AUTOMOTIF | Proton Holdings Bhd (PROTON) memperkenalkan model Iriz dan Persona 2022 baharu yang menawarkan reka bentuk terkini dengan ciri diperbaharui.
Iriz edisi baharu itu didatangkan dalam tiga varian iaitu Iriz 1.3L Standard CVT, Iriz 1.6L Executive CVT dan Iriz 1.6L Active CVT yang ditawarkan pada harga RM40,300 hingga RM56,800 seunit.
Bagi Persona 2022 pula, tiga varian disediakan iaitu Persona 1.6L Standard CVT, Persona 1.6L Executive CVT dan Persona 1.6L Premium CVT pada harga bermula daripada RM45,200.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata model terbaharu itu juga memberikan sentuhan warna baharu serta lebih keselesaan dan ciri keselamatan.
"Proton Iriz dan Persona menjadi pilihan pengguna sejak ia diperkenalkan. Justeru itu perubahan yang diperkenalkan mengambil kira cita rasa pengguna.
"Perubahan reka betuk serta penambahan model 'Active' baharu bagi Iriz meningkatkan daya tarikannya, manakala perubahan pada dalaman dan sistem infotainment akan memberikan keselesaan dan penghubungan yang lebih baik sambil mengekalkan pengalaman pemanduan.
"Proton Iriz dan Persona 2022 sudah boleh mula ditempah di www.proton.com," katanya dalam kenyataan media pada 5 Ogos 2021/Khamis.
Perubahan luaran yang dilakukan pada dua model ini bermula dengan bampar reka bentuk baharu dan gril corak 'Infinite Weave' selain 'Ethereal Bow' yang diperkemaskan.
Bagi Iriz, ia diberi profil baharu dan ditampilkan dalam warna merah manakala Persona diberikan sentuhan warna krom bagi menonjolkan lagi logo PROTON yang terbaharu.
Penampilan bagi semua model 2022 juga termasuk lampu hadapan LED yang mempuyai fungsi automatik tutup dan buka.
Reka bentuk turut dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 16 inci, bumbung hitam dan juga lampu gabungan belakang baharu.
Warna baharu yang diperkenalkan adalah 'Citric Orange' dan 'Passion Red' untuk Iriz manakala 'Space Grey' untuk Persona.
Perubahan paling ketara pada bahagian dalaman Iriz dan Persona 2022 adalah penambahan unit infotainment lapan inci terapung dengan fungsi arahan suara.
Ditempatkan pada bahagian atas panel tengah untuk akses mudah, unit infotainment dipadankan dengan lubang udara yang baharu serta kawalan penyaman udara dengan paparan digital serta penapis udara N95.
Ciri kebolehgunaan pula dipertingkan dengan konsol tengah baharu yang menyediakan perehat lengan serta ruang penyimpanan yang kini lebih senang diguna.
No comments:
Post a Comment