Monday, 14 February 2022

Maybank Perkenal Maybank Flexible Retirement Solution, Sasar Pulangan 6-8 Peratus Setahun


Sumber Foto : Business Today


PERBANKAN | Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia) memperkenalkan Maybank Flexible Retirement Solution, produk penyelesaian yang bermatlamat sebagai tambahan kepada perancangan persaraan individu.


BH ONLINE pada 15 FEBRUARI 2022/Selasa melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group dan MAM Malaysi berkata produk terbaharu itu membabitkan dua dana global patuh syariah iaitu Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I.


Najib Nazlan berkata, kelebihan ditawarkan MAM Malaysia adalah pelabur boleh memilih salah satu daripada dua dana aset campuran patuh syariah terbabit untuk persaraan mereka.


"Pandemik COVID-19 memberi kesan negatif kepada kewangan sebilangan besar isi rumah kerana mereka terpaksa mengeluarkan simpanan persaraan untuk berhadapan dengan krisis ekonomi.


"Justeru, Maybank Flexible Retirement Solution menyediakan penyelesaian persaraan fleksibel patuh syariah yang pertama di pasaran untuk menambah dan mempelbagaikan perancangan persaraan," katanya selepas pelancaran Maybank Flexible Retirement Solution secara maya.


Najib berkata, penyelesaian berkenaan turut membolehkan pelabur bersedia berhadapan dengan peningkatan inflasi, ketaktentuan pasaran dan jangka hayat yang lebih panjang.


"Situasi hari ini menunjukkan berlakunya kenaikan kos sara hidup dan inflasi. Lantaran itu, kita perlu menitikberatkan kepentingan menambah akaun persaraan individu sedia ada seawal mungkin bagi memastikan jaringan keselamatan yang selesa di masa hadapan.


"Memandangkan kehidupan sukar dijangka, perancangan persaraan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat anda, namun cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan," katanya.


Najib berkata, Maybank Flexible Retirement Solution adalah satu pelaburan unik, kerana pelabur daripada pelbagai segmen boleh memilih tahap risiko yang diinginkan, sama ada sederhana atau pertumbuhan.


Beliau berkata, pelabur juga diberi kebebasan untuk menetapkan perancangan persaraan yang memenuhi matlamat dan keperluan masing-masing.


Malah, katanya golongan muda bekerja boleh melabur dalam penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan mereka, pada setiap peringkat kehidupan.


"Maybank Flexible Retirement Solution memberikan kebebasan kepada pelabur untuk memilih dan menukar antara dua dana berbeza, serta berkongsi kelas untuk memenuhi perubahan gaya hidup dan keperluan persaraan.


"Matlamat dana ini ialah mencapai pertumbuhan modal menerusi jangka sederhana dan jangka panjang dengan sasaran pulangan sebanyak enam hingga lapan peratus setahun.


"Ia menggabungkan peruntukan aset dinamik dan pengurusan risiko ke bawah, bertujuan memastikan kestabilan untuk pelabur yang menyimpan untuk pelaburan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang," katanya.


Dana Maybank Global Wealth Moderate-I ditawarkan dalam dua kelas saham iaitu Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit dan Pengedaran Terlindung Nilai Ringgit, manakala Dana Maybank Global Wealth Growth-I ditawarkan dalam Kelas Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit.


Pelabur boleh membeli unit-unit Dana dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1,000 dan membuat pelaburan tambahan pada harga minimum RM100.

Thursday, 3 February 2022

Tidak Capai Sasaran, Mark Zuckerberg Hilang RM100 Bilion Dalam Sehari


   Foto: META


GLOBAL | Mark Zuckerberg kehilangan AS$24 bilion (RM100 bilion ) daripada kekayaan peribadinya, selepas perolehan suku keempat Meta Platforms Inc tidak menepati sasaran.


BLOOMBERG NEWS pada 3 Februari 2022 melaporkan ia menjadi kehilangan nilai kekayaan dalam masa sehari antara yang terbesar dalam sejarah.


Meta melaporkan tiada pertumbuhan bulanan pengguna Facebook pada suku keempat berbanding tempoh sebelumnya, sekali gus membangkitkan persoalan mengenai masa depan syarikat itu.


Saham Meta merudum kira-kira 20 peratus beberapa jam selepas dagangan pada Rabu.


Sekiranya kekal, ia akan meninggalkan Zuckerberg, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta dengan kekayaan bernilai AS$97 bilion (RM405 bilion), susut daripada AS$120.6 bilion (RM505 bilion) ketika pasaran ditutup, demikian menurut Bloomberg Billionaires Index.


Ia akan menolak keluarnya daripada senarai 10 bilionair paling kaya di dunia buat kali pertama sejak Julai 2015.


Penurunan kekayaan sebanyak RM100 bilion dalam masa sehari itu adalah antara yang terbesar dalam sejarah, hanya diatasi oleh turun naik nilai kekayaan Elon Musk.


Bilionair terkaya di dunia itu hilang AS$35 bilion (RM145 bilion) dalam masa sehari November lalu apabila saham Tesla Inc menjunam selepas undian pendapat di Twitter meminta pengguna mengundi sama ada beliau wajar menjual 10 peratus kepentingannya dalam syarikat itu.


Nilai kekayaan Musk turut merosot AS$25.8 bilion (RM108 bilion) minggu lalu.


Bagi Meta, laporan perolehan yang mengcewakan itu menambah lagi cabaran kepadanya.


Ia sedang berdepan beberapa dakwaan kawal selia dan mahu menjustifikasi peralihan strategiknya kepada dunia internet baharu yang dikenali sebagai metaverse.


Selain itu, platform lain seperti TikTok dan YouTube semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna lebih muda.


Bank Negara Pantau Rapi CIMB Isu Tangani Kesilapan Akaun Pelanggan

    Logo CIMB

PERBANKAN | CIMB Bank Bhd (CIMB) sedang dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan langkah diambil kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu untuk mendapatkan semula lebihan amaun dikreditkan kepada pelanggan mereka.


BH ONLINE pada 3 Februari 2022 melaporkan Bank Negara berkata, siasatan tentang insiden itu sedang dijalankan dan ia mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya, jika perlu.


Bank pusat itu menjelaskan, CIMB kini sedang dalam proses menghubungi setiap pelanggan terjejas bagi mengelakkan pelanggan mengalami sebarang gangguan untuk mengakses akaun.


Katanya CIMB dikehendaki memastikan proses mendapatkan semula amaun bukan milik pelanggan berkenaan tidak akan mengakibatkan beban kewangan luar jangka kepada pelanggan yang tidak sedar akan kesilapan pemprosesan itu.


"CIMB akan membincangkan pengaturan pemulihan dengan setiap pelanggan. Pelanggan terjejas yang telah menerima notis daripada CIMB mengenai insiden ini dinasihati supaya menghubungi CIMB bagi memastikan akaun mereka terus dapat diakses dengan lancar," katanya.


Kenyataan itu adalah dalam maklum balasnya kepada BH Online mengenai perkara berkaitan dengan kesilapan pemprosesan oleh CIMB..


Pada 1 Februari 2022/Isnin, CIMB menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.


CIMB berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.


"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya.


CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.


Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.


Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.


Dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB dibekukan sejak Isnin dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

Wednesday, 2 February 2022

China, Rusia Rancang Bina Stesen Penyelidikan Di Bulan, Dijangka Siap 2035

   Sumber Grafik: Youtube


GLOBAL | Pentadbiran Angka Lepas Negara China (CNSA) mengesahkan bahawa China bakal bekerjasama dengan Rusia untuk membina sebuah stesen penyelidikan di Bulan yang dijangka siap pada 2035.


Akhbar Daily Star pada 27 Januari 2022 melaporkan Pusat penyelidikan yang dinamakan Stesen Kajian Lunar Antarabangsa (ILRS) itu dilaporkan bakal menjadi saingan kepada stesen Lunar Gateway yang dirancang untuk dibina oleh  Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Ini kerana Lunar Gateway hanya mampu mengorbit Bulan, manakala ILRS akan mempunyai kedua-dua pengorbit dan pangkalan di permukaan Bulan serta beberapa buah kenderaan  penerokaan.


Timbalan Pengarah CNSA, Wu Yanhua dalam satu taklimat akhbar kelmarin berkata, China dan Rusia menyasarkan untuk menyiapkan pembinaan infrastruktur di ILRS menjelang 2035.


Kerja-kerja pembinaan pula dijangka bermula pada 2026, lapor agensi berita United Press International.


“Kami mengalu-alukan penyertaan yang meluas daripada rakan kerjasama antarabangsa yang lain,” kata Yanhua.


Beijing dan Moscow pada bulan Mac tahun lepas telah menandatangani memorandum persefahaman bagi melancarkan projek tersebut.


Dokumen itu turut menyebut bahawa stesen tersebut direka untuk melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dalam pelbagai bidang dan melibatkan pelbagai tujuan.


Kerjasama itu juga dilaporkan adalah sebahagian daripada pelan China untuk menghantar angkasawan pertamanya ke Bulan seawal tahun 2030. 

Monday, 31 January 2022

CIMB Perjelas Kesilapan Pemprosesan Hingga Jejas Akaun Bank Pengguna


CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.


Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu dalam kenyataan media pada 31 Januari 2022/Isnin berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.


"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya,


CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.


Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.


Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.


Sebelum ini, dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB dibekukan dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

Friday, 12 November 2021

'AirAsia X Mesti Bayar Balik Tiket Dibeli Pelanggan'

   Sumber Foto: AirAsia


Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkata ia dengan jelas dan tidak berbelah-bahagi menggesa AirAsia X Bhd (AAX) menilai semula cadangannya untuk menganggap pengguna perjalanan udara sebagai pemiutang dan hanya membayar 0.5 peratus daripada nilai tiket dibeli seperti diumumkan pada 18 Oktober 2021.


MAVCOM dalam kenyataan media pada 13 November 2021/Sabtu berkata, ia mengambil pandangan pengguna perjalanan udara tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai pemiutang.


Katanya ia kerana pengguna perjalanan udara tidak, antara lain, menjual sebarang produk, menyediakan perkhidmatan atau membuat pinjaman kepada AAX tetapi sebaliknya telah membayar wang bagi pembelian tiket sebagai pendahuluan untuk penerbangan mereka.


"Oleh itu, MAVCOM mengulangi pendiriannya bahawa AAX harus membayar balik pengguna perjalanan udara untuk tiket yang telah dibeli. 


"Jika AAX gagal membayar balik pengguna perjalanan udara yang terjejas dengan sewajarnya, MAVCOM tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasanya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771)," kata pengawal selia penerbangan awam itu.


Suruhanjaya penerbangan itu menekankan komitmennya untuk melaksanakan tugasnya di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia bagi memastikan hak pengguna perjalanan udara dilindungi.


Pada 11 November 2021, MAVCOM menghantar surat kepada AAX sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan penstrukturan semula hutangnya yang berterusan.


Menurut MAVCOM, AAX sudah berulang kali dalam surat-menyuratnya dengan MAVCOM dan dalam kenyataan mereka kepada orang ramai, memberi jaminan bahawa AAX komited untuk membayar balik pengguna perjalanan udara yang tidak dapat terbang kerana pembatalan penerbangan.


MAVCOM To Exercise Its Statutory Powers If AirAsia X Berhad Does Not Reimburse Air Travel Consumers for Tickets Purchased


MEDIA STATEMENT

To quote:

Spokesperson

Malaysian Aviation Commission (MAVCOM)

12 November 2021


MAVCOM To Exercise Its Statutory Powers If AirAsia X Berhad Does Not Reimburse Air Travel Consumers for Tickets Purchased


In line with the Malaysian Aviation Commission’s (“MAVCOM”) mandate to regulate economic and commercial matters relating to civil aviation in Malaysia and its commitment to protecting air travel consumer rights, MAVCOM, on 11 November 2021, had issued a letter to AirAsia X Berhad (“AAX”) in response to its ongoing debt restructuring exercise. This letter follows from MAVCOM’s various earlier correspondence with AAX. 


In this letter, MAVCOM has clearly and unequivocally urged AAX to reassess its proposal to treat air travel consumers as creditors and to pay only 0.5 per cent of the value of tickets purchased as announced on 18th October 2021. MAVCOM takes the view that air travel consumers ought not to be classified as “creditors” as the air travel consumers did not, inter alia, sell any products, provide services or make loans to AAX but instead have paid monies for the purchase of tickets in advance of their flights. Accordingly, MAVCOM reiterates its position that AAX should reimburse air travel consumers for the tickets purchased.


If AAX fails to reimburse the affected air travel consumers accordingly, MAVCOM will not hesitate to exercise its powers under the Malaysian Aviation Commission Act 2015 [“Act 771”].


AAX has repeatedly in its correspondence with MAVCOM and in their statements made to the public, given the assurance that AAX is committed to reimburse air travel consumers who were not able to fly due to flight cancellations. 


MAVCOM is committed to discharging its duties under Act 771 and the Malaysian Aviation Consumer Protection Code in ensuring that air travel consumer rights are safeguarded.



Thursday, 11 November 2021

BNM: Ekonomi Dijangka Kembang 5.5 hingga 6.5 Peratus pada 2022

   Grafik: Money Compass



Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun depan, berbanding unjuran setahun penuh 2021 pada kadar 3.0 peratus hingga 4.0 peratus.


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pertumbuhan ekonomi negara bagaimanapun dijangka bergantung kepada perkembangan COVID-19 di dalam negara dan global.


"Pembukaan semula aktiviti ekonomi dan langkah pembendungan penularan COVID-19 akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini dan 2022.


"Pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan peningkatan aktiviti pengeluaran serta kemajuan dalam projek infrastruktur juga dijangka memacu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," kata Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika mengumumkan pertumbuhan KDNK suku ketiga 2021 pada 12 November 2021/Jumaat.


Berikut adalah kenyataan media penuh Bank Negara:


Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Ketiga Tahun 2021


Ekonomi Malaysia menurun sebanyak 4.5% pada suku ketiga (S2 2021: +16.1%)


Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5% pada suku ketiga 2021 (S2 2021: +16.1%). Penguncupan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang ketat terutamanya pada bulan Julai, di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN)[1]. 


Kegiatan ekonomi kemudiannya meningkat apabila lebih banyak negeri beralih ke Fasa 2 dengan beberapa langkah pembendungan telah dilonggarkan[2]. 


Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan penguncupan. Sektor pembinaan mencatatkan penguncupan terbesar disebabkan oleh kapasiti operasi yang terhad. Dari segi perbelanjaan, permintaan dalam negeri terjejas dan menurun sebanyak 4.1% (S2 2021: +12.4%), disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta. 


Namun begitu, perbelanjaan penggunaan sektor awam yang terus meningkat telah memberikan sokongan kepada pertumbuhan. 


Gabenor Datuk Nor Shamsiah berkata “Pelonggaran langkah-langkah pembendungan secara berperingkat dan keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik akan menjadi faktor penting bagi menyokong pemulihan pada masa hadapan”. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan kemerosotan sebanyak 3.6% (S2 2021: -1.9%).


Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2% pada suku ketiga (S2 2021: 4.1%). Hal ini disebabkan terutamanya oleh luputnya kesan asas daripada harga bahan api dan pelaksanaan diskaun bil elektrik selama tiga bulan. Inflasi teras kekal pada 0.7% pada suku tersebut (S2 2021: 0.7%). 


Perkembangan kadar pertukaran


Ringgit menyusut nilai sebanyak 0.8% berbanding dengan dolar AS pada suku ketiga tahun 2021. Penyusutan ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS secara meluas berikutan penjelasan yang lebih terperinci daripada US Federal Reserve bahawa program pembelian asetnya akan mula dikurangkan menjelang akhir tahun 2021. 


Sejak 1 Oktober, ringgit telah menambah nilai sebanyak 0.9% (setakat 9 November) berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan trend mata wang serantau yang lain. Ringgit terus disokong oleh prospek dalam negeri yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi dan harga komoditi yang lebih tinggi.


Pada masa hadapan, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan dan pertukaran asing dijangka mengalami volatiliti yang berkala.


Keadaan pembiayaan


Pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.9% (S2 2021: 4.4%). Hal ini mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman terkumpul (2.9%; S2 2021: 3.6%) dan bon korporat terkumpul (6.5%; S2 2021: 6.9%). 


Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul menjadi sederhana (2.9%;S2 2021: 5.3%), berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi semua tujuan pinjaman. Walau bagaimanapun, permohonan dan pengeluaran pinjaman bertambah baik pada bulan September berikutan pelonggaran sekatan pergerakan. 


Bagi segmen perniagaan, pinjaman perniagaan terkumpul berkembang sebanyak 2.4% (S2 2021: 1.3%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi. 


Pengembangan ini juga didorong terutamanya oleh perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel, serta sektor perkilangan, sejajar dengan penyambungan kembali aktiviti perniagaan susulan pembukaan semula ekonomi.


Ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik berikutan kegiatan ekonomi kembali pulih


Bagi tahun 2021, ekonomi dalam negeri berada pada landasan untuk berkembang sebanyak 3.0% - 4.0%. Pertumbuhan akan disokong oleh kegiatan ekonomi yang bertambah baik memandangkan langkah-langkah pembendungan telah dilonggarkan secara berperingkat, di samping sokongan dasar yang berterusan. 


Pelbagai pelonggaran sekatan diberikan kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap, termasuk kebenaran untuk perjalanan rentas negeri yang turut merangsang aktiviti berkaitan dengan pelancongan. Di samping itu, permintaan global yang kukuh akan terus menyokong pertumbuhan eksport.


Menjelang tahun 2022, Gabenor Datuk Nor Shamsiah menjelaskan, “Trajektori pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik berikutan penyambungan semula kegiatan ekonomi, pasaran pekerja yang terus bertambah baik, sokongan dasar yang berterusan dan pengembangan dalam permintaan luaran. 


Kemajuan dan keberkesanan pemberian vaksin, pematuhan kepada Standard Operating Procedures (SOPs) serta keupayaan untuk membendung penularan wabak dengan berkesan daripada mana-mana varian baharu COVID-19 yang membimbangkan akan menjadi kunci penting kepada pemulihan yang dihasratkan.”


Sejak awal tahun hingga kini, purata inflasi keseluruhan ialah 2.3% dan diunjurkan dalam julat antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2021. 


Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0% pada tahun 2021. 


Pada tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana. Apabila kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja. 


Walau bagaimanapun, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.


[1] PPN, yang diumumkan pada 15 Jun 2021, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang pada mulanya diumumkan pada 28 Mei 2021. Terdapat empat fasa PPN, dengan Fasa 1 mengandungi langkah pembendungan yang paling ketat. 


[2] Pada akhir bulan September 2021, hanya Perlis, Sarawak, Terengganu dan Pahang berada dalam Fasa 3, manakala Labuan dan Negeri Sembilan berada dalam Fasa 4 PPN. Lembah Klang mula memasuki Fasa 2 pada 10 September 2021 dan kemudiannya ke Fasa 3 pada 1 Oktober 2021.


Bank Negara Malaysia

12 Nov 2021

Counter-Strike’ players are faster decision-makers, study shows

By : Mohd Ezli Mashut   Key Points - Research suggests that experienced Counter-Strike players make decisions faster, with a study showing t...