Tuesday, 10 January 2023

BMW Jenama Automotif Premium Nombor Satu Di Malaysia

   Sumber Foto : facebook BMW Malaysia


AUTOMOTIF | BMW Group Malaysia mengatasi prestasi perniagaannya sebelum pandemik dengan mencatat penyerahan 14,400 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2022.


Lebih membanggakan, 70 peratus daripadanya dipasang di dalam negara, lantas sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen premium di Malaysia.


Lebih 31 peratus daripada penyerahan jentera BMW dan MINI pada 2022 adalah jenis kenderaan elektrik, membawa jumlah kenderaan elektrik BMW Group Malaysia yang menyusuri jalan raya setakat ini kepada lebih 25,000 unit.


Dengan pertumbuhan lebih 37 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu, jenama BMW berjaya menyerahkan lebih 11,800 unit kenderaan, manakala MINI merekodkan pertumbuhan lebih 25 peratus dengan penyerahan melebihi 1,300 unit kenderaan.


Sementara itu, BMW Motorrad berjaya menyerahkan lebih 1,300 buah motosikal, merekodkan pertumbuhan berkadar lebih 20 peratus.


Ia bersamaan dengan peningkatan berkadar lebih 34 peratus dalam jumlah penyerahan yang merentasi seluruh portfolio BMW Group dari tahun sebelumnya.


Dalam kenyataan media pada 10 januari 2023 Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata pencapaian kumpulan itu pada tahun 2022 amat memberangsangkan kerana berjaya mencatat prestasi yang jauh lebih cemerlang berbanding tempoh sebelum dan selepas pandemik.


"Dengan berdepan kemelesetan ekonomi seluruh dunia pada tahun 2020 dan kekurangan bekalan cip pada tahun 2021, 2022 muncul sebagai tahun yang menyaksikan BMW Group Malaysia bangkit semula dan terus melakar pertumbuhan.


"Kami tujukan kejayaan ini kepada pelanggan, wakil pengedar dan rakan sekutu BMW Group Malaysia. Tanpa sokongan, dedikasi dan semangat mereka ke atas jenama ini, kami pastinya tidak dapat mengekalkan kedudukan pertama dalam segmen automotif premium Malaysia untuk tahun yang ketiga secara berturut-turut," kata  Hans de Visser


Jelasnya, sempena meraikan ulang tahun BMW Group Malaysia ke-20 pada tahun 2023, pihaknya ingin mengingati cita-cita dan strategi mereka untuk sektor automotif negara yang membolehkan kumpulan berdiri di sini pada hari ini.


"Bukan sahaja untuk menjadi pengeluar kenderaan yang terkemuka dalam segmen premium, tapi juga sebagai peneraju pasaran dengan asas yang kukuh untuk kenderaan berelektrik di dalam negara.


"Kami menyaksikan sambutan ke atas kenderaan elektrik (EV) melonjak naik pada tahun lalu, terutamanya selepas BMW i4, BMW iX dan BMW iX3 diperkenalkan pada bulan Januari, di samping jentera berelektrik BMW X3 xDrive30e M Sport yang dipasang di dalam negara.


"Hari ini, kita dapat melihat lebih 25,000 EV BMW dan MINI dengan bangganya menjelajah jalan raya Malaysia dan kami yakin angka ini akan terus berkembang secara signifikan pada tahun yang akan datang," katanya.


BMW Group Financial Services Malaysia turut meraikan kejayaan, membiayi lebih 5,000 buah jentera BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2022, bersamaan dengan lebih 35 peratus kenderaan yang diserahkan pada tahun lalu.


Malah, lebih 2,800 kontrak juga dibiayai secara digital pada tahun lalu.


Program pembiayaan BMW Easy Drive pula menyaksikan pertumbuhan berkadar 100 peratus dengan menggandakan kontrak yang ia berjaya tandatangani.

Monday, 26 December 2022

MYNEWS Bakal Buka 80 Cawangan Baharu 2023 Babit Modal RM50 Juta

   Logo : MyNews


BISNES | Mynews Holdings Bhd (MYNEWS) dijangka bakal membuka 80 cawangan baharu pada tahun kewangan 2023, membabitkan perbelanjaan modal kira-kira RM50 juta.


Penganalisis Kenanga Research berkata bilangan kedai baharu yang akan dibuka itu adalah 60 peratus lebih tinggi daripada jangkaan pihaknya, membabitkan jumlah yang seimbang di antara cawangan MYNEWS dan CU.


"Kami mengadakan libat urus dengan syarikat itu baru-baru ini yang mana ia berasa yakin dengan prospeknya.


"Antara perkara utama di dalam libat urus itu ialah syarikat mengulangi panduannya untuk mencatatkan keuntungan pada tahun kewangan disokong oleh penggunaan pusat pemprosesan makanan (FPC) yang lebih tinggi selain mengehadkan lebihan makanan segar.



"Ia juga yakin bahawa penggunaan di FPC akan meningkat kepada 80 hingga 90 peratus (daripada kira-kira 60 peratus pada masa ini) disokong oleh ketersediaan pekerja asing dan produk makanan segarnya yang semakin popular," kata Tan Jia Hui dalam satu nota penyelidikan pada 27 Disember 2022.


Jia Hui menambah, MYNEWS turut yakin bahawa lebihan makanan segarnya akan dihadkan pada 1,520 peratus (yang sudah dicapai sejak suku keempat tahun kewangan 2022 yang selaras dengan purata industri.


Beliau berkata, ia jauh lebih baik berbanding 40 peratus semasa suku pertama hingga suku ketiga tahun kewangan 2022) di sebalik pengenalan makanan sedia untuk dimakan (RTE) baharu.


"Ini akan tercapai melalui kawalan inventori yang lebih baik menggunakan unjuran jualan berdasarkan sejarah data jualan harian setiap kedai," katanya.


Tambahnya, Kenanga Research mengekalkan jangkaan tambahan pembukaan sebanyak 50 kedai baharu MYNEWS pada tahun kewangan 2024.


"Kami juga mengekalkan andaian pertumbuhan jualan kedai yang sama sebanyak 12 peratus pada tahun kewangan 2023 (didorong sebahagian besarnya oleh kesan setahun penuh pembukaan semula ekonomi) dan kembali normal lima peratus untuk tahun kewangan 2024.


"Kami menyukai MYNEWS kerana pertama, pasaran kedai serbaneka adalah masih kurang ditembusi di Malaysia dengan kira-kira 111 kedai serbaneka bagi setiap juta penduduk pada masa ini berdasarkan anggaran kami, berbanding Thailand, Jepun dan Australia masing-masing pada 291, 445 dan 268.


"Ia sudah kembali ke laluan pertumbuhan dari segi pengembangan cawangan selepas pandemik dan pemulihan di FPC, dan pembezaannya daripada pesaing melalui produk Korea," katanya.

Monday, 7 November 2022

Bank-Bank Mula Naikkan Kadar Faedah Sejajar OPR



PERBANKAN | Berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, bank-bank dalam negara mula mengumumkan peningkatan kadar pinjaman masing-masing, lapor UTUSAN pada 7 November 2022.


Kadar Asas Standard (SBR) untuk Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank akan berada pada 2.75 peratus manakala Kadar Asas Bank (BR) dan Kadar Asas Islam (IBR) di­semak kepada 3.63 peratus daripada 3.38 peratus.


“Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Islamik (IFR) akan disemak kepada 6.64 peratus daripada 6.39 peratus.


“Perubahan ini berkuat kuasa mulai 8 November 2022. Pela­rasan dalam kadar adalah selaras dengan perubahan OPR terkini,” menurut Hong Leong Bank dalam kenyataan media.


RHB Bank pula meningkatkan SBR daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus, BR daripada 3.25 peratus kepada 3.50 peratus setahun, manakala BLR/BFR daripada 6.20 peratus kepada 6.45 peratus setahun bermula 7 November 2022.


Sementara itu, CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad akan melaksanakan 25 mata asas yang sepadan pe­ningkatan dalam SBR, BR dan Deposit Tetap / Kadar Papan Akaun-i Pulangan Pendapatan Tetap.


“Begitu juga semua kemudahan pembiayaan berdasarkan BLR dan BFR akan dinaikkan sebanyak 0.25 peratus. Semua perubahan kadar berkuat kuasa pada 8 November 2022,” katanya.


OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Berhad juga akan meningkatkan SBR, BR dan BLR/BFR bank sebanyak 0.25 peratus berkuat kuasa 9 November 2022.


“Semua kadar niaga deposit tetap konvensional dan kadar deposit bertempoh Islam juga akan ditingkatkan sebanyak 0.25 peratus pada hari yang sama.


“Dengan kenaikan di atas, SBR OCBC Malaysia dinaikkan daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus, BR daripada 3.33 peratus kepada 3.58 peratus, dan BLR/BFR daripada 6.26 peratus kepada 6.51 peratus,” ujarnya.


Dalam pada itu, Bank Muamalat turut mengumumkan SBR, BR dan BFR akan disemak sebanyak 25 mata asas daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus, BR daripada 3.31 peratus kepada 3.56 peratus dan BFR daripada 6.31 peratus kepada 6.56 peratus berkuat kuasa 8 November 2022.


“Ini akan menjejaskan semua pakej pembiayaan kadar terapung yang disandarkan kepada SBR, BR dan BFR.


“Selaras dengan peningkatan dalam SBR, BR dan BFR, kadar deposit FTA-i Bank Muamalat juga akan disemak dengan sewajarnya,” katanya. 

Sunday, 6 November 2022

MYAirline Dijadual Mula Operasi Pada Nov 2022


   

   Sumber : Facebook MyAirline


PENERBANGAN | Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) kekal positif ke atas sektor penerbangan Malaysia apabila syarikat penerbangan tambang rendah baharu, MYAirline dijadual memulakan operasinya bulan November 2022.


Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya berkata, MYAirline dijangka memberi impak positif yang sederhana kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan memberi sedikit kesan negatif kepada Capital A Bhd.


"Walaupun kami percaya bahawa sejarah kembali berulang dengan syarikat penerbangan baharu, MYAirline, Maybank IB berpendapat wujud beberapa perbezaan yang sangat penting pada tahun 2013 apabila sebuah lagi syarikat penerbangan Malaysia, Malindo memulakan operasi sulungnya pada tahun berkenaan.


"Pertumbuhan kapasiti industri pada masa hadapan akan menjadi lebih sederhana kali ini walaupun dengan kemasukan MYAirline dalam sektor penerbangan Malaysia.


"Oleh itu, kesan positif/negatif terhadap MAHB dan Capital A sepatutnya lebih sederhana pada masa ini juga," kata Maybank IB.

   Sumber Foto : Facebook MyAirline


Sebelum ini, apabila Malindo memulakan operasinya, trafik penumpang MAHB Malaysia melonjak 18 peratus tahun ke tahun manakala bagi Capital A, tambang purata AirAsia Malaysia turun 10 peratus tahun ke tahun pada 2013.


Dalam pada itu, ia berkata trafik MAHB melonjak bukan sahaja disebabkan oleh kemasukan Malindo sendiri tetapi ia turut dipacu oleh syarikat penerbangan Malaysia lain yang menerima pesawat baharu, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memberi impak positif kepada trafik penumpang.


Malaysia Airlines menyertai pakatan syarikat penerbangan global, oneworld pada tahun berkenaan, menggalakkan ahli oneworld syarikat penerbangan lain untuk kerap melakukan penerbangan ke Malaysia, kata Maybank IB.


"Hari ini, tiada syarikat penerbangan Malaysia selain Batik Air Malaysia bercadang untuk menambah saiz armada. Menjadi perbualan ketika ini adalah mengenai 20 pesawat Airbus A330 yang akan diambil oleh Malaysia Airlines adalah untuk menggantikan bukan mengembangkan pesawat Airbus A330 sedia ada.


"Tambahan pula, AirAsia Malaysia bercadang untuk memindahkan 10 hingga 11 pesawat ke Indonesia AirAsia untuk memanfaatkan persekitaran tambang tinggi di sana.


"Justeru, peningkatan trafik penumpang kepada MAHB menerusi kemasukan MYAirline mungkin akan lebih sederhana kali ini," kata Maybank IB.


Memandangkan syarikat penerbangan Malaysia tidak akan menambah kapasiti dalam tempoh terdekat, ditambah pula dengan rancangan MYAirline untuk tidak bersaing dengan syarikat penerbangan lain, ia menganggap sektor penerbangan Malaysia tidak akan berada pada paras sebelum pandemik apabila lebihan kapasiti mendorong syarikat penerbangan tempatan untuk bersaing sehingga menyebabkan tiada syarikat penerbangan tempatan mencatat keuntungan pada 2019.


Sehubungan itu, firma penyelidikan menjangkakan penurunan tambang MAA berikutan kemasukan MYAirline menjadi lebih sederhana kali ini.


Ketika berita ini ditulis, armada MYAirline terdiri daripada empat Airbus A320 yang dipajak daripada beberapa pemajak.


"MYAirline menyasarkan untuk memajak lebih 50 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang. Buat masa ini, ia tidak bercadang untuk memajak Boeing B737 MAX atau Airbus A330. Syarikat penerbangan baharu itu mahu menggunakan hanya satu jenis pesawat (Airbus A320) dan satu konfigurasi (180 kerusi).


"Mengenai kos, berdasarkan perbualan kami dengan beberapa sumber daripada industri pajakan pesawat memberitahu bahawa MYAirline mampu bersaing dengan Capital A untuk gelaran syarikat penerbangan tambang murah menawarkan tambang terendah di peringkat antarabangsa. Mereka juga mendedahkan bahawa MYAirline memperoleh kadar pajakan pesawat yang rendah," katanya.


Maybank IB telah mengulangi saranan 'beli' ke atas MAHB dan Capital A dengan harga sasaran masing-masing sebanyak RM7.16 dan 84 sen.


Pada 11 pagi, saham MAHB naik satu sen kepada RM5.96 dengan 22,400 saham diniagakan manakala Capital A turun setengah sen kepada 59.5 sen dengan 787,300 saham didagangkan.


Sumber Berita Asal : BERNAMA/ 7 November 2022

Friday, 21 October 2022

Kajian Ramal Bank Negara Bakal Umum Satu Lagi Kenaikan OPR


   Bank Negara Malaysia


KEWANGAN | Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi pada November 2022 berikutan Indeks Harga Pengguna (IHP) teras yang kukuh dicatatkan pada September, menurut MIDF Research.


Firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik terus mengukuh apabila kadar inflasi teras kembali mencecah paras tertinggi baharu pada 4.0 peratus tahun ke tahun pada September 2022 manakala harga teras masih meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan.


Bagaimanapun, inflasi keseluruhan merosot kepada 4.5 peratus tahun ke tahun manakala inflasi bukan makanan dan inflasi makanan, masing-masing susut kepada 3.3 peratus dan 6.8 peratus.


MIDF Research menjangka tekanan inflasi di Malaysia sederhana selepas Ogos 2022, terutamanya dengan pembetulan untuk harga komoditi global dan tekanan rantaian bekalan yang berkurangan di peringkat domestik dan serantau, lapor BERNAMA pada 21 Oktober 2022.


Ia menaikkan sedikit unjuran IHP keseluruhannya kepada 3.0 peratus untuk 2022.


"Dalam persekitaran harga komoditi global yang meningkat, tekanan inflasi di Malaysia terjejas oleh inflasi makanan yang tinggi.



"Kami menjangka harga makanan akan meningkat 5.5 peratus pada tahun ini, antara lain berikutan penyusutan ringgit berbanding dolar AS," katanya.


Menjelang 2023, MIDF Research berkata, faktor pendorong bekalan terhadap inflasi dijangka berkurangan, disokong oleh kenaikan ringgit berbanding dolar AS, harga makanan yang sederhana, kelonggaran dalam rantaian bekalan global dan harga komoditi yang rendah.


Bagaimanapun, prospek inflasi Malaysia kekal suram pada tahun depan, menantikan pendekatan kerajaan baharu mengenai mekanisme subsidi bahan api selepas pilihan raya umum (PRU).


"Jika kerajaan baharu mengekalkan 'status quo' berhubung subsidi bahan api, inflasi keseluruhan akan berada antara 2.3 peratus dan 2.5 peratus pada 2023.


"Jika mekanisme subsidi dimansuhkan sepenuhnya, inflasi keseluruhan boleh mencecah 10 peratus manakala harga bahan api runcit domestik akan menyaksikan kenaikan empat hingga 5 peratus pada tahun depan," katanya.


Tuesday, 11 October 2022

Harga Minyak Sawit Jatuh Hampir 50 Peratus Sejak April - Kajian Public Invest

Sumber Foto : Portal Berita RTM


KOMODITI | Harga minyak sawit mentah (MSM) menjunam kira-kira 47.5 peratus sejak mencecah paras kemuncak RM7,104 satu tan pada April 2022, kata Penganalisis Public Invest Research.


Dalam nota penyeldikan Chong Hoe Leong, berkata kenaikan inventori sawit berkemungkinan  memberikan tekanan selanjutnya kepada penurunan harga MSM dalam beberapa bulan akan datang dengan pengeluaran dijangka memuncak dalam tempoh dua bulan lagi.


Beliau berkata, inventori minyak sawit Malaysia meningkat kepada setinggi 2.31 juta tan pada September, 10.5 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya dan naik sebanyak 31.8 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, berikutan peningkatan pengeluaran serta penggunaan domestik yang lebih lemah.


"Pada masa ini, niaga hadapan MSM jatuh sebanyak RM145 satu tan kepada RM3,692 satu tan. Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan," katanya.


Hoe Leong berkata, inventori sawit yang lebih tinggi daripada jangkaan itu juga adalah paras tertinggi sejak Oktober 2019, menjadikan kenaikan bulan keempat berturut-turut.


"Nisbah stok berbanding penggunaan meningkat daripada 11.1 peratus kepada 11.5 peratus," katanya.


Sementara itu, eksport minyak sawit pada September meningkat 9.3 peratus kepada 1.42 juta tan, disokong oleh kenaikan 109 peratus eksport ke China dan 57.1 peratus ke Amerika Syarikat (AS).


Bagaimanapun, berikutan persaingan lebih sengit daripada Indonesia, eksport lebih lemah dicatatkan bagi Kesatuan Eropah atau EU (-36 peratus), India (-21 peratus) dan Pakistan (-39 peratus).


Pengeluaran minyak sawit pula mencatatkan tahap tertinggi sejak September 2020 pada 1.76 juta tan, disumbangkan oleh kenaikan di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur masing-masing sebanyak 0.8 peratus dan 4.5 peratus.


Di Indonesia, stok sawit pada Ogos jatuh kepada 4.04 juta tan, berbanding 5.91 juta tan pada Julai.


Manakala, output sawit meningkat 13.2 peratus kepada 4.31 juta tan berbanding bulan sebelumnya, manakala eksport melonjak 60 peratus kepada 4.33 juta tan, diperkukuh oleh penghantaran ke India, China serta EU susulan lanjutan pengecualian levi eksport sehingga Oktober.


Bagaimanapun, penggunaan domestik di negara itu susut 2.1 peratus kepada 1.84 juta tan.


Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei, pula berkata stok sawit berkemungkinan kekal tinggi pada bulan ini.


Beliau berkata, walaupun harga sawit yang rendah menggalakkan penggunaan komoditi itu, ia berkemungkinan akan diimbangi oleh langkah berterusan kerajaan Indonesia untuk mengurangkan beban inventori di negara itu.


"Kami sedang menyemak anggaran harga MSM bagi 2022/2023/2024 pada RM5,500/RM4,500/RM3,800 satu tan, berikutan prospek bekalan yang meningkat, permintaan tidak menentu, selain langkah berterusan Indonesia untuk menghabiskan inventori sawit," katanya dalam satu nota penyelidikan.


HLIB Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan, disokong oleh penilaiannya yang memberangsangkan.


Sementara itu, CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) menjangkakan stok minyak sawit dalam negara ini meningkat 8.2 peratus secara bulanan kepada 2.5 juta tan menjelang akhir Oktober berikutan pengeluaran yang lebih tinggi mengatasi eksport yang lebih tinggi.


Cabang penyelidikan CGS-CIMB Securities itu menjelaskan pihaknya juga yakin harga minyak sawit mentah (MSM) boleh didagangkan dalam julat RM3,500 hingga RM4,500 satu tan pada Oktober 2022.


"Harga MSM dijangka kekal rendah pada Oktober berikutan persaingan daripada eksport minyak sawit Indonesia yang lebih tinggi.


"Bagaimanapun, penurunan harga MSM akan dihadkan oleh diskaun menariknya berbanding minyak makan pesaing," menurutnya dalam satu nota penyelidikan.


Sumber Berita Asal : BH Online/ 12 Oktober 2022

Tuesday, 4 October 2022

Proton Rekod Atasi Jualan 100,000 Unit Kereta Sekali Lagi

   Sumber Grafik : Proton Cars


AUTOMOTIF | Pengeluar kereta nasional PROTON mengakhiri suku ketiga tahun 2022 dengan bulan jualan kukuh 14,872 unit pada September 2022, sekali gus menyumbang kepada prestasi suku tahunan terbaik tahun 2022 dan membantunya mencapai sasaran 100,000 unit buat tahun keempat berturut-turut.


Jumlah jualan terkumpul PROTON setakat tahun 2022 adalah 102,353 unit, 40.2 peratus lebih tinggi berbanding sembilan bulan pertama 2021, membolehkannya mengatasi jualan 100,000 unit dua bulan lebih awal berbanding tahun 2022.


Berbanding pesaing, PROTON kekal di tempat kedua dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8 peratus untuk bulan September 2022.


Hasilnya, angka pegangan pasaran telah melebihi 20 peratus buat kali pertama tahun 2022 apabila kini berada pada 20.1 peratus.



Jumlah jualan industri (TIV) bagi September 2022 dianggarkan menyusut kepada kira-kira 62,500 unit, angka keempat terbaik tahun 2022 di mana pasaran automotif Malaysia dijangka akan mencatat tahun jualan terbaik.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dalam kenytaan media pada 5 Oktober 2022 berkata prestasi suku ketiga syarikat itu adalah suku terbaik bagi tahun 2022, dengan 42,229 unit untuk tiga bulan dari Julai ke Ogos 2022.


  Sumber Foto : Proton Cars


"Pencapaian ini adalah hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan model kami, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50. Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua angka bagi tahun keempat berturut-turut.


"Selain memberi tumpuan pada pertumbuhan jualan, suku terakhir juga menyaksikan kami membina asas untuk pertumbuhan masa depan.


"Perjanjian Pengedaran Am dengan smart menetapkan kami untuk menjual kenderaan elektrik (EV) daripada jenama itu bermula pada 2023, manakala pembentukan PRO-NET membuktikan komitmen PROTON untuk membangunkan dan menawarkan kenderaan tenaga baharu pada masa hadapan," kata  Roslan Abdullah.


Selepas memulakan tahun 2022 dengan pelbagai isu, ketersediaan alat ganti akibat kesan berlarutan daripada banjir pada bulan Disember 2021, COVID-19 dan kekurangan cip mikro global, jumlah pengeluaran PROTON telah stabil membolehkan syarikat menyerahkan lebih banyak unit kepada pelanggan yang menunggu.


Sumber Foto : Proton Cars

Ini paling ketara dengan Proton X50, kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Malaysia, yang bergelut untuk memenuhi permintaan sejak dilancarkan pada Oktober 2020.


Dengan 4,517 unit diserahkan pada bulan September, lebih 4,000 unit telah diserahkan selama empat bulan berturut-turut dan ini menyumbang kepada jumlah terkumpul setakat tahun ini sebanyak 29,591 unit, peningkatan sebanyak 78.2 peratus berbanding sembilan bulan pertama 2021.


Proton Saga turut mencatatkan angka yang mengagumkan.


Terjejas teruk akibat banjir tahun 2021 yang menyebabkan penyerahan merosot kepada hanya 76 unit pada Januari, model popular itu mencatatkan paras tertinggi baharu untuk 2022 dengan 6,442 unit, jumlah yang tidak pernah dicapai sejak Oktober 2013.


Model lain menunjukkan prestasi yang baik pada September.


Sumber Foto : Proton Cars


Proton X70 terus menerajui pasaran SUV segmen C dan dengan 1,730 unit diserahkan, jumlah jualan terkumpul kini berjumlah 14,145 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 32.1 peratus.


Proton Exora juga terus menunjukkan popularitinya walaupun terdapat pelancaran kenderaan pelbagai guna (MPV) pesaing yang lebih baharu.


Dengan 418 unit diserahkan bulan September 2022, jumlah jualan setakat tahun ini meningkat 15.6 peratus apabila 3,108 unit telah diserahkan.


Proton Persona mencatatkan 1,159 unit, manakala Proton Iriz mencatatkan 606 unit pada bulan September 2022.


Kedua-duanya masing-masing merosot 2.3 peratus dan 13.2 peratus dengan jumlah jualan setakat tahun ini 10,787 unit dan 4,119 unit, pemulihan dijangka berlaku pada suku terakhir ini kerana bekalan cip serta pengeluaran terus stabil.


Sementara itu, hasil langsung daripada permintaan yang kukuh untuk produk PROTON ialah pertumbuhan pembiayaan oleh anak syarikatnya, Proton Commerce Sdn Bhd.


Pada bulan September 2022, syarikat itu mengeluarkan 2,872 pinjaman, melepasi pencapaian tertinggi sebelumnya pada bulan Mac. Ini meningkatkan jumlah pinjaman yang dijamin pada tahun ini kepada 15,504, melebihi 14,550 pinjaman yang dikeluarkan pada keseluruhan tahun lalu.

Counter-Strike’ players are faster decision-makers, study shows

By : Mohd Ezli Mashut   Key Points - Research suggests that experienced Counter-Strike players make decisions faster, with a study showing t...