Maxis |
KUALA LUMPUR: Maxis Bhd menggalakkan pelanggannya duduk di rumah dan terus terhubung menerusi penawaran pelbagai perkhidmatan termasuk panggilan dan data tanpa caj dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19.
Syarikat dalam satu kenyataan, berkata perkhidmatan tersedia yang ditawarkan melalui pelbagai saluran atas talian itu adalah untuk kemudahan pelanggan.
“Maxis menawarkan panggilan dan data tanpa caj bagi nombor hotline penting dan laman web terpilih. Kami juga membuat percubaan penggunaan percuma bagi penyelesaian kerjasama dan mobiliti untuk membantu kesinambungan perniagaan,” katanya.
Dari 21 hingga 31 Mac atau hingga diberitahu kelak, akses percuma untuk maklumat terkini untuk pelanggan yang melayari laman web terpilih untuk maklumat terkini.
Antaranya termasuk Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC), semua Jabatan Kesihatan Negeri di negara ini, Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata pelbagai langkah diambil untuk memastikan rangkaian tetap dan mudah alih kekal tidak terganggu bagi membolehkan kehidupan dan perniagaan berjalan seperti biasa bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat.
“Sememangnya, kita sekarang sedang mengalami keadaan yang luar biasa. Dalam masa yang sama, kita beruntung kerana berada di era di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kehidupan kita, dan kita boleh terus memanfaatkan kuasa teknologi dan kesambungan untuk membantu kita mengatasi banyak cabaran.
“Oleh itu, kami komited untuk memainkan peranan kami dalam membantu pelanggan kami kekal berhubung dan meneruskan kehidupan dan perniagaan tanpa gangguan, pada masa yang sukar ini,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Maxis berkata, berkuatkuasa 19 Mac sehingga diberitahu oleh pihak berkuasa, kedai Maxis akan ditutup buat sementara, termasuk Maxis Centers dan Maxis Exclusive Partner.
Bagaimanapun, pelanggan Maxis masih dapat mengakses perkhidmatan melalui kiosk layan diri 24 jam, pusat panggilan, laman web serta melalui aplikasi MyMaxis, Hotlink RED dan Flex untuk menambah nilai dan pembelian melalui perbankan dalam talian, e-dompet atau kad kredit.
“Maxis terus meletakkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja, pelanggan dan masyarakat umum sebagai keutamaannya.
“Di samping berusaha untuk memenuhi lonjakan peningkatan hubungan dan keperluan premis kritikal di seluruh negara, Maxis juga menawarkan beberapa inisiatif untuk membantu pelanggan mengakses maklumat terkini tentang keadaan, mengehadkan pergerakan mereka dan meneruskan kehidupan dan bekerja dari rumah,” katanya.
Bagi bantuan untuk perniagaan pula, Maxis berkata, ia menawarkan beberapa ujian penggunaan untuk penyelesaian kerjasama dan mobiliti penting kepada pelanggannya.
“Antaranya, langganan enam bulan percuma di Managed UC iaitu untuk membantu pelanggan duduk di rumah dan tetap terhubung, termasuk enam bulan langganan percuma yang tersedia untuk Komunikasi Bersepadu Terurus Maxis melalui Microsoft Team untuk pakej Teams Phone System dan Teams Calling.
“Selain itu, percubaan penggunaan percuma selama dua bulan untuk perkhidmatan konvergen mudah alih tetap melalui App Voice Connect iaitu percubaan percuma ciri panggilan Maxis ini melalui talian perniagaan tetap memudahkan syarikat untuk berkumpul dan berbincang melalui Voice Connect App, dan untuk pemimpin pasukan terbabit dengan pekerja dari jauh,” katanya.
SUMBER: BH ONLINE
No comments:
Post a Comment