Sunday, 5 April 2020

TIPS: Bijak Hadapi Tempoh PKP, Elak Gangguan Mental



KEDEGILAN dan kegagalan rakyat untuk mematuhi saranan dan arahan pihak berkuasa dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19, boleh mengundang kepada masalah yang lebih besar termasuk kesihatan mental.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, jika semakin ramai yang dijangkiti wabak itu, maka risiko untuk masyarakat mengalami tekanan perasaan juga akan meningkat termasuk dalam kalangan pesakit Covid-19 itu sendiri.

“Keadaan itu seterusnya akan memberi kesan terhadap ahli keluarga dan individu terdekat serta tidak terkecuali petugas kesihatan yang merawat pesakit berikutan bebanan kerja yang semakin bertambah.

“Sebab itu kita bimbang jika jumlah pesakit terus meningkat, sedangkan petugas kesihatan mengalami keletihan emosi, mental dan fizikal berikutan tekanan kerja berlebihan dan berpanjangan. Kesemua rantaian ini akan memberi implikasi besar kepada banyak perkara,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Muhsin berkata krisis itu juga pada masa sama turut berisiko memberi kesan kepada penghidap penyakit obsesi berlebihan seperti Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) dan kerisauan berlebihan seperti Penyakit Kerisauan Am.

Menurut beliau, gejala penyakit berkenaan boleh menjadi lebih ketara dengan situasi semasa hari ini dan tidak terkecuali membawa kepada gangguan mental.


Terdapat individu yang hanya menghabiskan masa bersendirian sepanjag PKP ini.

“Keresahan dan ketakutan munasabah memang boleh berlaku dalam menghadapi krisis wabak ini. Ia adalah tindak balas normal atau biasa yang sekaligus boleh menyumbang kepada pematuhan arahan dan saranan pihak berkuasa. Namun begitu tidaklah sehingga menjejaskan tidur, hilang selera makan, menyendiri, hilang tumpuan terhadap perkara yang menjadi rutin harian.

“Contohnya, seseorang yang berada di dalam rumah tetapi mengalami resah, risau dan takut sehingga tidak boleh tidur malam atau memperuntukkan masa terlalu lama untuk menjaga kebersihan diri seperti basuh tangan. Individu ini dinasihatkan untuk bercakap dengan seseorang atau berhubung dengan kaunselor bagi meluahkan kebimbangan mereka.

“Ia mungkin tanda-tanda gangguan keresahan yang dialami menjadi serius dan mereka perlu berjumpa doktor bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Manfaat PKP

Bagaimana pula dengan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac dan dilanjutkan sehingga 14 April nanti? Adakah ia akan turut memberi kesan kepada kesihatan mental individu?

Berikutan perintah itu, ramai yang mengemaskini status di media sosial masing-masing, meluahkan rasa bosan, sunyi dan ‘mati kutu’ kerana perlu ‘terperuk’ di rumah.


Penularan wabak Covid-19 bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Menjawab persoalan itu, Dr Muhammad Muhsin tidak menafikan bahawa penyesuaian terhadap PKP boleh membawa kepada keresahan jika tidak difahami dan dimanfaatkan sebaiknya kerana naluri manusia adalah bersosial dan bebas bergerak tanpa sekatan.

“Namun begitu, impak mental disebabkan kawalan pergerakan dan penjarakan fizikal ini adalah minimum. Yang utama, setiap rakyat perlu melihat perkara ini dari sudut positif demi kebaikan bersama untuk membantu usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Faktor hubungan, komunikasi, kerja, kesihatan, perundangan dan persekitaran juga antara yang boleh menjadi punca kepada tekanan ketika krisis wabak Covid-19. Untuk itu adalah penting bagi memastikan kesemua perkara berkenaan berada dalam keadaan baik, seimbang dan terkawal.

Menurut Dr Shawaludin, terdapat individu yang personalitinya introvert (suka bersendiri) dan ada pula yang extrovert (suka bersosial).

Jelas beliau, kesan PKP mungkin lebih besar terhadap extrovert, disebabkan tempoh PKP yang lama, mereka yang tinggal bersendirian juga dinasihatkan untuk lebih aktif berhubung dengan ahli keluarga atau rakan-rakan.

“Jangan sesekali ‘memencilkan’ diri dalam tempoh PKP ini. Gunakan semua platform yang ada untuk berhubung dengan pasangan, ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja dan majikan meskipun melalui alam maya. Tindakan menyendiri dan tidak berkomunikasi dengan sesiapa boleh menjejaskan kesihatan emosi.

“Mereka yang tinggal bersendirian juga mungkin boleh dipertimbangkan untuk diberi pengecualian untuk pulang ke rumah atau kampung untuk bersama keluarga (jika dipastikan bebas daripada wabak).

Seseorang mungkin boleh bertahan tinggal sendirian dan berhubung melalui telefon dalam tempoh tiga atau empat hari namun selepas tempoh itu ia dikhuatiri akan mengundang bahaya disebabkan faktor emosi dan tekanan yang dihadapi sendirian,” katanya.

Dr Shawaludin pada masa sama turut menjelaskan, setiap individu mempunyai tahap tekanan yang berbeza, sama ada dalam keadaan terkawal atau tidak.


Keadaan persekitaran sunyi sepi sejak PKP dilaksanakan.

“Tekanan juga ada baik dan buruknya. Tekanan yang baik dan terkawal sebagai contoh boleh mendorong seseorang menyiapkan tugasan dan mencapai matlamat tetapi tekanan yang tidak terkawal akan memberi kesan kepada emosi, tingkah laku dan kesihatan.

“Contohnya, sentiasa berasa marah, panas baran, tidak mahu bergaul dengan orang lain dan seterusnya boleh mengundang kepada pelbagai penyakit kronik seperti hipertensi, kencing manis, kolesterol, sakit kepala dan sebagainya.

“Pekerja yang bimbang dengan kelangsungan kerjayanya mungkin akan menjadi marah, sentiasa berdebar, tangan berpeluh, tiada selera makan dan sebagainya. Ini boleh membawa kepada kerisauan melampau dan kemudian panic attack apabila tiba-tiba pitam, suka mengasingkan diri dari orang lain, fobia dan seterusnya membawa kepada penyakit murung,” katanya.

Tip kesihatan mental

Penerimaan individu terhadap sesuatu peristiwa termasuk krisis Covid-19 yang melanda negara ketika ini mungkin berbeza disebabkan beberapa faktor.

Antaranya termasuklah tahap kesukaran yang dialami, pengalaman lampau, hubungan serta sokongan orang sekeliling, keadaan kesihatan fizikal, masalah peribadi terdahulu yang masih belum selesai atau sedang berlaku serentak, masalah kesihatan mental sedia ada atau sejarah masalah kesihatan mental dalam keluarga, latar belakang budaya dan sosial serta faktor umur.

Dr Shawaludin berkata antara langkah lain yang boleh diambil dalam menangani tekanan berikutan penularan wabak Covid-19 termasuklah berehat seketika daripada menonton, membaca atau mendengar berita (termasuk di media sosial) berkaitan pandemik ini.

“Mengulang (dengar atau menonton) isu yang sama berkali-kali boleh menjejaskan emosi. Alihkan perhatian kepada aktiviti lain yang lebih menyeronokkan termasuk riadah, senaman ringan dan indoor games bersama keluarga.


PKP memasuki fasa kedua minggu ini.

“Makan makanan yang sihat dan seimbang, dapatkan rehat dan tidur yang cukup serta elakkan penggunaan alkohol dan ubat sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Pada masa sama cuba fahami fakta dan risiko sebenar jangkitan Covid-19 agar diri berasa lebih tenang di samping memperbanyakkan berdoa kepada tuhan agar diri sentiasa dilindungi daripada wabak penyakit berbahaya,” katanya. 

Ruangan sisi talian Khas Kaunseling

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan Talian Khas Kaunseling Covid-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada orang ramai yang terkesan dengan penularan wabak itu dan PKP.

Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam kenyataan pada 26 Mac, perkhidmatan telekaunseling itu diwujudkan melalui Talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-2615999.

Perkhidmatan itu melibatkan seramai 528 kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

Talian Khas Kaunseling Covid-19 itu dibuka kepada mangsa Covid-19, waris mangsa, petugas pusat kuarantin, hospital dan individu lain yang terkesan dengan PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April.

Perkhidmatan itu beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

SUMBER: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Understanding Air Turbulence and How Passengers Can Stay Safe

      AI image generated by : Mohd Ezli Mashut By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT ChatGPT can make mistakes. Check important info.  Introdu...