Wednesday 28 September 2022

Hong Leong Bank Bangunkan Keupayaan Digital Bertaraf Global


  Sumber Foto: The Fifth Person


PERBANKAN | Hong Leong Bank Bhd (HLB) yakin kekuatan transformasi digitalnya, yang dipandu oleh idea "Digital at the Core", (Digital Teras Utama)  membolehkan bank itu mengubah pengalaman perbankan pelanggannya, memacu inklusi kewangan yang lebih kukuh dan membangun keupayaan digital bertaraf dunia, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.


Domenic Fuda dalam laporan tahunan 2022 kumpulan kepada Bursa Malaysia berkata usaha itu selaras dengan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 yang dilancarkan Bank Negara Malaysia yang menggariskan keutamaan utama bank pusat itu bagi tempoh lima tahun akan datang.


"Suasana pasca pandemik telah menyediakan peluang menarik bagi bank yang mengutamakan digital seperti HLB, yang mana pendigitalan adalah realiti baharu dalam hampir semua bahagian perkhidmatan kewangan," katanya. 


Oleh itu, beliau berkata HLB bersedia untuk mengambil kesempatan daripada peluang tersebut bagi menyediakan perkhidmatan tokokan nilai, inklusif dan relevan kepada pemegang kepentingan dalam usahanya untuk menjadi institusi perkhidmatan kewangan ASEAN yang inovatif dan mengutamakan digital.


Bank itu merupakan kumpulan perbankan kelima terbesar Malaysia dari segi aset yang berjumlah RM254.3 bilion dan merupakan keempat terbesar dari segi permodalan pasaran setakat 30 Jun, 2022.


Fuda juga berkata HLB terus kekal komited kepada inovasi serta membangunkan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan selain menyediakan bantuan kewangan yang tepat pada masa dan perlu kepada pelanggan baharu dan sedia adanya.


Menurutnya, ini adalah untuk memastikan mereka boleh menumpukan kepada usaha pemulihan mereka masing-masing serta melabur bagi pertumbuhan perniagaan masa depan, inisiatif pendigitalan dan pelaburan dalam amalan mampan.


"Kami percaya amalan perbankan mampan akan berfungsi sebagai asas kepada kelebihan kompetitif berterusan kami pada tahun-tahun akan datang," katanya.


Keuntungan bersih HLB bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022, melonjak 15 peratus kepada RM3.29 bilion daripada RM2.86 bilion tahun lepas, manakala hasil meningkat kepada RM5.60 bilion daripada RM5.47 bilion sebelumnya, disokong oleh pendapatan faedah bersih tinggi.


Lembaga pengarah HLB mengisytiharkan dividen akhir 37.0 sen sesaham menjadikan jumlah dividen sebanyak 55.0 sen sesaham bagi Tahun Kewangan 2022, dengan nisbah pembayaran dividen 35 peratus.


No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...