Wednesday 9 October 2019

UTUSAN MELAYU TAMAT OPERASI HARI INI SUSULAN MASALAH KEWANGAN

UTUSAN MALAYSIA

Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang juga penerbit akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo, menamatkan operasinya hari ini selepas mengalami masalah kewangan.

Sehubungan itu, hari ini merupakan tarikh akhir bekerja untuk kakitangan manakala hari akhir perkhidmatan ditetapkan pada 31 Oktober, 2019.

Pada 7 Oktober lepas, Lembaga Pengarah Utusan Melayu telah meluluskan cadangan Penggulungan Secara Sukarela Pemiutang.

Syarikat yang beroperasi sejak 80 tahun lepas itu juga telah melantik firma perakaunan dan perundingan bebas UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pihak penyelesai interim.

“Utusan Melayu telah membuat perakuan bahawa syarikat itu tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

“Mesyuarat membabitkan syarikat itu dan pemiutang akan diadakan pada 6 November,” kata UHY Advisory (KL) dalam satu kenyataan di sini.

Pada 30 Ogos lepas, penerbit akhbar harian berbahasa Melayu tertua negara ini yang ditubuhkan pada 1939, telah dinyahsenarai dari Bursa Malaysia dengan harga dagangan akhirnya pada 5.5 sen.

Syarikat itu mula disenaraikan di bursa pada 1994.

Dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada kakitangan, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat itu mengalami masalah perniagaan yang kritikal selepas Mei 2018.

Malah, katanya, syarikat itu telah mengambil pelbagai usaha untuk meletakkannya pada kedudukan lebih kukuh dan terjamin termasuk melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) serta menjual asetnya bagi mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

Bagaimanapun, edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebaliknya terus menurun dan menyaksikan kedua-dua akhbar itu gagal menepati sasaran pengiklanan sebanyak RM4 juta sebulan.

 “Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang,” kata Abd Aziz.

SUMBER : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...