Wednesday, 29 January 2020

Tempoh pengeraman coronavirus sekitar 5 hari

Korona: Foto: REUTERS


WASHINGTON: Secara purata tempoh antara pendedahan kepada coronavirus dari China dan simptom adalah 5.2 hari, namun berbeza antara pesakit, menurut satu kajian terhadap virus yang mengorbankan banyak nyawa itu.

Mengakui anggaran tempoh itu tidak tepat, pasukan China yang dilaporkan dalam New England Journal of Medicine (NEJM) pada Rabu berkata penemuan mereka disokong tempoh pemerhatian perubatan selama 14 hari terhadap individu yang terdedah dengan patogen berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tempoh pengeraman berkisar antara dua dan 10 hari sebelum gejala seperti demam, batuk, sesak nafas dan tekanan pernafasan akut muncul.

Anggaran diperoleh hasil kajian itu adalah berdasarkan pemerhatian terhadap 10 pesakit.

Penyelidik juga mengkaji 425 pesakit pertama virus dalam usaha membangunkan dua ciri asas wabak berkenaan.

Sejak pertama kali muncul di Wuhan pada Disember, jumlah kes coronavirus meningkat dua kali ganda setiap 7.4 hari, kata penyelidik.

Mereka juga menganggarkan setiap orang yang dijangkiti kemudiannya menjangkiti purata 2.2 orang lain, angka yang dikenali sebagai nombor pembiakan asas, atau R0 (disebut "R-naught").

Pasukan itu juga mendapati bahawa jangkitan antara manusia dengan manusia berlaku dalam kalangan yang ada hubungan rapat sejak pertengahan Disember lalu.

Pasukan penyelidik China di Belanda menemui tempoh pengeraman 5.8 hari, dengan variasi yang besar. Lelaki Vietnam berusia 27 tahun yang dijangkiti daripada ayahnya menunjukkan gejala sekitar tiga hari, menurut surat yang disiarkan dalam NEJM.

Dalam kajian utama China, separuh daripada 425 kes adalah pesakit berusia 60 tahun ke atas dan tidak ada yang berumur di bawah 15 tahun. 

SUMBER: AFP

No comments:

Post a Comment

Understanding Air Turbulence and How Passengers Can Stay Safe

      AI image generated by : Mohd Ezli Mashut By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT ChatGPT can make mistakes. Check important info.  Introdu...