Sunday 8 December 2019

Tesco Timbang Jual Operasi Malaysia dan Thailand

FOTO: TESCO


LONDON: Peruncit terbesar Britain, Tesco, mengisyaratkan pengunduran lanjut daripada cita-cita globalnya dengan memulakan semakan semula ke atas perniagaannya di Asia, yang berkemungkinan menyaksikan penjualan operasi di Thailand dan Malaysia.

Meraikan ulang tahun ke 100, Tesco memasuki pelan pemulihan yang lebih berfokus kepada operasi di United Kingdom (UK) yang dilancarkan Ketua Eksekutifnya, Dave Lewis, selepas berhadapan skandal perakaunan.

Oktober lalu, Lewis mengumumkan pemulihan Tesco selesai dan berkata beliau akan meletak jawatan pada musim panas akan datang.

"Tesco mengesahkan bahawa ia telah memulakan semakan semula pilihan strategik bagi perniagaannya di Thailand dan Malaysia, termasuk penilaian kemungkinan penjualan perniagaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata semakan semula itu masih di peringkat awal dan tidak memberikan butiran lanjut.

"Tiada keputusan berhubung masa depan Tesco Thailand atau Malaysia dibuat dan tidak ada jaminan bahawa apa-apa transaksi akan selesai," katanya.

Tesco mengendalikan 1,967 cawangan di Thailand dan 74 di Malaysia.

Dalam tempoh enam bulan sehingga 24 Ogos, perniagaan di kedua-dua negara itu menjana jualan gabungan sebanyak 2.6 bilion pound (AS$3.3 bilion), naik satu peratus pada kadar pertukaran tetap, dan keuntungan operasi sebanyak 171 juta pound, naik 42.3 peratus.

Jun lalu, Tesco berkata ia berada di kedudukan yang baik untuk berkembang di Asia, terutamanya di Thailand, memetik peluang membuka 750 cawangan baharu dalam "jangka sederhana".

Bagaimanapun, di bawah Lewis, tumpuan pelaburan diberikan kepada operasi di UK, membelanjakan hampir empat bilion pound mengambilalih pemborong Booker tahun lalu.

Pada 2015, Tesco menjual operasi Korea Selatan kepada kumpulan yang diketuai syarikat ekuiti swasta MBK Partners pada pertimbangan tunai AS$6.1 bilion.

Setahun kemudian ia menjual perniagaan Kipa di Turki kepada Migros, rantaian pasar raya terbesar di negara itu.

SUMBER: REUTERS

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...