Tuesday 6 July 2021

Urus Niaga e-dagang Malaysia Melonjak 30 peratus Kepada RM254.6 Bilion

    Foto Sumber: Pexels

Sektor e-dagang Malaysia mencatatkan pendapatan RM254.6 bilion pada suku pertama tahun ini, melonjak 30 peratus daripada RM195.9 bilion yang diraih tempoh sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan positif itu dipacu sektor pembuatan dan perkhidmatan, lapor BH Online pada 6 Julai 2021.

"Pencapaian pendapatan e-dagang pada suku pertama 2021 juga lebih tinggi berbanding RM245.4 bilion yang diraih pada suku keempat tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Tahun lalu, e-dagang Malaysia meraih pendapatan RM896.4 bilion, melonjak 32.7 peratus berbanding yang diraih pada 2019.

Perbandingan suku ke suku tahun pula menyaksikan RM195.9 bilion direkodkan pada suku pertama 2020, diikuti RM216.9 bilion pada suku kedua.

Pendapatan e-dagang terus menunjukkan trend peningkatan pada suku ketiga dengan meraih RM238.2 bilion dan RM245.4 bilion pada suku terakhir tahun lalu.

Mengulas mengenai pencapaian tahun lalu, Mohd Uzir berkata, prestasi lebih baik itu didorong oleh norma baharu yang dicetuskan COVID-19 yang telah merangsang adaptasi digital.

"Pendapatan e-dagang meningkat 22.8 peratus pada 2019 berbanding mencatatkan RM675.4 bilion.

"Pendapatan e-dagang pada 2019 bagi pasaran tempatan yang dijana daripada jualan domestik, meningkat 21.7 peratus kepada RM591.8 bilion, manakala jualan antarabangsa melonjak 31.9 peratus kepada RM83.5 bilion.

"Pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui perniagaan kepada perniagaan (B2B) meningkat 13 peratus kepada RM449.6 bilion, diikuti perniagaan kepada pengguna (B2C) naik 53.3 peratus kepada RM194.0 bilion, manakala perniagaan kepada kerajaan (B2G) turut meningkat 55.7 peratus kepada RM31.8 bilion," katanya.

Beliau menjelaskan, perbelanjaan e-dagang turut merekodkan pertumbuhan 14.8 peratus kepada RM301.5 bilion.

"Perbelanjaan e-dagang bagi pasaran tempatan tumbuh 15.3 peratus kepada RM269.6 bilion, manakala perbelanjaan pasaran antarabangsa meningkat 10.8 peratus kepada RM31.9 bilion.

"Perbelanjaan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui B2B meningkat 14.1 peratus kepada RM277.6 bilion, diikuti B2C melonjak 24.6 peratus kepada RM14.8 bilion, sementara B2G meningkat 22.6 peratus kepada RM9.1 bilion," katanya.

Bagi penggunaan internet, Mohd Uzir berkata, ia merekodkan peningkatan 11.9 peratus kepada 85.2 peratus, diikuti oleh komputer 7.3 peratus kepada 86.2 peratus dan web presence 16.1 peratus kepada 53.9 peratus.

"Sektor maklumat & komunikasi dan kewangan & takaful/ insurans menggunakan sepenuhnya internet dan komputer dalam perniagaan," katanya.

Beliau menambah, pertumbuhan pesat dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan e-dagang di Malaysia menunjukkan perniagaan telah beralih kepada laluan digital seiring dengan perkembangan teknologi global.

Sumber: BH Online/ 6 JULAI 2021

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...