Tuesday 19 November 2019

BISNES | Nilai Firma Petroleum Aramco Cecah RM7.1 Trilion

The logo of Saudi Aramco is seen at the 20th Middle East Oil & Gas Show and Conference in Manama, Bahrain, Mar 7, 2017. (Photo: Reuters/Hamad I Mohammed)

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi pada Ahad mengumumkan nilai syarikat gergasi minyaknya, Aramco ketika ini bernilai AS$1.71 trilion (RM7.1 trilion).

Susulan itu, ia menjadikan pelaksanaan tawaran awam permulaannya (IPO) syarikat itu adalah yang terbesar di dunia, biarpun nilai itu berkurangan daripada anggaran awal oleh Putera Mahkotanya, Mohammed bin Salman iaitu AS$2 trilion (RM8.31 trilion).

Aramco berkata, ia akan menjual 1.5 peratus kepentingan sahamnya dalam syarikat itu menerusi IPO yang bernilai antara AS$24 bilion hingga AS$25.6 bilion, lebih rendah daripada rancangan asal kerajaan Arab Saudi untuk menjual sehingga lima peratus kepentingan firma petroleum itu.

"Saiz tawaran asas itu adalah 1.5 peratus daripada saham sedia ada syarikat itu," kata syarikat milik kerajaan negara itu. Ia mula menerima bidaan daripada pelabur dalam jajaran harga antara 30 riyal hingga 32 riyal Saudi (RM33 hingga RM35) sesaham.

Tawaran yang tertangguh sekian lama itu, adalah titik asas kepada rancangan bercita-cita tinggi Putera Mahkota Mohammed untuk mempelbagaikan ekonomi negara itu yang amat bergantung kepada minyak.

Ia berkemungkinan mampu mengatasi nilai penyenaraian terbesar di dunia sebelum ini iaitu gergasi peruncitan, Alibaba iaitu sebanyak AS$25 bilion pada tahun 2014.

Tetapi rancangan itu tersasar jauh daripada sasaran utama Mohammed untuk meraih sehingga AS$100 bilion daripada penyenaraian berkembar, penyenaraian pertama sebanyak dua peratus di Bursa Tadawul di negara itu, diikuti tiga peratus di pasaran asing.

Firma itu berkata tiada rancangan buat masa ini untuk menjual saham itu di peringkat antarabangsa, yang mana menggambarkan seolah-olah disasarkan untuk permintaan tempatan, dengan satu pertiga daripada tawaran IPO itu dikhaskan untuk pelabur runcit Arab Saudi.

Aramco memulakan jelajah pelabur pada Ahad, tetapi sumber yang rapat dengan syarikat itu memberitahu AFP yang ia tidak akan memasarkan sahamnya di luar negara, termasuk Amerika Syarikat, seperti perancangan awalnya.

Sumber itu bagaimanapun tidak memberi penjelasan selanjutnya tetapi penganalisis berkata ia kerana penyenaraian itu tidak selaras dengan keperluan pengawalseliaan AS.

Aramco juga telah membatalkan rancangan untuk melakukan penyenaraian di bursa asing seperti New York kerana risiko litigasi. 

SUMBER: AFP

No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...