Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengunjurkan operasi penerbangan negara dijangka hanya akan kembali pulih sepenuhnya menjelang suku pertama 2024, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya.
BH Online pada 27 Ogos 2021 melaporkan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata syarikat penerbangan global dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) turut berpendapat industri penerbangan akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali ke tahap sebelum pandemik.
Beliau berkata, industri masih lagi belum dapat mencapai pemulihannya tahun depan dan memerlukan lebih banyak sokongan untuk pulih.
Katanya, MAHB menjangkakan awal 2024, atau paling awal akhir 2023 untuk operasi penerbangan kembali pulih seperti tahap sebelum pandemik COVID-19 melanda negara dan juga global.
"Namun, jangkaan itu bergantung kepada kepantasan sesebuah negara itu dalam pemulihan ekonomi dan pembukaan kembali sekatan pergerakan.
"Operasi MAHB di Malaysia dan Turki antaranya akan mempunyai tahap pemulihan yang berbeza. Ketika ini, operasi lapangan terbang kumpulan di Turki sudah menunjukkan pemulihan sehingga 70 peratus daripada tahap sebelum pandemik.
"Di Malaysia, peratusan itu masih rendah disebabkan sekatan pergerakan, trafik penumpang hanya sekitar 10 peratus sehari. Lantaran itu, operasi MAHB di Turki akan lebih pantas pulih sekitar suku keempat tahun hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media pelan strategik dan perkembangan terbaru MAHB secara maya pada 27 Ogos 2021.
Mohd Shukrie berkata, walaupun penerbangan domestik akan kembali meningkat tidak lama lagi, ia tidak memberikan keuntungan yang besar kepada kumpulan.
Beliau berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB memerlukan lonjakan yang besar dalam operasi penerbangan antarabangsa kerana tarif dan caj perkhidmatan kepada penerbangan domestik adalah rendah berbanding trafik penerbangan antarabangsa.
"Walaupun sempadan negara dijangka akan mula dibuka pada suku keempat tahun ini secara berperingkat, operasi penerbangan masih bergantung kepada negara luar," katanya.
Beliau berkata, di sebalik pemulihan operasi, MAHB juga terus komited dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu melalui teknologi seiring dengan langkah Airport 4.0.
Katanya salah satu objektif utama dalam pelan strategik 'Future F.I.T' MAHB adalah pendigitalan. Kumpulan dapat mengoptimuman kecekapan operasi melalui transformasi digital dan proses automasi.
"Selain itu, MAHB juga terus mengadaptasi inovasi teknologi terkini termasuk perkhidmatan digital dan pusat hubungan tanpa sentuhan.
"Langkah ini juga seiring dengan situasi semasa disebabkan pandemik COVID-19 yang memerlukan kepantasan dan pengurangan perhubungan secara bersemuka," katanya.
Mohd Shukrie berkata, inisiatif Airport 4.0 akan memberikan lapangan terbang MHB di masa hadapan dilengkapi ekosistem digital yang bersepadu bagi maklumat, kerjasama dan hubungan masa nyata.
Beliau berkata, langkah ekosistem digital ini juga akan menggabungkan kecerdasan buatan (AI), teknologi 5G dan analisis data raya.
Katanya, MAHB melalui anak syarikatnya, Malaysia Airports Consultancy Services Sdn Bhd (MACS) turut menjalin kerjasama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi menyediakan perkhidmatan pendigitalan dan teknologi.
"Inisiatif teknologi dan digital yang sudah dilaksanakan di Malaysia, Turki serta Doha ketika ini berpotensi untuk dikembangkan kepada pengendali lapangan terbang antarabangsa yang lain," katanya.