Bank Bhd berkata tempahan memulih beransur-ansur dan akan terus bertambah baik baik apabila pengguna menyesuaikan diri dengan harga kereta pasca pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


Jim Lim Khai Xhiang berkata dengan Bajet 2023 akan dibentangkan tidak lama lagi, kerajaan dijangka memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung reformasi duti eksais yang hendak dilaksanakan pada 2023.


"Seiring dengan agenda kelestarian, kerajaan mungkin juga memperkenalkan insensif untuk merangsang penggunaan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan, yang mungkin membabitkan insentif bagi mendorong bilangan stesen pengecas EV, mendorong pemasangan EV di pasaran tempatan oleh pengeluar peralatan tulen dan tempoh bebas cukai lebih lama untuk pembelian EV," katanya.


RHB Investment Bank menaikkan unjuran TIV tahun 2022 kepada 650,000 unit, lebih tinggi berbanding 630,000 unit yang diunjurkan oleh MAA.

Monday, 19 September 2022

Jualan Kenderaan Melonjak Kepada 66,614 Unit Pada Ogos 2022


    Sumber Grafik : Proton Cars


PENGANGKUTAN | KUALA LUMPUR |  Jualan kenderaan di Malaysia melonjak kepada 66,614 unit pada Ogos 2022 berbanding 17,923 unit pada bulan yang sama tahun 2021, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).


Menurut persatuan itu dalam kenyataan pada 19 September 2022, jumlah keseluruhan industri bagi Ogos 2022 naik 36 peratus daripada Julai 2022 (48,922 unit) berikutan memenuhi tempahan daripada syarikat kereta yang diterima sebelum 30 Jun 2022.


Katanya jumlah jualan setakat tahun 2022 bagi Ogos 2022 meningkat 63 peratus kepada 447,209 unit berbanding 274,600 unit dalam tempoh sama pada 2021.


Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 59,769 unit pada Ogos 2022 berbanding 15,475 unit pada Ogos 2021 dan jualan kenderaan komersial naik kepada 6,845 unit pada bulan tersebut daripada 2,448 unit sebelum ini, menurut MAA.



Dari segi jumlah pengeluaran, persatuan itu berkata sejumlah 69,378 unit kenderaan dikeluarkan pada Ogos 2022 berbanding 13,961 unit pada bulan sama tahun lalu.


Katanya pengeluaran kenderaan penumpang melonjak kepada 64,282 unit pada Ogos 2022 berbanding 12,897 unit pada Ogos 2021 manakala pengeluaran kenderaan komersial meningkat kepada 5,096 unit daripada 1,064 unit sebelum ini.


Mengenai prospek bagi September 2022, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal sama seperti paras pada Ogos 2022 berikutan kekurangan cip dan komponen.


Thursday, 15 September 2022

Suruhanjaya Sekuriti Lulus Cadangan Gabung Digi-Celcom


   Sumber Grafik: Telecom Review Asia


DIGITAL | Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd (Celcom) di bawah terma dan syarat yang tertentu, kata Digi dan Axiata Group Bhd (Axiata).


Menurut makluman Digi kepada Bursa Malaysia, cadangan penggabungan itu membabitkan pemindahan keseluruhan modal saham terbitan Celcom sebanyak 1.24 bilion saham oleh Axiata kepada Digi pada harga RM17.76 bilion, serta penyenaraian tambahan 3.96 bilion saham baharu Digi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.


Sementara itu, kedua-dua syarikat telekomunikasi (telco) itu memaklumkan kepada bursa bahawa SC juga meluluskan struktur ekuiti Bumiputera dalam Digi berikutan dengan cadangan penggabungan itu, lapor BERNAMA pada 16 September 2022.


Menurut Digi, selepas cadangan penggabungan itu, saham terbitan yang diperbesarkan dan diperuntukkan kepada rakyat Malaysia akan meningkat kepada 59.9 peratus daripada 40.4 peratus pada 31 Disember 2021, manakala peruntukan rakyat asing akan menurun daripada 59.6 peratus kepada 40.1 peratus.


Daripada 59.9 peratus saham terbitan yang diperbesarkan untuk rakyat Malaysia, 47.4 peratus akan diperuntukkan kepada bukan Bumiputera berbanding 21.6 peratus sebelum penggabungan, manakala peruntukan Bumiputera akan menjadi 12.5 peratus, turun daripada 18.8 peratus.


"Axiata, yang juga syarikat induk Celcom, adalah sebuah badan korporat bukan milik Bumiputera.


Manakala, kepentingan langsung bukan Bumiputera dalam Digi selepas penggabungan dikira berdasarkan jumlah bilangan saham yang dipegang pada 31 Disember 2021 dan 3.88 bilion saham baharu Digi yang dibayar penuh akan diterbitkan kepada Axiata, kata Digi.


Mengenai kepentingan langsung asing dalam Digi selepas penggabungan, telco itu berkata syarikat induk Digi iaitu Telenor Asia Pte Ltd dikuasai 100 peratus oleh badan korporat asing.


"Kepentingan langsung asing dalam Digi selepas penggabungan dikira dengan jumlah bilangan saham yang dipegang oleh warga asing di Digi setakat tarikh terkini 31 Disember 2021 dan 73.38 juta saham baharu Digi berbayar penuh akan diterbitkan kepada Telenor Asia setelah selesainya cadangan penggabungan itu," jelasnya.


Wednesday, 14 September 2022

Barangan Kesihatan, Kelengkapan Rumah & Aksesori Produk Popular Festival Shopee



DIGITAL |  Shopee mencatatkan purata peningkatan jualan lebih lima kali ganda berbanding hari biasa pada 9 September 2022 semasa festival 9.9 Hari Pembelian Hebat.


Tiga kategori iaitu kesihatan dan kecantikan, kelengkapan rumah dan kehidupan serta barangan mudah alih dan aksesori adalah yang paling popular semasa hari kemuncak festival membeli-belah itu.


Menariknya, walaupun dengan pengumuman baru-baru ini bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam bangunan kecuali dalam situasi tertentu, ia masih menjadi salah satu produk yang paling banyak dibeli pada 9 September.


Makanan dan snek untuk kucing serta produk penyimpanan seperti kotak lipat, kotak kek dan beg kertas turut popular dalam kalangan pengguna.


Barangan penyimpanan ini mungkin adalah tanda bahawa penjual tempatan sedang membuat persiapan untuk pesanan yang bakal diterima dalam beberapa bulan akan datang.


Dalam kenyataan media pada 15 September 2022, Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia berkata pihaknya amat berbesar hati kerana dapat memainkan peranan membantu penjual tempatan di platform mencapai tahap peningkatan jualan yang signifikan semasa 9.9 Hari Pembelian Hebat.


"Kami dapat menyaksikan bahawa alat pemasaran dan ciri pembabitan penjual memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menerokai peluang pertumbuhan dalam ekonomi digital.


"Shopee teruja untuk terus meningkatkan jualan mereka semasa tempoh akhir tahun, sambil membolehkan rakyat Malaysia menikmati penjimatan terbaik di platform kami," kata Kenneth Soh.


Johor Bahru, Kinta, Seremban, Melaka Tengah, Kuching serta Kota Bharu adalah antara lokasi yang mencatatkan jumlah pesanan tertinggi di luar Lembah Klang.


Sementara itu, penstriman langsung terus memberikan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan dan bersifat interaktif kepada pengguna.


Dalam tempoh kempen dari 26 Ogos hingga 9 September, rakyat Malaysia menghabiskan lebih dua juta jam untuk menonton strim di Shopee Live.


Mereka juga berseronok sambil membeli-belah, dengan Shopee Prizes dimainkan sebanyak lebih 24 juta kali dalam tempoh yang sama.


ShopeePay adalah kaedah pembayaran pilihan oleh pengguna apabila membeli barangan di Shopee semasa 9.9 Hari Pembelian Hebat.


Dalam tempoh dua jam pertama pada 9 September, peningkatan sebanyak sembilan kali ganda direkodkan untuk pesanan yang dibayar menggunakan ShopeePay, berbanding hari biasa pada tahun sebelumnya.


Dalam tempoh dua tahun sejak pandemik berlaku, pengguna berkemungkinan lebih terbiasa membayar menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti ShopeePay untuk menikmati kemudahan penggunaan serta nilai dari segi ganjaran.

Sunday, 11 September 2022

AirAsia X Sambung Semula Penerbangan KL-Sydney


   Sumber Grafik: Air Asia


PENERBANGAN| AirAsia X (AAX) menyambung semula perkhidmatannya dari Sydney ke Kuala Lumpur selepas menggantung penerbangan dari kedua negara disebabkan pandemik sebelum ini.


Ketua Pegawai Eksekutif AAX dalam kenyataan media pada 10 September 2022 berkata, penerbangan rasmi dari Sydney pada 9 September 2022 juga merekodkan faktor muatan memberangsangkan sebanyak 61 peratus.


Benyamin Ismail berkata, perkhidmatan dua kali seminggu itu juga bakal menghubungkan Auckland, New Zealand mulai 7 November ini.


Selain itu katanya, AAX juga merancang meningkatkan perkhidmatan sedia ada kepada penerbangan harian menjelang suku pertama 2023 bagi memenuhi permintaan kukuh yang semakin meningkat.


AAX katanya turut akan menyambung semula penerbangan terus ke Melbourne dan Perth bermula awal November ini.


"Australia antara pasaran utama dan kami berbesar hati untuk kembali menyambung perkhidmatan ke negara itu serta menghubungkan tetamu antara Sydney dan Kuala Lumpur dengan tambang bernilai hebat.



"Kami turut teruja untuk mengalu-alukan 230 orang tetamu ke Malaysia dari Sydney dan menghubungkan mereka dengan rangkaian luas AirAsia seperti India, Indonesia dan Thailand," katanya.


Benyamin berkata, AAX menghargai usaha kerajaan Australia dalam mempercepatkan proses visa kepada pelancong untuk mengukuhkan lagi pemulihan industri pelancongan.


Beliau berkata, langkah Malaysia membuka sempadan negara tanpa sebarang sekatan perjalanan adalah usaha baik yang akan merangsang pemulihan ekonomi negara.


"Kami akan terus menyemak rangkaian penerbangan sedia ada dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di beberapa pasaran utama lain dengan penambahan perkhidmatan dalam masa terdekat.


"Kami berharap penyambungan semula perkhidmatan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada para tetamu kami, malah akan memacu pemulihan industri pelancongan kedua-dua buah negara secara keseluruhannya."katanya.


Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh :


AirAsia X kembali hubungkan Sydney ke Kuala Lumpur dan rantau Asean


SEPANG, 10 September 2022 - AirAsia X (AAX)  meraikan penyambungan semula perkhidmatannya dari Sydney dan mengalu-alukan ketibaan penerbangan D7220 ke Kuala Lumpur dengan faktor muatan sebanyak 61% semalam. Acara sambutan itu menandakan penyambungan semula perkhidmatan komersialnya secara rasmi dari/ke Australia berikutan pandemik.



Perkhidmatan dua kali seminggu itu juga bakal menghubungkan Auckland, New Zealand mulai 7 November tahun ini serta mempunyai rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada kepada penerbangan harian menjelang suku pertama tahun hadapan bagi memenuhi permintaan kukuh yang semakin meningkat. AirAsia X juga bakal menyambung semula penerbangan terus ke Melbourne dan Perth bermula awal November ini.


Sempena meraikan penyambungan semula perkhidmatan itu, AirAsia X menawarkan tambang termasuk semua* bernilai hebat dari Sydney ke Kuala Lumpur atau sambungan ke destinasi lain daripada AUD239 untuk tempat duduk Ekonomi sehala atau tetamu boleh memilih untuk menempah Premium Flatbed daripada AUD899 sehala.


Perkhidmatan baharu dari/ke Sydney itu kini tersedia untuk tempahan melalui ikon ‘Flights’ di airasia Super App atau melalui laman web. Jualan ini adalah sah untuk tempoh perjalanan antara sekarang dan 28 Oktober 2022.


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: “Australia merupakan antara pasaran utama kami dan kami berbesar hati untuk kembali menyambung perkhidmatan ke negara itu serta menghubungkan para tetamu antara Sydney dan Kuala Lumpur dengan tambang bernilai hebat. Kami turut teruja untuk mengalu-alukan 230 orang tetamu ke Malaysia dari Sydney dan menghubungkan mereka dengan rangkaian luas AirAsia seperti India, Indonesia dan lain-lain. 


“Kami juga menghargai usaha pihak kerajaan Australia kerana telah mempercepatkan proses visa kepada pelancong untuk mengukuhkan lagi pemulihan industri pelancongan. Kami juga berterima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia kerana telah membuka sempadan negara tanpa sebarang sekatan perjalanan yang akan merangsang pemulihan ekonomi negara.


“Kami akan terus menyemak rangkaian penerbangan sedia ada dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di beberapa pasaran utama lain dengan penambahan perkhidmatan dalam masa terdekat. Kami berharap penyambungan semula perkhidmatan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada para tetamu kami, malah akan memacu pemulihan industri pelancongan kedua-dua buah negara secara keseluruhannya.”


Pengurus Besar Penerbangan Lapangan Terbang Sydney, Rob Wood berkata: “Kami berbesar hati kerana AirAsia X telah menyambung semula perkhidmatan popular antara Sydney dan Kuala Lumpur di samping kami berusaha untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan ke seluruh Malaysia.


“Setelah dua tahun mengalami sekatan perjalanan akibat COVID-19, kami pasti perkhidmatan ini bakal mendapat sambutan yang baik oleh para pelancong yang ingin terbang ke antara bandar paling popular di Malaysia dengan tambang bernilai hebat.”


Australia kekal sebagai pasaran utama bagi Kumpulan AirAsia X. Thai AirAsia X juga baru-baru ini telah mengumumkan perkhidmatan penerbangan terus baharu antara Bangkok (Suvarnabhumi) dan Melbourne serta Sydney buat pertama kali, mulai 1 dan 2 Disember 2022.



AirAsia X reconnects Sydney to Kuala Lumpur and the region


Fly from Sydney to Kuala Lumpur direct from AUD239 or Fly-Thru to other cities across Asean


SEPANG, 10 September 2022 - AirAsia X (AAX) celebrated the return of services from Sydney and welcomed flight D7220 to Kuala Lumpur with 61% load factor on Friday. The receiving event marks the official recommencement of its commercial services to/from Australia after a two year hiatus caused by the pandemic. 



The twice-weekly service will also connect to Auckland, New Zealand starting 7 November this year and with plans to gradually increase the service to daily by the first quarter of next year to meet strong pent-up demand. AirAsia X is also resuming direct services to Melbourne and Perth commencing early November. 


In celebration of the service, AirAsia is offering great value fares from Sydney to Kuala Lumpur or Fly-Thru to other cities from AUD239 on Economy seats or guests can choose to experience the Premium Flatbed from AUD899 all-in* one way.


The new service to/from Sydney is available for booking through the ‘Flights’ icon on the airasia Super App or via the website. The latest sale is for the travel period between now and 28 October 2022.


CEO of AirAsia X, Benyamin Ismail said: “Australia is one of our key markets and we are pleased to return our service to the country and reconnect our guests between Sydney and Kuala Lumpur with great value fares. We are also excited to welcome 230 guests to Malaysia from Sydney and connect them to the wider AirAsia’s network such as India and Indonesia among others.


“We would also like to applaud the Australian government for accelerating the visa process for tourists to strengthen the travel and tourism industry, and thank the Malaysian government for reopening the border without restrictions, which will provide a welcome boost to the nation’s economic recovery.


“As we return to the skies, we will continue to review our network and cater to the increasing demand in our core markets with additional new season services added to the schedule in the near future. We hope this resumption of service will not only benefit our guests but both countries’ tourism industry as a whole.”


Executive General Manager Aviation of Sydney Airport, Rob Wood said: “It is great to see AirAsia X resuming their popular Sydney to Kuala Lumpur service as we cater to the increasing demand for travel throughout Malaysia.


“After a two-year absence caused by COVID, we are sure this service will be welcomed by travellers seeking great value fares to one of Malaysia’s most in-demand cities.” 


Australia remains a key market for the AirAsia X Group. Thai AirAsia X, the affiliate long haul sister airline of AirAsia X, has also recently announced new direct services from Bangkok (Suvarnabhumi) to Melbourne and Sydney for the very first time, commencing 1 and 2 December 2022.

Tuesday, 19 July 2022

Perodua Lancar MPV Baharu Harga Bermula RM62,500


   Sumber Foto : BERNAMA24/ 20 Julai 2022


AUTOMOTIF | Pertubuhan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) serba baharu, Perodua Alza yang ditawarkan pada harga bermula RM62,500.


Perodua Alza serba baharu yang dilancarkan pada 20 Julai 2022/Rabu dijual secara rasmi pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV (harga di Malaysia Barat dan tanpa insurans).


Model MPV yang amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia itu telah dibangunkan dengan pelaburan RM770 juta sejak April 2018.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA Alza serba baharu menerima lebih 30,000 tempahan sejak pembuat kereta kompak itu membuka tempahannya pada 23 Jun lalu, tertinggi dalam sejarah jenama itu, lapor BH Online pada 20 Julai 2022.


Katanya, faktor lain adalah daya tarikan nilai keseluruhan pakej Perodua Alza serba baharu termasuk ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti enam beg udara, ciri 'Bantuan Keselamatan Termaju', tawaran digital yang dipertingkatkan, ruang yang luas dan keselesaan pemanduan yang lebih baik.


"Pencapaian ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah pelanggan ingin memanfaatkan sepenuhnya inisiatif pengecualian cukai jualan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu.


"Daripada lebih 200,000 tempahan yang kami terima buat masa ini, hampir 15 peratus adalah model Perodua Alza serba baharu," katanya ketika majlis perasmian Perodua Alza serba baharu di Kuala Lumpur, pada 20 Julai 2022.


Zainal Abidin berkata, hampir 4,000 pelanggan menukar tempahan Perodua Alza kepada versi terkini walaupun sebelum pembukaan tempahannya diumumkan secara rasmi.


"Bermula hari ini, beberapa pelanggan kami akan menerima Perodua Alza serba baharu mereka daripada 195 bilik pameran jualan sah di seluruh negara.


"Selain itu, kami memberi jaminan kepada pelanggan yang menempah Perodua Alza serba baharu pada atau sebelum 30 Jun, mereka akan menerima kenderaan sebelum tarikh akhir 31 Mac 2023," katanya.


Bagi mereka yang menempah Perodua Alza serba baharu pada atau sebelum 30 Jun 2022 dan menerima kenderaan mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023 akan menikmati harga yang lebih rendah kerana mereka layak untuk inisiatif pengecualian cukai jualan.


Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa semua kenderaan yang ditempah pada atau sebelum 30 Jun masih boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan pada atau sebelum 31 Mac 2023.


Perodua Alza serba baharu dibangunkan menerusi platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA) yang menawarkan kelebihan seperti ruang kabin yang lebih luas, pemanduan yang lebih baik serta 'ground clearance lebih tinggi sebanyak 160 mm.


MPV tujuh tempat duduk ini mempunyai pilihan enjin tunggal iaitu enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menjana 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm.


Dengan transmisi jenis D-CVT, ia dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 22 kilometer seliter (km/l).


Sebagai tambahan, tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power disertakan pada varian AV untuk memberikan prestasi pemanduan yang lebih memuaskan.


Dari segi kelengkapan, setiap varian Alza dilengkapi dengan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me Home & Leaving Home serta lampu belakang LED.


Rim didatangkan dalam saiz 15 inci untuk varian X, dan 16 inci untuk H dan AV.


Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.


Menjengah ke dalam kabin, model ini hadir dengan paparan audio berukuran sembilan inci dan kluster instrument TFT tujuh inci pada varian H dan AV, port USB pada bahagian depan dan belakang, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, stereng multifungsi dan upholsteri kulit dua tona (AV sahaja).


Satu lagi penambahbaikan ketara yang dibawa oleh model serba baharu ini adalah aspek keselamatan, apabila ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan ciri Advanced Safety Assist (ASA) terkini yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.


Bukan itu sahaja, semua varian Alza juga mendapat ciri bantuan pemanduan lain seperti Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Hill Start Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Control dan Blind Spot Monitor.


Bantuan untuk parkir pula terdiri daripada 360 Panoramic View Monitor, Rear Cross Traffic Alert, kamera undur, sensor sudut depan dan sensor sudut belakang.


Ciri-ciri keselamatan lain yang ada termasuk enam beg udara, brek cakera belakang, ABS dengan EBD, serta Vehicle Stability Control dengan Brake Assist.


Berikut adalah foto dari BERNAMA






Berikut adalah video daripada Perodua :





Counter-Strike’ players are faster decision-makers, study shows

By : Mohd Ezli Mashut   Key Points - Research suggests that experienced Counter-Strike players make decisions faster, with a study showing t...