PELABURAN | Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang awam mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan dipromosikan dalam aplikasi Telegram.
SC dalam kenystaan media pada 15 Mac 2022 berkata, sejak Januari 2022, ia menerima 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram dipromosikan melalui Telegram.
Jelasnya skim penipuan itu menawarkan peluang pelaburan tidak wujud serta menjanjikan pulangan sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat.
Tegasnya skim itu kebiasaannya menawarkan pulangan tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam tempoh 24 jam atau beberapa jam.
SC menjelaskan pihak berkenaan menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan.
"Mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram itu.
"Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh Syariah. Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej yang ditawarkan," katanya.
Selain itu, pengawal selia pasaran modal itu berkata, pelabur sering diarahkan untuk mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti yang sah, dan ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan.
Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka dan skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.
"SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko yang sedikit atau tiada. Pelabur juga tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan.
"SC menggesa orang ramai untuk merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur," katanya.
Senarai berkenaan katanya, mengandungi butiran laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran.
Selain itu, SC meminta orang awam yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh firma atau individu yang tidak dibenarkan dan yang menawarkan skim dengan pulangan tidak realistik boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my.
No comments:
Post a Comment