A German biopharmaceutical company CureVac employee demonstrates research workflow on a vaccine for the Covid-19 at a laboratory in Tuebingen, Germany March 12, 2020. — Reuters pic |
BERLIN: Amerika Syarikat (AS) dan Jerman bersaing mengeluarkan vaksin eksklusif melawan COVID-19 yang sedang dibangunkan di sebuah makmal Jerman, lapor akhbar harian Die Welt, pada 14 Mac lalu.
Menurut laporan itu, Presiden Donald Trump didakwa berusaha ‘memancing’ saintis Jerman yang sedang menghasilkan vaksin percubaan terbabit, dan ia dilihat bertujuan mendapatkan lesen eksklusif di AS.
Sumber rapat dengan Kerajaan Jerman memberitahu Die Welt bahawa vaksin terbabit ‘hanya untuk AS’, walaupun Berlin dilaporkan akan membuat tawaran sendiri kepada firma bioteknologi, CureVac yang berpangkalan di Thuringia.
Syarikat ditubuhkan pada 2000 itu memiliki tapak lain di Frankfurt dan Boston. Firma berkenaan dipasarkan sebagai pakar dalam ‘membangunkan rawatan terhadap kanser, terapi berasaskan antibodi, rawatan penyakit jarang berlaku serta vaksin profilaktik’.
Ketika ini, makmal terbabit sedang bekerjasama dengan Institut Paul-Ehrlich yang berkait dengan Kementerian Kesihatan Jerman dan berkepakaran dalam penyelidikan vaksin.
Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Kerajaan Jerman sedang dalam perbincangan ‘intensif’ dengan CureVac.
“Kerajaan Jerman sangat berminat terhadap pembangunan vaksin dan bahan aktif untuk melawan COVID-19 yang dilaksanakan di Jerman dan Eropah,” katanya kepada Die Welt.
Ketua Pegawai Eksekutif CureVac, Daniel Menichella, dijemput hadir ke Rumah Putih pada 2 Mac lalu untuk bertemu Trump bersama Naib Presiden AS, Mike Pence, dan wakil syarikat farmaseutikal yang sedang berusaha mengatasi pandemik itu.
Perkara itu didedahkan syarikat terbabit melalui laman webnya, tanpa memberi bayangan sama ada terdapat tawaran kewangan dibincangkan.
“Kami sangat yakin bahawa kami akan dapat membangunkan vaksin yang kuat dalam masa beberapa bulan lagi,” katanya.
SUMBER: AFP
No comments:
Post a Comment