Saturday 18 April 2020

COVID-19: 4.5 Bilion Penduduk Dunia Berkurung Di Rumah



BEIJING: Hampir enam daripada 10 individu di seluruh dunia kini terpaksa berkurung atau digesa jangan keluar rumah dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

AFP melaporkan, jumlah itu membabitkan sekurang-kurangnya 4.5 bilion atau sekitar 58 peratus daripada keseluruhan 7.79 bilion penduduk dunia, mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun ini.

Perintah larangan keluar rumah yang mula dilaksanakan kebanyakan negara di seluruh dunia pertengahan Mac lalu itu didorong oleh peningkatan kes COVID-19 dan penyebarannya yang semakin meluas.

Pada 18 Mac, sejumlah 500 juta penduduk dunia melalui perintah berkurung, ia terus meningkat saban hari dengan peningkatan mendadak pada 23 Mac, apabila seramai satu bilion orang terpaksa berkurung di rumah.

Peningkatan penduduk dunia yang terpaksa melalui fasa berkenaan terus bertambah pada hari seterusnya iaitu 24 Mac (dua bilion), 25 Mac (tiga bilion), sehingga mencecah empat bilion pada 7 April.

Mengikut angka yang dicatatkan semalam, 4.5 bilion penduduk penduduk yang terjejas akibat COVID-19 itu merangkumi 110 negara dan wilayah.

Sekurang-kurangnya 2.93 bilion penduduk daripada 66 negara dan wilayah tidak mempunyai pilihan, selain mematuhi arahan untuk terus berada di rumah.

Di Eropah, negara seperti Perancis, Itali, Sepanyol dan hampir keseluruhan Russia sudah melaksanakan ‘perintah berkurung sementara’.

Di Asia, India, Nepal, Sri Lanka, Uzbekistan dan ibu kota Indonesia, Jakarta selain separuh daripada Filipina turut mengambil langkah sama.

Di Asia Barat, pendekatan sama turut diambil oleh negara seperti Iraq, Israel, Jordan, Lebanon dan Arab Saudi.

Selain itu, di Afrika, Maghribi, Rwanda, Afrika Selatan, Zimbabwe dan bandar raya utama di Nigeria turut mengambil langkah berkenaan dalam usaha menghentikan rantaian penularan pandemik COVID-19.

Sementara di Amerika Syarikat (AS), hampir keseluruhan negerinya sedang melalui tempoh ‘perintah berkurung’, begitu juga di Argentina, Bolivia, Colombia, Peru, Venezuela dan New Zealand.

Dalam perkembangan lain, Sudan dan Malawi memulakan perintah berkurung berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, di sekurang-kurangnya terdapat 15 wilayah yang menempatkan 1.03 bilion penduduk, orang awam digesa berada di rumah, namun pada masa sama, turut diberikan kelonggaran dalam pergerakan mereka.

Ia termasuk di Mexico, Brazil, Kanada, Jerman, Iran, Jepun, Switzerland dan Uganda.

Dalam pada itu, terdapat juga negara yang bercadang untuk menghentikan perintah berkurung, sebagaimana dilaksanakan di bandar raya Wuhan, China yang menjadi pusat tercetusnya COVID-19, pada 8 April lalu.

Antara negara yang dijangka akan menarik semula perintah berkurung termasuk Republik Czech yang bercadang membuka semula sempadannya secara berperingkat mulai Isnin, Switzerland mulai 27 April, Itali (4 Mei) dan Perancis (11 Mei). 

SUMBER: AFP/ 18 APRIL 2020

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...