Tuesday 3 December 2019

Perubahan Iklim, Eropah Bakal Terima Gelombang Panas Ekstrem Setiap Tahun



BRUSSELS : Eropah bakal berhadapan gelombang panas melampau setiap tahun dan kehilangan separuh daripada hasil tuaian pada masa depan, melainkan usaha agresif diambil untuk mengatasi perubahan iklim.

Laporan oleh agensi alam sekitar Kesatuan Eropah (EEA) itu meramalkan, perubahan iklim yang tidak terkawal akan menghasilkan gelombang panas melampau setiap tahun di benua itu, seperti dialami Perancis dan Sepanyol tahun ini, iaitu suhu paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah.

Agensi terbabit juga menjangkakan kekurangan separuh daripada hasil tuaian di seluruh selatan Eropah pada masa akan datang.

Gambaran itu mencerminkan senario melatari ekosistem Eropah yang berdepan serangan dari pelbagai penjuru.

Menurut laporan itu, hanya 2/5 daripada sumber air segar Eropah seperti sungai dan tasik, terlepas daripada ancaman pencemaran atau penggunaan berlebihan.

Lebih menakutkan, 39 peratus spesies rama-rama dan 9 peratus spesies burung yang biasa ditemui tidak lagi kelihatan di langit Eropah sejak 1990, dalam apa dilihat EEA sebagai ‘pengurangan terbesar dalam biodiversiti’.

Agensi berpangkalan di Copenhagen itu berkata, keseluruhan situasi akan menjadi lebih serius tanpa sebarang tindakan agresif, dengan hanya 6 aspek menunjukkan perubahan ke arah lebih baik.

Pengarah Eksekutif EEA, Hans Bruyninckx berkata, semua pihak perlu memikirkan penyelesaian secara menyeluruh.

“Kita perlu mengurangkan trend ini pada dekad seterusnya, ia adalah dekad paling kritikal,” katanya.

Laporan setebal 500 halaman itu dibentangkan pada hari pertama perkhidmatan ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, yang berikrar menjadikan Eropah sebagai benua iklim semula jadi pertama dunia, menjelang 2025.

Beliau turut komited untuk mengatasi masalah kehilangan biodiversiti sepanjang lima tahun bertugas. 

SUMBER: REUTERS

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...