Saturday, 28 August 2021

Operasi Penerbangan Diramal Kembali Pulih Sepenuhnya 2024


  Logo: MAHB


Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengunjurkan operasi penerbangan negara dijangka hanya akan kembali pulih sepenuhnya menjelang suku pertama 2024, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya.

BH Online pada 27 Ogos 2021 melaporkan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata syarikat penerbangan global dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) turut berpendapat industri penerbangan akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali ke tahap sebelum pandemik.

Beliau berkata, industri masih lagi belum dapat mencapai pemulihannya tahun depan dan memerlukan lebih banyak sokongan untuk pulih.

Katanya, MAHB menjangkakan awal 2024, atau paling awal akhir 2023 untuk operasi penerbangan kembali pulih seperti tahap sebelum pandemik COVID-19 melanda negara dan juga global.

"Namun, jangkaan itu bergantung kepada kepantasan sesebuah negara itu dalam pemulihan ekonomi dan pembukaan kembali sekatan pergerakan.

"Operasi MAHB di Malaysia dan Turki antaranya akan mempunyai tahap pemulihan yang berbeza. Ketika ini, operasi lapangan terbang kumpulan di Turki sudah menunjukkan pemulihan sehingga 70 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

"Di Malaysia, peratusan itu masih rendah disebabkan sekatan pergerakan, trafik penumpang hanya sekitar 10 peratus sehari. Lantaran itu, operasi MAHB di Turki akan lebih pantas pulih sekitar suku keempat tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media pelan strategik dan perkembangan terbaru MAHB secara maya pada 27 Ogos 2021.

Mohd Shukrie berkata, walaupun penerbangan domestik akan kembali meningkat tidak lama lagi, ia tidak memberikan keuntungan yang besar kepada kumpulan.

Beliau berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB memerlukan lonjakan yang besar dalam operasi penerbangan antarabangsa kerana tarif dan caj perkhidmatan kepada penerbangan domestik adalah rendah berbanding trafik penerbangan antarabangsa.

"Walaupun sempadan negara dijangka akan mula dibuka pada suku keempat tahun ini secara berperingkat, operasi penerbangan masih bergantung kepada negara luar," katanya.

Beliau berkata, di sebalik pemulihan operasi, MAHB juga terus komited dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu melalui teknologi seiring dengan langkah Airport 4.0.

Katanya salah satu objektif utama dalam pelan strategik 'Future F.I.T' MAHB adalah pendigitalan. Kumpulan dapat mengoptimuman kecekapan operasi melalui transformasi digital dan proses automasi.

"Selain itu, MAHB juga terus mengadaptasi inovasi teknologi terkini termasuk perkhidmatan digital dan pusat hubungan tanpa sentuhan.

"Langkah ini juga seiring dengan situasi semasa disebabkan pandemik COVID-19 yang memerlukan kepantasan dan pengurangan perhubungan secara bersemuka," katanya.

Mohd Shukrie berkata, inisiatif Airport 4.0 akan memberikan lapangan terbang MHB di masa hadapan dilengkapi ekosistem digital yang bersepadu bagi maklumat, kerjasama dan hubungan masa nyata.

Beliau berkata, langkah ekosistem digital ini juga akan menggabungkan kecerdasan buatan (AI), teknologi 5G dan analisis data raya.

Katanya, MAHB melalui anak syarikatnya, Malaysia Airports Consultancy Services Sdn Bhd (MACS) turut menjalin kerjasama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi menyediakan perkhidmatan pendigitalan dan teknologi.

"Inisiatif teknologi dan digital yang sudah dilaksanakan di Malaysia, Turki serta Doha ketika ini berpotensi untuk dikembangkan kepada pengendali lapangan terbang antarabangsa yang lain," katanya.

Monday, 16 August 2021

Industri Automotif Hanya Jual 7,086 Kenderaan Pada Julai 2021



Industri automotif negara hanya menjual 7,086 unit kenderaan pada Julai, susut mendadak berbanding 58,878 unit yang dicatatkan bulan sama tahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataan media pada 16 Ogos 2021, berkata jualan dicatat pada Julai adalah 270 peratus lebih tinggi berbanding 1,921 unit diraih pada Jun 2021.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, industri menjual 256,215 unit, iaitu 10 peratus berbanding 232,423 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu," katanya.

Bagi tempoh bulan dikaji, industri automotif menjual 4,949 unit kenderaan penumpang dan 2,137 unit kenderaan komersial, berbanding 53,415 unit dan 5,463 unit dijual masing-masing bagi kenderaan penumpang dan komersial pada Julai 2020.

"Jualan diraih pada Julai kebanyakan disumbangkan daripada Sabah dan Sarawak di mana bilik pameran dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pendaftaran kenderaan secara dalam talian bagi tempoh bulan dikaji juga sangat rendah," katanya.

Dari aspek pengeluaran pula, MAA berkata, bagi tempoh Julai, hanya 2,775 unit kenderaan dihasilkan, berbanding 47,630 unit dikeluarkan pada Julai 2020.

Mengenai unjuran jualan Ogos 2021, MAA berkata, jualan pada bulan ini dijangka lebih tinggi berbanding Julai lalu.

"Bilik pameran di kebanyakan negeri termasuk pasaran utama di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kadar vaksinasi pekerja," katanya.

Sunday, 8 August 2021

Jualan Hereta Honda Malaysia Turun 52 Peratus

   Foto Sumber : HONDA

Jualan kereta Honda Malaysia merosot sebanyak 52 peratus tahun ke tahun dari Mei hingga Julai 2021 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh oleh kerajaan yang menyebabkan operasi perniagaannya terganggu.

BH ONLINE pada 5 Ogos 2021 melaporkan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, berkata dalam tempoh tiga bulan itu syarikat menjual kira-kira 5,700 unit berbanding hampir 12,000 unit dalam tempoh sama tahun lalu ketika negara ini berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Katanya, dengan hanya perkhidmatan selepas jualan tertentu yang dibenarkan manakala operasi jualan dan pengeluaran dihentikan, tidak menghairankan jika penjualan menurun.

"Penutupan perniagaan yang berpanjangan juga mempengaruhi pengeluaran model baharu Honda Malaysia ekoran tiada ujian yang dilakukan di kemudahan pengeluaran.

"Tambahan pula, rantaian bekalan syarikat dan eksport alat ganti turut terjejas," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, industri automotif turut menyokong rangkaian meluas pembekal komponen dan alat ganti tempatan.

Katanya, pembekal mungkin tidak dapat mengekalkan operasi, yang kemudiannya akan menjejaskan rantaian bekalan secara keseluruhan.

"Sekatan pergerakan yang berterusan pada masa ini dan kurangnya isyarat terhadap jangka masa bagi memulakan semula perniagaan, memberi impak kepada perancangan dan pelaburan keseluruhan untuk kenderaan automotif.

"Apa yang lebih membimbangkan ialah kesan domino terhadap semua 101 peniaga sah Honda yang menghadapi masalah kewangan selain status pekerjaan untuk penasihat jualan dan perkhidmatan serta kakitangan lain di pusat jualan kenderaan.

"Penasihat jualan yang pendapatan mereka banyak bergantung kepada komisyen, amat terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Chujo berkata Honda Malaysia turut berhasrat untuk mencapai kadar vaksinasi 100 peratus untuk untuk syarikat sekutunya menjelang Ogos 2021 di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Ekonomi Malaysia Sedia Pulih, Meningkat Separuh Kedua 2021


EKONOMI | Aktiviti ekonomi tempatan dijangka pulih dan meningkat dengan lebih jauh pada separuh kedua 2021, walaupun ambang imuniti kelompok daripada COVID-19 mungkin tidak dapat dicapai pada akhir tahun ini.

BERNMA pada 9 Ogos 2021 melaporkan Ketua Pengagihan Kekayaan Runcit Manulife Investment Management (M) Bhd, Ng Chze How, berkata Malaysia diramal akan berada dalam zon perniagaan akan meningkat, lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula serta mencatatkan pemulihan yang lebih lanjut.

"Terdapat banyak kajian kes, malah sekarang ini juga, saya berpendapat ramai pembuat dasar Malaysia tahu bahawa mereka perlu membuka semula lebih banyak sektor kerana kita perlu meneruskan kelangsungan walaupun dengan adanya virus ini.

"Kita tidak mampu untuk meneruskan sekatan terlalu lama kerana ini akan menyebabkan ramai orang kehilangan sumber pendapatan mereka.

"Unjuran untuk separuh kedua ini terkait rapat dengan program dan kemajuan vaksinasi, saya yakin negara mampu meneruskan pemulihan ekonomi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport dan semua petunjuk ekonomi, beliau menjelaskan kesemua akan mencerminkan kenaikan menjelang separuh kedua tahun ini.

Banyak pelabur sekarang ini menyasar kepada instrumen dengan hasil yang lebih tinggi yang dapat memberikan lonjakan pendapatan memandangkan kadar simpanan tetap dengan sekitar dua peratus keuntungan tidak mampu menangani inflasi.

"Pasaran kita disokong oleh dasar monetari dan persekitaran kadar faedah yang lebih rendah (pada masa ini). Kadar pinjaman juga berada pada tahap yang sangat rendah, mungkin sekitar 3.5 peratus sekarang," katanya lagi.

Chze How ketika mengulas mengenai kemajuan vaksinasi memberitahu negara sekarang sedang mempercepatkan program itu dan ini dapat melalui dilihat peningkatan proses vaksinasi di seluruh negara berikutan aliran bekalan vaksin yang stabil.

"Penjadualan vaksin kelihatan agak baik pada Julai dan kita sedang memasuki Ogos serta September. Jadi jangkaannya, sebelum akhir tahun ini iaitu pada suku keempat, kita berada dalam keadaan yang sangat baik daripada segi vaksinasi.

"Dengan unjuran ini beserta liputan dosis pertama dan kedua ke atas lebih banyak orang termasuk pemulihan dan pembukaan semula perniagaan, ada cahaya di hujung terowong," tambahnya.

-BERNAMA/ 9 Ogos 2021

Wednesday, 4 August 2021

PROTON Perkenal Iriz, Persona Reka Bentuk Terkini, Ciri Diperbaharui

    Foto Sumber: Tangkap Layar Laman Sesawang Proton


AUTOMOTIF | Proton Holdings Bhd (PROTON) memperkenalkan model Iriz dan Persona 2022 baharu yang menawarkan reka bentuk terkini dengan ciri diperbaharui.

Iriz edisi baharu itu didatangkan dalam tiga varian iaitu Iriz 1.3L Standard CVT, Iriz 1.6L Executive CVT dan Iriz 1.6L Active CVT yang ditawarkan pada harga RM40,300 hingga RM56,800 seunit.

Bagi Persona 2022 pula, tiga varian disediakan iaitu Persona 1.6L Standard CVT, Persona 1.6L Executive CVT dan Persona 1.6L Premium CVT pada harga bermula daripada RM45,200.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata model terbaharu itu juga memberikan sentuhan warna baharu serta lebih keselesaan dan ciri keselamatan.

"Proton Iriz dan Persona menjadi pilihan pengguna sejak ia diperkenalkan. Justeru itu perubahan yang diperkenalkan mengambil kira cita rasa pengguna.

"Perubahan reka betuk serta penambahan model 'Active' baharu bagi Iriz meningkatkan daya tarikannya, manakala perubahan pada dalaman dan sistem infotainment akan memberikan keselesaan dan penghubungan yang lebih baik sambil mengekalkan pengalaman pemanduan.

"Proton Iriz dan Persona 2022 sudah boleh mula ditempah di www.proton.com," katanya dalam kenyataan media pada 5 Ogos 2021/Khamis.

Perubahan luaran yang dilakukan pada dua model ini bermula dengan bampar reka bentuk baharu dan gril corak 'Infinite Weave' selain 'Ethereal Bow' yang diperkemaskan.

Bagi Iriz, ia diberi profil baharu dan ditampilkan dalam warna merah manakala Persona diberikan sentuhan warna krom bagi menonjolkan lagi logo PROTON yang terbaharu.

Penampilan bagi semua model 2022 juga termasuk lampu hadapan LED yang mempuyai fungsi automatik tutup dan buka.

Reka bentuk turut dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 16 inci, bumbung hitam dan juga lampu gabungan belakang baharu.

Warna baharu yang diperkenalkan adalah 'Citric Orange' dan 'Passion Red' untuk Iriz manakala 'Space Grey' untuk Persona.

Perubahan paling ketara pada bahagian dalaman Iriz dan Persona 2022 adalah penambahan unit infotainment lapan inci terapung dengan fungsi arahan suara.

Ditempatkan pada bahagian atas panel tengah untuk akses mudah, unit infotainment dipadankan dengan lubang udara yang baharu serta kawalan penyaman udara dengan paparan digital serta penapis udara N95.

Ciri kebolehgunaan pula dipertingkan dengan konsol tengah baharu yang menyediakan perehat lengan serta ruang penyimpanan yang kini lebih senang diguna.

Thursday, 22 July 2021

PROTON Perkenal X70 Edisi Khas, Terhad 2,000 Unit



Foto Sumber: Proton


PERMOTORAN | Proton Holdings Bhd (PROTON) pada 22 Julai 2021 melancarkan varian baharu model X70, Proton X70 Special Edition (X70 SE) untuk mengukuhkan lagi daya tarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) terlarisnya di Malaysia.

PROTON dalam satu kenyataan media berkata, Proton X70 Edisi Khas itu terhad kepada 2,000 unit, mempunyai spesifikasi yang sama dengan varian Premium 2WD dan ia juga menggunakan enjin 1.8L TGDi dan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

"Ia ditawarkan dengan warna baharu iaitu 'ocean blue' dan 'ruby red' dan juga mempunyai atap, spoiler belakang dan cermin pintu yang diwarnakan hitam serta reka bentuk baharu 'sport rim' 19 inci.

"Lambang SE eksklusif juga dipasang pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir," katanya.

    Foto: Proton

Menurut PROTON, Proton X70 Edisi Khas juga dilengkapi dengan Sistem Penulenan Udara Pintar PROTON (P-IAPS) dan dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan.

Ia termasuk enam beg udara SRS dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), di samping Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Kamera 360.

"Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans RM123,800 sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan.

"Ia akan dijual dengan insentif cukai jualan PEMERKASA+ bernilai RM7,000. Ia kini boleh ditempah secara dalam talian daripada harga serendah RM99," kata PROTON.


Wednesday, 21 July 2021

Jualan Kenderaan Jatuh 96% Pada Jun Kesan PKP

    Grafik: Hastags2U


Jualan kenderaan pada bJun merosot 96 peratus kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya susulan kesan daripada pelaksanaan sekatan pergerakan seluruh negara bermula 1 Jun lalu.

BH Online pada 22 Julai 2021 melaporkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama tahun ini (1H21) adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu 249,129 unit berbanding 173,545 unit, peningkatan 75,584 unit.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pencapaian tinggi itu sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh kesan asas yang rendah iaitu TIV yang rendah pada 1H20 disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Katanya, sama seperti tahun lalu, jualan bulanan sepanjang 1H21 juga terjejas dengan pelbagai PKP yang dikenakan oleh kerajaan.

"Kecuali bagi bulan Januari dan Jun, jualan tahun-ke-tahun (Y-o-Y) adalah konsisten lebih tinggi untuk 1H21 berbanding tempoh sama pada 2020.

"TIV pada bulan Mac adalah yang tertinggi sepanjang 1H21 disebabkan oleh syarikat automotif bergegas membuat penghantaran kepada pelanggan kerana tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2021.

"Pada Jun, unit yang didaftarkan adalah amat sedikit disebabkan penutupan bilik pameran susulan sekatan pergerakan seluruh negara sepanjang bulan itu. Jualan sedikit yang dilaporkan pada bulan ini adalah daripada lebihan pendaftaran pada akhir Mei lalu," katanya pada taklimat media maya membentangkan prestasi sektor automotif negara bagi 1H21.

Mengikut pecahan bagi TIV 1H21, sebanyak 223,838 unit adalah daripada kenderaan penumpang manakala 25,291 adalah kenderaan komersil.

Bagi jumlah keseluruhan pengeluaran (TPV), sebanyak 241,288 unit dikeluarkan pada 1H21, meningkat 45.3 peratus kepada 166,049 unit daripada tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu Aishah berkata, MAA membuat keputusan untuk menyemak semula unjuran TIV 2021 selepas mengambil kira banyak faktor terutamanya mengenai bahawa kilang automotif, pusat pengedaran dan bilik pameran jualan hanya dibenarkan beroperasi pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Justeru itu, unjuran baharu TIV bagi tahun ini disemak semula kepada 500,000 unit berbanding 570,000 yang diunjurkan sebelum ini," katanya.

Sumber: BH ONLINE/22 Julai 2021

Counter-Strike’ players are faster decision-makers, study shows

By : Mohd Ezli Mashut   Key Points - Research suggests that experienced Counter-Strike players make decisions faster, with a study showing t...