Maybank memperkenalkan Maybank2u Biz, aplikasi perbankan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memenuhi keperluan yang lebih mudah dan selamat, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Maybank
Datuk Abdul Farid Alias berkata aplikasi terbaharu yang mengutamakan gaya hidup mudah alih itu turut menyediakan fungsi perniagaan untuk memenuhi keperluan bukan perbankan PKS bagi memudahkan operasi perniagaan.
Katanya, memandangkan PKS menjadi tulang belakang negara, Maybank tetap komited untuk menyokong perniagaan dalam tempoh perubahan yang ketara ini.
"Menjalankan perniagaan adalah sangat kompleks dan boleh menjadi lebih mencabar terutama dalam situasi luar biasa yang sedang berlaku kini.
"Oleh itu, kami mereka bentuk aplikasi Maybank2u Biz supaya ia bukan hanya sekadar aplikasi perbankan, tetapi juga berfungsi sebagai rakan perniagaan yang boleh membantu meringankan beban PKS dan memperkasakan mereka untuk memajukan perniagaan.
"Kami menjadikannya lebih ringkas, kerana usahawan patut meluangkan lebih banyak masa untuk membuat keputusan strategik perniagaan berbanding menguruskan operasi harian," katanya ketika melancarkan Maybank2u Biz secara maya, lapor BH Online pada 5 Oktober 2021/Selasa.
Maybank2u Biz direka untuk memenuhi keperluan pemilik perniagaan yang sentiasa sibuk, kerap dalam perjalanan dan menguruskan pelbagai tugas.
Menurut Maybank, ia sesuai untuk perniagaan jenis perkongsian, sendirian berhad, firma profesional, institusi pendidikan, kelab, pertubuhan dan persatuan.
Dengan antara muka yang ringkas, transaksi perbankan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana.
Proses pengesahan 'Maker-Checker' untuk transaksi juga dipermudahkan supaya pengesahan boleh dibuat di mana-mana saja tanpa menjejaskan ketelusannya.
Aplikasi Maybank2u Biz juga dilengkapi dengan fungsi invois yang membolehkan pemilik perniagaan mengeluar, menghantar dan menjejak invois.
Dengan menggunakan templat tersedia, invois boleh disesuaikan mengikut keperluan perniagaan dan dihantar kepada pelanggan melalui pelbagai saluran komunikasi seperti aplikasi e-mel dan mesej dalam peranti mudah alih mereka.
No comments:
Post a Comment