Thursday, 2 April 2020

2020: Bank Negara Unjur Ekonomi Malaysia Antara -2.0 hingga 0.5 Peratus



Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjur ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara -2.0 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun ini susulan kesan negatif penularan COVID-19 dan juga harga komoditi utama seperti minyak mentah yang rendah.

Unjuran bank pusat itu hampir selaras dengan jangkaan ahli ekonomi yang ditinjau BH baru-baru ini yang rata-ratanya mengunjur kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini adalah antara -3.5 hingga 2.7 peratus.

Ia sebagai besarnya adalah susulan krisis kesihatan, yang mencetuskan kejutan bekalan dan permintaan di China bermula Januari lalu, kini sudah menyebabkan kejutan global.

Negara ekonomi sedang membangun di Asia Timur dan Pasifik (EAP), termasuk Malaysia, yang baru pulih daripada kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China pada tahun lalu, kini bergelut pula dengan impak ekonomi COVID-19, berdepan prospek kejutan kewangan global dan kemelesetan.

Tindakan perlu, yang diambil oleh sebahagian besar negara di dunia bagi mencegah penularan COVID-19, menerusi sekatan perjalanan dan kawalan pergerakan, bagaimanapun mengganggu arus perdagangan, rantaian bekalan, pengeluaran, pelancongan dan sebagainya. Justeru tercetus kejutan permintaan dan penawaran.

Ekonomi negara akan menerima kesan ketara susulan keadaan ekonomi dan kewangan global, yang mula merosot pada suku pertama apabila penularan pandemik COVID-19 meningkat, kata bank pusat itu dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 yang disiarkan hari ini bersama dua laporan rasmi lain iaitu Laporan Tahun BNM 2019 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019.

Bank Negara berkata, ekonomi Malaysia juga tidak terkecuali menghadapi kesan ekonomi daripada tindakan berkenaan dan juga gangguan bekalan khususnya dalam sektor komoditi.

“Kejutan ini, terutamanya kesan gangguan ekonomi yang besar susulan krisis kesihatan COVID-19, adalah sesuatu yang belum pernah berlaku. Ia dijangka akan memberi kesan ketara kepada prospek pertumbuhan.

“Langkah membendung penularan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di peringkat global dan dalam negara, adalah kritikal dan perlu. Namun ia dijangka menjejaskan pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini,” kata bank pusat itu.

Namun begitu, ia menambah, sebaik sahaja krisis kesihatan semasa dapat ditangani, ekonomi domestik akan kembali berkembang secara beransur-ansur disokong peningkatan perbelanjaan isi rumah; kemajuan selanjutnya dalam pelaksanaan projek berkaitan pengangkutan dan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, tindak balas merangsang ekonomi oleh Bank Negara dan kerajaan masing-masing menerusi dasar monetari dan bantuan fiskal pada separuh pertama tahun ini akan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan.

“Ekonomi dijangka kembali normal pada tahun 2021, sejajar dengan pemulihan yang diunjurkan dalam ekonomi global,” kata Bank Negara.

Bagaimanapun untuk tempoh semasa pada tahun ini, katanya, pandemik COVID-19 dan langkah yang diambil untuk membendungnya menyebabkan kejutan penawaran dan permintaan yang berlaku serentak kepada ekonomi domestik.

Katanya, pandemik memberi kesan buruk secara langsung kepada pelancongan dan sektor perkilangan.

Sekatan perjalanan akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan Malaysia, yang mencakupi 11.8 peratus daripada KDNK Malaysia.

Trafik penumpang udara susut 8.2 peratus dalam tempoh hanya dua bulan tahun ini, sebaik saja penularan COVID 19 mula meningkatkan dana dan sebilangan ekonomi muka mengambil langkah berjaga-jaga seperti sekatan perjalanan dan kuarantin.

Sementara itu, kata bank pusat, dalam sektor perkilangan, penutupan kilang yang berpanjangan di pusat perindustrian utama di negara-negara yang terjejas COVlD-19 mengganggu aktiviti pengeluaran merentasi rantaian bekalan global.

“Memandangkan negara melaksanakan langkah membendung penularan virus, syarikat hanya dapat beroperasi dengan kapasiti terhad di tengah-tengah kekangan buruh dan logistik, justeru mengakibatkan firma domestik menghadapi kesukaran dalam mendapatkan input daripada negara sumber.

“Gangguan pengeluaran di luar negara juga akan menjejaskan permintaan bagi produk perkilangan Malaysia, yang sering digunakan sebagai input dalam eksport ekonomi terjejas dalam produk yang dieksport ke seluruh dunia.

“Umumnya, keseluruhan situasi ini memberi kesan kepada permintaan akhir yang lebih lemah dari negara yang terjejas dan menjejaskan lagi aktiviti pengilangan dan eksport Malaysia,” kata laporan itu.

Dari segi perdagangan, nilai kasar eksport barangan kasar dijangka mencatatkan pertumbuhan negatif yang besar, mencerminkan terutamanya keadaan permintaan global yang lemah berikutan penyebaran COVID-19 merentasi banyak ekonomi utama.

Dalam pada itu, nilai eksport komoditi juga dijangka terjejas sebahagian besarnya disebabkan penurunan harga minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah.

Bank Negara berkata, prestasi import kasar turut dijangka mencatat penguncupan yang lebih besar, terutamanya mencerminkan permintaan luar dan domestik yang lebih lemah.

“Akibatnya, lebihan akaun semasa dijangka berkurangan kepada 1.0 hinga 2.0 peratus daripada KDNK pada 2020 berbanding 3.3 peratus pada 2019,” katanya.

Selain daripada krisis kesihatan, ekonomi Malaysia dijangka terjejas oleh penurunan mendadak dan perubahan harga minyak mentah yang tidak menentu.

Walaupun ia susulan daripada penurunan ketara permintaan global, harga minyak mentah juga terjejas ekoran keputusan OPEC+ yang tidak meneruskan pelarasan keluaran tambahan secara sukarela.

“Harga minyak global yang berterusan rendah akan memberi kesan kepada prospek pendapatan, pekerjaan dan pelaburan dalam sektor berkaitan perlombongan secara langsung. Walau begitu, ia boleh mengurangkan tekanan kos terhadap pengguna dan perniagaan

“Dalam pada itu, harga komoditi utama lain (seperti sawit dan gas asli) juga dijangka terus rendah,” kata Bank Negara.

Harga komoditi yang rendah menimbulkan risiko tambahan kepada pengeluaran dalam sektor komoditi, eksport dan pertumbuhan pendapatan.

Sementara itu, tempoh ketidaktentuan pasaran kewangan yang semakin meningkat disebabkan ketidaktentuan global boleh membawa kepada keadaan kewangan domestik yang lebih ketat.

SUMBER: BH ONLINE/ 3 APRIL 2020

No comments:

Post a Comment

Understanding Air Turbulence and How Passengers Can Stay Safe

      AI image generated by : Mohd Ezli Mashut By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT ChatGPT can make mistakes. Check important info.  Introdu...