Thursday, 22 July 2021

PROTON Perkenal X70 Edisi Khas, Terhad 2,000 Unit



Foto Sumber: Proton


PERMOTORAN | Proton Holdings Bhd (PROTON) pada 22 Julai 2021 melancarkan varian baharu model X70, Proton X70 Special Edition (X70 SE) untuk mengukuhkan lagi daya tarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) terlarisnya di Malaysia.

PROTON dalam satu kenyataan media berkata, Proton X70 Edisi Khas itu terhad kepada 2,000 unit, mempunyai spesifikasi yang sama dengan varian Premium 2WD dan ia juga menggunakan enjin 1.8L TGDi dan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

"Ia ditawarkan dengan warna baharu iaitu 'ocean blue' dan 'ruby red' dan juga mempunyai atap, spoiler belakang dan cermin pintu yang diwarnakan hitam serta reka bentuk baharu 'sport rim' 19 inci.

"Lambang SE eksklusif juga dipasang pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir," katanya.

    Foto: Proton

Menurut PROTON, Proton X70 Edisi Khas juga dilengkapi dengan Sistem Penulenan Udara Pintar PROTON (P-IAPS) dan dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan.

Ia termasuk enam beg udara SRS dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), di samping Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Kamera 360.

"Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans RM123,800 sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan.

"Ia akan dijual dengan insentif cukai jualan PEMERKASA+ bernilai RM7,000. Ia kini boleh ditempah secara dalam talian daripada harga serendah RM99," kata PROTON.


Wednesday, 21 July 2021

Jualan Kenderaan Jatuh 96% Pada Jun Kesan PKP

    Grafik: Hastags2U


Jualan kenderaan pada bJun merosot 96 peratus kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya susulan kesan daripada pelaksanaan sekatan pergerakan seluruh negara bermula 1 Jun lalu.

BH Online pada 22 Julai 2021 melaporkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama tahun ini (1H21) adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu 249,129 unit berbanding 173,545 unit, peningkatan 75,584 unit.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pencapaian tinggi itu sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh kesan asas yang rendah iaitu TIV yang rendah pada 1H20 disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Katanya, sama seperti tahun lalu, jualan bulanan sepanjang 1H21 juga terjejas dengan pelbagai PKP yang dikenakan oleh kerajaan.

"Kecuali bagi bulan Januari dan Jun, jualan tahun-ke-tahun (Y-o-Y) adalah konsisten lebih tinggi untuk 1H21 berbanding tempoh sama pada 2020.

"TIV pada bulan Mac adalah yang tertinggi sepanjang 1H21 disebabkan oleh syarikat automotif bergegas membuat penghantaran kepada pelanggan kerana tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2021.

"Pada Jun, unit yang didaftarkan adalah amat sedikit disebabkan penutupan bilik pameran susulan sekatan pergerakan seluruh negara sepanjang bulan itu. Jualan sedikit yang dilaporkan pada bulan ini adalah daripada lebihan pendaftaran pada akhir Mei lalu," katanya pada taklimat media maya membentangkan prestasi sektor automotif negara bagi 1H21.

Mengikut pecahan bagi TIV 1H21, sebanyak 223,838 unit adalah daripada kenderaan penumpang manakala 25,291 adalah kenderaan komersil.

Bagi jumlah keseluruhan pengeluaran (TPV), sebanyak 241,288 unit dikeluarkan pada 1H21, meningkat 45.3 peratus kepada 166,049 unit daripada tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu Aishah berkata, MAA membuat keputusan untuk menyemak semula unjuran TIV 2021 selepas mengambil kira banyak faktor terutamanya mengenai bahawa kilang automotif, pusat pengedaran dan bilik pameran jualan hanya dibenarkan beroperasi pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Justeru itu, unjuran baharu TIV bagi tahun ini disemak semula kepada 500,000 unit berbanding 570,000 yang diunjurkan sebelum ini," katanya.

Sumber: BH ONLINE/22 Julai 2021

Friday, 16 July 2021

Premium Insurans Perubatan Naik 10 hingga 15 Peratus



Premium insurans perubatan di negara ini meningkat antara 10 hingga 15 peratus, manakala bagi insurans hayat pula tertakluk pada polisi baharu yang diambil pengguna.

BH ONLINE pada 16 Julai 2021/ Jumaat melaporkan Pengarah Eksekutif Agensi Insurans, Stable Vision Corporation Sdn Bhd, Richard Low, berkata bagi premium perubatan, kenaikan disebabkan produk yang semakin inovatif, termasuk berkaitan COVID-19, kos inflasi dan kos perubatan yang melambung tinggi, selain peningkatan risiko pencarum.

Beliau berkata, bagi premium insurans hayat pula, kadar premium lebih tinggi untuk polisi baharu dengan peningkatan terbabit mengambil kira manfaat dan perlindungan tambahan ditawarkan kepada pelanggan.

"Timbul salah faham masyarakat khususnya pelanggan mengenai kenaikan kadar premium insurans hayat dan perubatan. Untuk premium insurans perubatan, pelanggan dimaklumkan sejak daripada awal lagi mengenai perkara ini.

"Ingin ditegaskan di sini, berlaku kenaikan bagi kedua-dua insurans, termasuk membabitkan produk takaful tetapi pelanggan ada pilihan, bukannya paksaan atau pelanggan dipaksa setuju dengan perubahan polisi sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan rakyat yang mendakwa berlaku kenaikan dalam premium insurans di tengah-tengah keadaan ramai bergelut menampung kehidupan pada era pandemik.

Mengulas lanjut, Low berkata, bagi insurans hayat, polisi sedia ada menggunakan kaedah harga tetap.

Bagaimanapun, katanya, syarikat insurans menawarkan penambahbaikan polisi atau polisi baharu kepada pelanggan pada kadar premium lebih tinggi, tetapi tiada paksaan mengambilnya.

"Begitu juga dengan insurans perubatan, pelanggan tetap ada pilihan untuk tidak mengambil polisi dengan penambahan manfaat jika mereka tidak mampu dari aspek kewangan. Ia bukan mandatori. Syarikat insurans tetap menawarkan polisi ikut kemampuan pelanggan," katanya.

Low berkata, antara contoh kenaikan caruman premium insurans hayat adalah manfaat dua kali ganda akibat kematian disebabkan kemalangan; manfaat tiga kali ganda akibat kemalangan pengangkutan awam dan manfaat enam kali ganda akibat kematian disebabkan bencana alam.

Selain itu, contoh lain, katanya, manfaat tambahan yang akan meningkatkan premium insurans hayat juga membabitkan pertambahan senarai penyakit kritikal, peringkat awal penyakit kritikal, manfaat kepada pasangan serta penambahan kepada manfaat Infaq.

"Bagi insurans perubatan pula, syarikat insurans berhak menaikkan kadar premium dengan kenaikan disebabkan inovasi teknologi perubatan; rawatan dan ubat-ubatan lebih baik; kenaikan inflasi perubatan sebanyak dua angka setahun; pertukaran asing; perbezaan manfaat pelan perubatan seperti bayaran penuh, insurans bersama bagi jumlah atau peratusan tertentu yang ditanggung pemegang polisi.

"Kenaikan memang ada, tetapi ia bukan mandatori kepada pelanggan. Mereka tetap ada pilihan mengikut kemampuan komitmen kewangan.

"Selain itu, pelan takaful atau insurans ketika ini penuh dengan fleksibiliti untuk memenuhi keperluan pelanggan masing-masing. Insurans hayat atau pelan takaful juga menawarkan pelaburan patuh syariah yang membantu pelanggan melabur atau menyimpan untuk masa depan," katanya.

Beliau berkata, kenaikan kadar premium juga bergantung kepada syarikat insurans dan ia perlu mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, katanya, setiap kenaikan kadar premium diluluskan bank pusat, syarikat insurans akan tampil dengan pilihan tawaran lain bagi memastikan pelanggan disantuni seadilnya.

"Peranan agensi insurans selepas syarikat insurans mendapat kelulusan BNM adalah memaklumkan kepada ejen dan ejen maklumkan kepada pelanggan.

"Pelanggan ada pilihan dan boleh mengurangkan perlindungan ikut kemampuan. Dakwaan mengatakan syarikat insurans ambil kesempatan menaikkan kadar premium adalah tidak tepat.

"Syarikat menaikkan kadar selepas mengambil kira pelbagai aspek, tetapi pelanggan tetap ada pilihan," katanya.

Stable Vision adalah agensi insurans hibrid yang memiliki pasukan terbabit dalam takaful dan insurans konvensional.

Pengurus Agensi Prudential BSN Takaful di bawah agensi Muqmeen Group, Siti Nurbaya Ahmad Shadzli pula berkata, kenaikan premium insurans perubatan disebabkan peningkatan inflasi perubatan dengan kos rawatan semakin meningkat.

"Sebagai contoh, 15 tahun lalu, kos pembedahan antara RM8,000 hingga RM9,000, tetapi kini mencecah belasan hingga puluhan ribu ringgit. Sekarang peralatan juga canggih, jadi kos juga akan tinggi," katanya.

Beliau berkata, kenaikan kadar premium juga disebabkan tuntutan semakin melambung berikutan risiko kesihatan rakyat Malaysia yang turut meningkat.

"Ada golongan muda berpenyakit jantung dan kematian mengejut. Rawatan jantung juga boleh mencecah lebih RM50,000. Jadi apabila tuntutan meningkat, Dana Tabarru' akan menyusut kerana perlu membuat bayaran nisbah tuntutan yang sangat banyak.

"Justeru, perlu ada 'repricing' untuk jaga Dana Tabarru' bagi membolehkan tuntutan pelanggan dapat dibayar untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang," katanya.

Tabarru' membawa maksud menyumbang dengan rela atau menyediakan khidmat bakti secara ikhlas.

Dalam konteks takaful, tabarru' merujuk kepada peserta mendermakan sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan dibayar ketika menyertai pelan atau skim takaful dengan tujuan membantu rakan peserta dibebani kehilangan atau kerugian berikutan dilanda musibah tertentu.

Memandangkan tabarru' dikategorikan sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas, aplikasi tabarru' dalam takaful menghapuskan unsur gharar, riba dan maisir.

Malah, Siti Nurbaya berkata, kos perubatan dan teknologi perubatan terbaik disediakan pihak hospital untuk keselesaan pesakit menyumbang kepada kenaikan premium.

"Syarikat insurans atau takaful menawarkan produk untuk perlindungan sehingga usia 70 atau 80 tahun. Jadi kenaikan premium akan menjadikan polisi diambil pelanggan lebih kukuh untuk perlindungan jangka panjang," katanya.

Sumber: BH ONLINE/16 JULAI 2021

Sunday, 11 July 2021

EURO 2020: Itali Juara, Akhiri Penantian 53 Tahun

       Tangkap Layar: UEFA

LONDON: Itali menjuarai Euro 2020 selepas menewaskan England menerusi sepakan penentuan 3-2 pada aksi final di Wembley, di sini.

Sepakan penentuan terpaksa dilakukan susulan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan, lapor AFP pada 12 Julai 2021.

Terdahulu England memperoleh gol pertama menerusi Luke Shaw pada minit kedua, sebelum disamakan pertahanan Itali, Leonardo Bonucci minit ke-67.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma sekali lagi menjadi wira penentuan penalti apabila menyelamatkan dua sepakan dan satu sepakan tersasar untuk menewaskan England pada final Euro 2020.

Itali mengulangi kejayaan menjulang trofi Eropah pada tahun 1968 apabila mengungguli penentuan penentuan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 di Wembley.

England kendalian Gareth Southgate mendahului permainan seawal minit kedua menerusi Luke Shaw hasil umpanan Kieran Trippier.

Terkejut dengan jaringan awal itu, anak buah Roberto Mancini kembali mencari rentak dan mengawal permainan sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Itali meneruskan penguasaan dan hasilnya Leornardo Bonucci mengheret permainan ke masa tambahan dengan gol penyamaan minit ke-67.


   Sumber Grafik: BERNAMA

Masa tambahan berlalu tanpa sebarang gol dan permainan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Domenico Berardi, Leonardo Bonucci dan Federico Bernardeschi menyempurnakan sepakan untuk Itali manakala hanya Harry Kane dan Harry Maguire berjaya menewaskan Donnarumma.

Ketika England seakan mempunyai kelebihan apabila sepakan Andrea Belotti dan Jorginho diselamatkan Jordan Pickford, Marcus Rashford menyaksikan sepakannya tersasar dan Donnarumma menyelamatkan sepakan Jadon Sancho serta Bukayo Saka.

Italy 1 (Bonucci 67) England 1 (Shaw 2)

*Itali menang 3-2 selepas sepakan penentuan

Senarai pemenang Euro:

2020: Itali

2016: Portugal

2012: Sepanyol

2008: Sepanyol

2004: Greece

2000: Perancis

1996: Jerman

1992: Denmark

1988: Belanda

1984: Perancis

1980: Jerman Barat

1976: Czechoslovakia

1972: Jerman Barat

1968: Itali

1964: Sepanyol

1960: Soviet Union

Sumber: AFP/12 Julai 2021

Harga Sarung Tangan Diramal Terus Turun


   Foto Sumber: Dagang News


BISNES | Industri sarung tangan berdepan penurunan harga susulan jangkaan trend kemerosotan purata harga jualan (ASP) merosot pada separuh kedua tahun ini.

Penganalisis Maybank IB Research, Wong Wei Sum, berkata jangkaan penurunan ASP didorong peningkatan penawaran berikutan persaingan sengit antara peserta pasaran baharu dan sedia ada serta lonjakan kadar vaksinasi di seluruh dunia, lapor BH ONLINE pada 11 Julai 2021.

"Risiko elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) juga menambahkan lagi tekanan terhadap unjuran pendapatan dan penilaian syarikat pengeluar sarung tangan," katanya dalam satu nota.

Menurut Wei Sum, ASP mencecah paras kemuncak pada separuh pertama tahun ini dan kitaran tinggi pendapatan dikurangkan dengan penurunan lebih pantas dari jangkaan pada separuh kedua 2021.

"Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) ke atas Top Glove juga meningkatkan kejatuhan ASP selepas pengeluar terbabit mengalih tempahan keluar dari AS dengan ASP lebih rendah," katanya.

Beliau menjelaskan, saranan terbaharu penganalisis ke atas Hartalega dan Top Glove memberi petunjuk kepada ASP lebih rendah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Katanya, persaingan sengit dalam kalangan peserta sedia ada dan baharu terutama wujudnya pengeluar yang meningkat mendadak dari China juga akan memberi tekanan kepada ASP.

"Menurut laporan Frost & Sulivan, ASP bagi sarung tangan getah/nitril dijangka menurun sebanyak 52 peratus hingga 59 peratus kepada AS$35/20.4 bagi setiap 1,000 sarung tangan menjelang 2023, daripada paras semasa AS$85/42.7," katanya.

Wei Sum berkata, sektor sarung tangan tidak dinilai berdasarkan kebimbangan penurunan trend ASP dan kekurangan pemangkin yang kuat dalam jangka masa sederhana.

Menurut Maybank IB Research, walaupun merekodkan keuntungan pada separuh pertama 2021, saham pengeluar sarung tangan susut sebanyak 18 peratus hingga 30 peratus setakat ini berikutan jangkaan normalisasi ASP.

Katanya, ia disebabkan permintaan menyederhana susulan peningkatan bekalan dan kadar vaksinasi yang tinggi terutama di AS dan Eropah yang menjadi pasaran utama syarikat sarung tangan Malaysia.

"Risiko ESG yang berkaitan layanan pekerja asing meningkat bagi peserta dari Malaysia terutamanya di AS," katanya.

Mei lalu, CBP AS merampas sarung tangan getah bernilai RM2.85 juta atau 4.7 juta sarung tangan yang dihasilkan Top Glove di Pelabuhan Kansas City di Missouri berikutan maklumat mengatakan sarung tangan itu didakwa dibuat oleh buruh paksa.

Sumber: BH ONLINE/11 JULAI 2021

Tuesday, 6 July 2021

Urus Niaga e-dagang Malaysia Melonjak 30 peratus Kepada RM254.6 Bilion

    Foto Sumber: Pexels

Sektor e-dagang Malaysia mencatatkan pendapatan RM254.6 bilion pada suku pertama tahun ini, melonjak 30 peratus daripada RM195.9 bilion yang diraih tempoh sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan positif itu dipacu sektor pembuatan dan perkhidmatan, lapor BH Online pada 6 Julai 2021.

"Pencapaian pendapatan e-dagang pada suku pertama 2021 juga lebih tinggi berbanding RM245.4 bilion yang diraih pada suku keempat tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Tahun lalu, e-dagang Malaysia meraih pendapatan RM896.4 bilion, melonjak 32.7 peratus berbanding yang diraih pada 2019.

Perbandingan suku ke suku tahun pula menyaksikan RM195.9 bilion direkodkan pada suku pertama 2020, diikuti RM216.9 bilion pada suku kedua.

Pendapatan e-dagang terus menunjukkan trend peningkatan pada suku ketiga dengan meraih RM238.2 bilion dan RM245.4 bilion pada suku terakhir tahun lalu.

Mengulas mengenai pencapaian tahun lalu, Mohd Uzir berkata, prestasi lebih baik itu didorong oleh norma baharu yang dicetuskan COVID-19 yang telah merangsang adaptasi digital.

"Pendapatan e-dagang meningkat 22.8 peratus pada 2019 berbanding mencatatkan RM675.4 bilion.

"Pendapatan e-dagang pada 2019 bagi pasaran tempatan yang dijana daripada jualan domestik, meningkat 21.7 peratus kepada RM591.8 bilion, manakala jualan antarabangsa melonjak 31.9 peratus kepada RM83.5 bilion.

"Pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui perniagaan kepada perniagaan (B2B) meningkat 13 peratus kepada RM449.6 bilion, diikuti perniagaan kepada pengguna (B2C) naik 53.3 peratus kepada RM194.0 bilion, manakala perniagaan kepada kerajaan (B2G) turut meningkat 55.7 peratus kepada RM31.8 bilion," katanya.

Beliau menjelaskan, perbelanjaan e-dagang turut merekodkan pertumbuhan 14.8 peratus kepada RM301.5 bilion.

"Perbelanjaan e-dagang bagi pasaran tempatan tumbuh 15.3 peratus kepada RM269.6 bilion, manakala perbelanjaan pasaran antarabangsa meningkat 10.8 peratus kepada RM31.9 bilion.

"Perbelanjaan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui B2B meningkat 14.1 peratus kepada RM277.6 bilion, diikuti B2C melonjak 24.6 peratus kepada RM14.8 bilion, sementara B2G meningkat 22.6 peratus kepada RM9.1 bilion," katanya.

Bagi penggunaan internet, Mohd Uzir berkata, ia merekodkan peningkatan 11.9 peratus kepada 85.2 peratus, diikuti oleh komputer 7.3 peratus kepada 86.2 peratus dan web presence 16.1 peratus kepada 53.9 peratus.

"Sektor maklumat & komunikasi dan kewangan & takaful/ insurans menggunakan sepenuhnya internet dan komputer dalam perniagaan," katanya.

Beliau menambah, pertumbuhan pesat dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan e-dagang di Malaysia menunjukkan perniagaan telah beralih kepada laluan digital seiring dengan perkembangan teknologi global.

Sumber: BH Online/ 6 JULAI 2021

UMW Toyota Motor Tambah Pelaburan RM270 juta


    Foto Sumber: Autoworld


PERMOTORAN | UMW Toyota Motor bakal melabur RM270 juta lagi di Malaysia untuk memperluaskan operasi dan kemudahan pengeluaran sedia adanya, termasuk pengenalan generasi kenderaan teknologi termaju bagi kenderaan hibrid elektrik (HEV).

BH ONLINE pada 6 Julai 2021 melaporkan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, berkata pelaburan baharu itu adalah tambahan kepada pelaburan terdahulu bernilai RM2 bilion yang digunakan untuk pembinaan kilang di Bukit Raja.

Dianggap sebagai sebuah kilang Toyota paling moden dan termaju serta cekap di Asia, kemudahan di Bukit Raja menjadi pendahulu selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

Beliau berkata, syarikat bersedia dengan pengenalan barisan kenderaan HEV dan teknologi berkaitan termasuk sokongan servis, prasarana semasa; dasar global dan domestik; tahap mampu milik dan keberkesanan kos; serta kesedaran serta permintaan pelanggan.

"Ini terutama di Malaysia, yang kini berada di tahap paling ideal untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan baru yang menarik ke arah mencapai neutraliti karbon ini.

"HEV Toyota sedang berada di tahap paling maju ketika ini dan menonjol sebagai penyelesaian paling realistik, segera, ekonomikal serta praktikal bagi pengeluaran pasaran dan jualan massa dari segi pengurangan pembebasan karbon dioksida (CO2), kemudahan penggunaan dan penerimaan harga oleh pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

Takeyama berkata, arah tuju global Toyota adalah untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, yang juga

selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara progresif yang mempromosi lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mapan.

Katanya, ini adalah waktu yang menarik bagi industri automotif Malaysia dan UMW Toyota Motor bersedia untuk menjadi pelopor kepada impian ini.

"Untuk mencapainya dengan penyelesaian paling

realistik, praktikal dan segera adalah melalui teknologi dan kenderaan hibrid elektrik Toyota.

"Pengeluaran massa dan penerimaan yang semakin berkembang terhadap kenderaan hibrid elektrik akan membawa kepada perubahan ekosistem keseluruhan automotif bagi memupuk kesedaran bersama dan bergerak ke arah mengurangkan jejak karbon di Malaysia," katanya.

Toyota adalah pelopor utama teknologi kenderaan hibrid elektrik dan telah memajukan lagi teknologi berkenaan dalam tempoh 20 tahun terakhir ini.

Setakat hari ini, Toyota telah menjual sebanyak 17 juta HEV; kenderaan hibrid elektrik plug in (PHEV); kenderaan bateri elektrik (BEV) serta kenderaan elektrik fuel cell hidrogen (FCEV) di seluruh dunia.

Sumbangan terkumpul Toyota untuk pengurangan CO2 adalah bersamaan dengan 17 juta kenderaan yang membawa kepada pengurangan 140 juta CO2 atau sekitar 1.5 juta kenderaan penumpang konvensional setahun bagi tempoh 20 tahun.

SUMBER: BH ONLINE/ 6 JULAI 2021

Understanding Air Turbulence and How Passengers Can Stay Safe

      AI image generated by : Mohd Ezli Mashut By : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT ChatGPT can make mistakes. Check important info.  Introdu...