Friday 4 March 2022

CTOS Tidak Senarai Hitam Individu, Keputusan Mohon Pinjaman Dibuat Pemberi

  Logo : CTOS

KEWANGAN | CTOS Data Systems Sdn Bhd menegaskan bahawa pihaknya menyatukan dan menyediakan maklumat kredit mengenai tingkah laku pembayaran pengguna, yang diperoleh daripada sumber data awam dan proprietari serta pelanggannya untuk pemberi pinjaman dan pemberi kredit.


Ketua Pegawai Eksekutif CTOS menjelaskan justeru, sebagai antara lapan agensi pelaporan kredit swasta, ia tidak menyenaraihitamkan mana-mana pihak.


"Kami tidak mengeluarkan sebarang keputusan, sebaliknya menunjukkan dengan tepat bagaimana pengguna menguruskan kredit mereka.


"Keputusan mengenai permohonan kredit dibuat secara eksklusif oleh pemberi pinjaman dan pemberi kredit itu sendiri, mengikut minat risiko, dasar dan strategi perniagaan mereka," kata  Eric Chin dalam kenyataan media pada 4 Mac 2022/Jumaat/ 1 Syaaban 1433.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Yayasan My First Home, Tan Sri Vincent Tan semasa pelancaran yayasan itu bahawa kira-kira separuh daripada kalangan mereka yang mahu membeli rumah kos rendah gagal memperoleh pembiayaan.


Sebelum ini media melaporkan Tan sebagai berkata, ini disebabkan penarafan kredit lemah dan disenaraihitamkan agensi kredit seperti CTOS dan pemberi pinjaman lain kerana tidak membayar jumlah belum bayar kepada syarikat kad kredit, sewa beli dan pelan pembayaran ansuran lain.


Beliau juga dipetik sebagai berkata peminjam turut disenaraihitamkan dan diklasifikasikan sebagai tidak mempunyai kepercayaan kredit walaupun jumlah tertunggak dan terhutang adalah agak kecil.


Eric berkata sebagai agensi pelaporan kredit utama di Malaysia, CTOS komited dalam melaksanakan sebahagian usahanya membantu individu dan perniagaan memperoleh kredit.


Pihaknya juga komited terbabit dalam dialog atau perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengawalseliaan dan pihak media, dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan agensi pelaporan kredit dan sumbangan positifnya kepada ekonomi negara.


No comments:

Post a Comment

Penggunaan Mesin Penuai Kawalan Jauh dan Robot dalam Penanaman dan Penuaian Padi

    AI image generated by : Mohd Ezli Mashut Oleh : Mohd Ezli Mashut & ChatGPT Pendahuluan Pertanian merupakan salah satu sektor penting...