Tuesday, 10 January 2023

BMW Jenama Automotif Premium Nombor Satu Di Malaysia

   Sumber Foto : facebook BMW Malaysia


AUTOMOTIF | BMW Group Malaysia mengatasi prestasi perniagaannya sebelum pandemik dengan mencatat penyerahan 14,400 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2022.


Lebih membanggakan, 70 peratus daripadanya dipasang di dalam negara, lantas sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen premium di Malaysia.


Lebih 31 peratus daripada penyerahan jentera BMW dan MINI pada 2022 adalah jenis kenderaan elektrik, membawa jumlah kenderaan elektrik BMW Group Malaysia yang menyusuri jalan raya setakat ini kepada lebih 25,000 unit.


Dengan pertumbuhan lebih 37 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu, jenama BMW berjaya menyerahkan lebih 11,800 unit kenderaan, manakala MINI merekodkan pertumbuhan lebih 25 peratus dengan penyerahan melebihi 1,300 unit kenderaan.


Sementara itu, BMW Motorrad berjaya menyerahkan lebih 1,300 buah motosikal, merekodkan pertumbuhan berkadar lebih 20 peratus.


Ia bersamaan dengan peningkatan berkadar lebih 34 peratus dalam jumlah penyerahan yang merentasi seluruh portfolio BMW Group dari tahun sebelumnya.


Dalam kenyataan media pada 10 januari 2023 Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata pencapaian kumpulan itu pada tahun 2022 amat memberangsangkan kerana berjaya mencatat prestasi yang jauh lebih cemerlang berbanding tempoh sebelum dan selepas pandemik.


"Dengan berdepan kemelesetan ekonomi seluruh dunia pada tahun 2020 dan kekurangan bekalan cip pada tahun 2021, 2022 muncul sebagai tahun yang menyaksikan BMW Group Malaysia bangkit semula dan terus melakar pertumbuhan.


"Kami tujukan kejayaan ini kepada pelanggan, wakil pengedar dan rakan sekutu BMW Group Malaysia. Tanpa sokongan, dedikasi dan semangat mereka ke atas jenama ini, kami pastinya tidak dapat mengekalkan kedudukan pertama dalam segmen automotif premium Malaysia untuk tahun yang ketiga secara berturut-turut," kata  Hans de Visser


Jelasnya, sempena meraikan ulang tahun BMW Group Malaysia ke-20 pada tahun 2023, pihaknya ingin mengingati cita-cita dan strategi mereka untuk sektor automotif negara yang membolehkan kumpulan berdiri di sini pada hari ini.


"Bukan sahaja untuk menjadi pengeluar kenderaan yang terkemuka dalam segmen premium, tapi juga sebagai peneraju pasaran dengan asas yang kukuh untuk kenderaan berelektrik di dalam negara.


"Kami menyaksikan sambutan ke atas kenderaan elektrik (EV) melonjak naik pada tahun lalu, terutamanya selepas BMW i4, BMW iX dan BMW iX3 diperkenalkan pada bulan Januari, di samping jentera berelektrik BMW X3 xDrive30e M Sport yang dipasang di dalam negara.


"Hari ini, kita dapat melihat lebih 25,000 EV BMW dan MINI dengan bangganya menjelajah jalan raya Malaysia dan kami yakin angka ini akan terus berkembang secara signifikan pada tahun yang akan datang," katanya.


BMW Group Financial Services Malaysia turut meraikan kejayaan, membiayi lebih 5,000 buah jentera BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2022, bersamaan dengan lebih 35 peratus kenderaan yang diserahkan pada tahun lalu.


Malah, lebih 2,800 kontrak juga dibiayai secara digital pada tahun lalu.


Program pembiayaan BMW Easy Drive pula menyaksikan pertumbuhan berkadar 100 peratus dengan menggandakan kontrak yang ia berjaya tandatangani.

No comments:

Post a Comment

Understanding Air Turbulence and How Passengers Can Stay Safe

      AI image generated by : Mohd Ezli Mashut By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT ChatGPT can make mistakes. Check important info.  Introdu...