Tuesday, 15 February 2022

BMW Perkenal Varian Baharu X3, X4 Untuk Pasaran Malaysia


PERMOTORAN | BMW Group Malaysia memperkenalkan tiga varian baharu BMW X3 bersama satu varian terbaharu BMW X4 untuk pasaran Malaysia, kata BMW Malaysia dalam kenyataan media pada 16 Februari 2022/ Rabu.


BMW Malaysia menjelaskan varian BMW X3 sDrive20i M Sport, BMW X3 xDrive30i M Sport dan BMW X3 xDrive30e M Sport bersama BMW X4 xDrive30i M Sport buat julung kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia.


Katanya ia sekali gus memaksimumkan kemampuan kuasa dan elektrifikasi jentera Sports Activity Vehicle (SAV) bersaiz sederhana dari keluarga BMW X.


Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata portfolio BMW X membina reputasinya di seluruh dunia buat sekian lama dan khususnya di Malaysia dalam pengeluaran jentera SAV.


"Tahun lalu (2021), portfolio BMW X merekodkan lebih 3,200 penyerahan di Malaysia menyumbang kepada lebih 38 peratus daripada bilangan penyerahan yang dibuat oleh jenama BMW.


"BMW Group Malaysia teruja untuk memperkenalkan jentera BMW X3 berelektrik yang dipasang di dalam negara buat kali pertama, di samping menyediakan pelbagai opsyen rangkaian kuasa bagi mereka yang ingin merasai pengalaman pemanduan yang berbeza," kata  Hans de Visser.


Dinamakan sebagai dua model yang paling popular di dunia, varian baharu BMW X3 dan BMW X4 bakal menaikkan tanda aras dalam segmen SAV premium dengan reka bentuk sporty yang canggih, pelbagai ciri dan perwatakan pemanduan yang terkini.


Ia dilengkapi rangkaian kuasa tambahan untuk menterjemahkan pengalaman pemanduan sempurna yang dijanjikan oleh BMW dalam pelbagai segi.


BMW X3 baharu akan hadir dalam dua varian petrol iaitu sDrive20i dan xDrive30i, di samping varian berelektrik, xDrive30e.


BMW X3 sDrive20i dan BMW X3 xDrive30i baharu ialah enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kuasa kuda (hp) dan tork puncak 300 Nm bagi sDrive20i, dan 252 hp dengan tork bernilai 350 Nm bagi xDrive30i.


BMW X3 sDrive20i berupaya untuk membuat pecutan abad dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 kilometer sejam (km/j), manakala BMW X3 xDrive30i mampu memecut dari 0-100 kilometer (km) dalam masa 6.3 saat pada kelajuan tertinggi mencecah 240 km/j.


Harga jualan bagi varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu dengan pakej 'BMW Service and Repair Inclusive' tanpa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah RM358,800 (BMW X3 sDrive20i M Sport); RM358,800 (BMW X3 xDrive30i M Sport); RM356,800 (BMW X3 xDrive30e M Sport) dan RM398,800 (BMW X4 xDrive30i M Sport).


Unit Capital A Bina Kemudahan MRO Luas 380,000 Kaki Persegi Di KLIA Metropolis, Siap 2024


   Sumber Foto: Asia Digital Engineering


PENERBANGAN | Anak syarikat kejuruteraan Capital A, Asia Digital Engineering (ADE) bakal membangunkan fasiliti hab penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bersepadu berkeluasan 380,000 kaki persegi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Kemudahan itu terletak di atas 8.19 hektar tanah yang berada di dalam Zon Sokongan Aeronautik 1 KLIA (ASZ 1) di bawah pembangunan KLIA Aeropolis Malaysia Airports.


Pembangunan bakal dimulakan pada pertengahan 2022 dan dijangka selesai tempoh dua tahun tahun.


Ketua Pegawai Eksekutif ADE dalam kenyataan media pada 15 Februari 2022 berkata fasiliti berkenaan dapat menyediakan perkhidmatan MRO berat sehingga 14 pesawat komersial pada bila-bila masa, termasuk bengkel komponen yang berdedikasi dan Pusat Pembangunan Produk Digital, menjadikan ADE sebagai penyedia MRO terbesar di Malaysia serta antara yang terulung di rantau ini.


"Fasiliti baharu ini akan mampu menangani pesawat berbadan sempit dan lebar dan kami berminat untuk mengembangkan keupayaan di luar jenis pesawat biasa," kata  Mahesh Kumar.


Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd berkata antara matlamat pembangunan KLIA Aeropolis adalah bagi merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa serta kargo serantau.


"Untuk tujuan ini, ASZ 1 KLIA adalah kawasan yang ditetapkan untuk memberi tumpuan kepada menyokong aktiviti aeronautik yang kritikal termasuk operasi syarikat penerbangan dan pengendali kargo.


"Kehadiran ADE di ASZ 1 akan mempelbagaikan keupayaan dan kepakaran yang terdapat di KLIA. Penciptaan pekerjaan peringkat tinggi seperti jurutera dan kakitangan teknikal juga akan menyumbang ke arah merangsang ekonomi negara," kata Datuk Iskandar Mizal Mahmood.


Monday, 14 February 2022

Maybank Perkenal Maybank Flexible Retirement Solution, Sasar Pulangan 6-8 Peratus Setahun


Sumber Foto : Business Today


PERBANKAN | Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia) memperkenalkan Maybank Flexible Retirement Solution, produk penyelesaian yang bermatlamat sebagai tambahan kepada perancangan persaraan individu.


BH ONLINE pada 15 FEBRUARI 2022/Selasa melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group dan MAM Malaysi berkata produk terbaharu itu membabitkan dua dana global patuh syariah iaitu Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I.


Najib Nazlan berkata, kelebihan ditawarkan MAM Malaysia adalah pelabur boleh memilih salah satu daripada dua dana aset campuran patuh syariah terbabit untuk persaraan mereka.


"Pandemik COVID-19 memberi kesan negatif kepada kewangan sebilangan besar isi rumah kerana mereka terpaksa mengeluarkan simpanan persaraan untuk berhadapan dengan krisis ekonomi.


"Justeru, Maybank Flexible Retirement Solution menyediakan penyelesaian persaraan fleksibel patuh syariah yang pertama di pasaran untuk menambah dan mempelbagaikan perancangan persaraan," katanya selepas pelancaran Maybank Flexible Retirement Solution secara maya.


Najib berkata, penyelesaian berkenaan turut membolehkan pelabur bersedia berhadapan dengan peningkatan inflasi, ketaktentuan pasaran dan jangka hayat yang lebih panjang.


"Situasi hari ini menunjukkan berlakunya kenaikan kos sara hidup dan inflasi. Lantaran itu, kita perlu menitikberatkan kepentingan menambah akaun persaraan individu sedia ada seawal mungkin bagi memastikan jaringan keselamatan yang selesa di masa hadapan.


"Memandangkan kehidupan sukar dijangka, perancangan persaraan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat anda, namun cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan," katanya.


Najib berkata, Maybank Flexible Retirement Solution adalah satu pelaburan unik, kerana pelabur daripada pelbagai segmen boleh memilih tahap risiko yang diinginkan, sama ada sederhana atau pertumbuhan.


Beliau berkata, pelabur juga diberi kebebasan untuk menetapkan perancangan persaraan yang memenuhi matlamat dan keperluan masing-masing.


Malah, katanya golongan muda bekerja boleh melabur dalam penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan mereka, pada setiap peringkat kehidupan.


"Maybank Flexible Retirement Solution memberikan kebebasan kepada pelabur untuk memilih dan menukar antara dua dana berbeza, serta berkongsi kelas untuk memenuhi perubahan gaya hidup dan keperluan persaraan.


"Matlamat dana ini ialah mencapai pertumbuhan modal menerusi jangka sederhana dan jangka panjang dengan sasaran pulangan sebanyak enam hingga lapan peratus setahun.


"Ia menggabungkan peruntukan aset dinamik dan pengurusan risiko ke bawah, bertujuan memastikan kestabilan untuk pelabur yang menyimpan untuk pelaburan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang," katanya.


Dana Maybank Global Wealth Moderate-I ditawarkan dalam dua kelas saham iaitu Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit dan Pengedaran Terlindung Nilai Ringgit, manakala Dana Maybank Global Wealth Growth-I ditawarkan dalam Kelas Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit.


Pelabur boleh membeli unit-unit Dana dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1,000 dan membuat pelaburan tambahan pada harga minimum RM100.

Thursday, 3 February 2022

Tidak Capai Sasaran, Mark Zuckerberg Hilang RM100 Bilion Dalam Sehari


   Foto: META


GLOBAL | Mark Zuckerberg kehilangan AS$24 bilion (RM100 bilion ) daripada kekayaan peribadinya, selepas perolehan suku keempat Meta Platforms Inc tidak menepati sasaran.


BLOOMBERG NEWS pada 3 Februari 2022 melaporkan ia menjadi kehilangan nilai kekayaan dalam masa sehari antara yang terbesar dalam sejarah.


Meta melaporkan tiada pertumbuhan bulanan pengguna Facebook pada suku keempat berbanding tempoh sebelumnya, sekali gus membangkitkan persoalan mengenai masa depan syarikat itu.


Saham Meta merudum kira-kira 20 peratus beberapa jam selepas dagangan pada Rabu.


Sekiranya kekal, ia akan meninggalkan Zuckerberg, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta dengan kekayaan bernilai AS$97 bilion (RM405 bilion), susut daripada AS$120.6 bilion (RM505 bilion) ketika pasaran ditutup, demikian menurut Bloomberg Billionaires Index.


Ia akan menolak keluarnya daripada senarai 10 bilionair paling kaya di dunia buat kali pertama sejak Julai 2015.


Penurunan kekayaan sebanyak RM100 bilion dalam masa sehari itu adalah antara yang terbesar dalam sejarah, hanya diatasi oleh turun naik nilai kekayaan Elon Musk.


Bilionair terkaya di dunia itu hilang AS$35 bilion (RM145 bilion) dalam masa sehari November lalu apabila saham Tesla Inc menjunam selepas undian pendapat di Twitter meminta pengguna mengundi sama ada beliau wajar menjual 10 peratus kepentingannya dalam syarikat itu.


Nilai kekayaan Musk turut merosot AS$25.8 bilion (RM108 bilion) minggu lalu.


Bagi Meta, laporan perolehan yang mengcewakan itu menambah lagi cabaran kepadanya.


Ia sedang berdepan beberapa dakwaan kawal selia dan mahu menjustifikasi peralihan strategiknya kepada dunia internet baharu yang dikenali sebagai metaverse.


Selain itu, platform lain seperti TikTok dan YouTube semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna lebih muda.


Bank Negara Pantau Rapi CIMB Isu Tangani Kesilapan Akaun Pelanggan

    Logo CIMB

PERBANKAN | CIMB Bank Bhd (CIMB) sedang dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan langkah diambil kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu untuk mendapatkan semula lebihan amaun dikreditkan kepada pelanggan mereka.


BH ONLINE pada 3 Februari 2022 melaporkan Bank Negara berkata, siasatan tentang insiden itu sedang dijalankan dan ia mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya, jika perlu.


Bank pusat itu menjelaskan, CIMB kini sedang dalam proses menghubungi setiap pelanggan terjejas bagi mengelakkan pelanggan mengalami sebarang gangguan untuk mengakses akaun.


Katanya CIMB dikehendaki memastikan proses mendapatkan semula amaun bukan milik pelanggan berkenaan tidak akan mengakibatkan beban kewangan luar jangka kepada pelanggan yang tidak sedar akan kesilapan pemprosesan itu.


"CIMB akan membincangkan pengaturan pemulihan dengan setiap pelanggan. Pelanggan terjejas yang telah menerima notis daripada CIMB mengenai insiden ini dinasihati supaya menghubungi CIMB bagi memastikan akaun mereka terus dapat diakses dengan lancar," katanya.


Kenyataan itu adalah dalam maklum balasnya kepada BH Online mengenai perkara berkaitan dengan kesilapan pemprosesan oleh CIMB..


Pada 1 Februari 2022/Isnin, CIMB menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.


CIMB berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.


"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya.


CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.


Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.


Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.


Dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB dibekukan sejak Isnin dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

Wednesday, 2 February 2022

China, Rusia Rancang Bina Stesen Penyelidikan Di Bulan, Dijangka Siap 2035

   Sumber Grafik: Youtube


GLOBAL | Pentadbiran Angka Lepas Negara China (CNSA) mengesahkan bahawa China bakal bekerjasama dengan Rusia untuk membina sebuah stesen penyelidikan di Bulan yang dijangka siap pada 2035.


Akhbar Daily Star pada 27 Januari 2022 melaporkan Pusat penyelidikan yang dinamakan Stesen Kajian Lunar Antarabangsa (ILRS) itu dilaporkan bakal menjadi saingan kepada stesen Lunar Gateway yang dirancang untuk dibina oleh  Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Ini kerana Lunar Gateway hanya mampu mengorbit Bulan, manakala ILRS akan mempunyai kedua-dua pengorbit dan pangkalan di permukaan Bulan serta beberapa buah kenderaan  penerokaan.


Timbalan Pengarah CNSA, Wu Yanhua dalam satu taklimat akhbar kelmarin berkata, China dan Rusia menyasarkan untuk menyiapkan pembinaan infrastruktur di ILRS menjelang 2035.


Kerja-kerja pembinaan pula dijangka bermula pada 2026, lapor agensi berita United Press International.


“Kami mengalu-alukan penyertaan yang meluas daripada rakan kerjasama antarabangsa yang lain,” kata Yanhua.


Beijing dan Moscow pada bulan Mac tahun lepas telah menandatangani memorandum persefahaman bagi melancarkan projek tersebut.


Dokumen itu turut menyebut bahawa stesen tersebut direka untuk melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dalam pelbagai bidang dan melibatkan pelbagai tujuan.


Kerjasama itu juga dilaporkan adalah sebahagian daripada pelan China untuk menghantar angkasawan pertamanya ke Bulan seawal tahun 2030. 

Monday, 31 January 2022

CIMB Perjelas Kesilapan Pemprosesan Hingga Jejas Akaun Bank Pengguna


CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.


Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu dalam kenyataan media pada 31 Januari 2022/Isnin berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.


"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya,


CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.


Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.


Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.


Sebelum ini, dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB dibekukan dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

Counter-Strike’ players are faster decision-makers, study shows

By : Mohd Ezli Mashut   Key Points - Research suggests that experienced Counter-Strike players make decisions faster, with a study showing t...