Tuesday, 29 March 2022

Bank Negara Unjur Pertumbuhan Ekonomi Kekal 5.3 hingga 6.3 Peratus Pada 2022

    Sumber Foto: MOF


EKONOMI | Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus bertambah baik dengan berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada tahun 2022, meningkat daripada pertumbuhan 3.1 peratus pada 2021, kata Bank Negara Malaysia (BNM).


Bank pusat itu dalam laporan Kajian Ekonomi dan Kewangan 2021 (EMR 2021) yang dikeluarkan pada 30 Mac 2022 menjelaskan unjuran itu disokong pengembangan berterusan dalam permintaan luar, penarikan balik sepenuhnya langkah pembendungan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan keadaan pasaran buruh/tenaga kerja semakin baik.


Katanya pelaksanaan projek pelaburan dan langkah dasar yang disasarkan memberikan sokongan seterusnya kepada aktiviti ekonomi dan permintaan agregat.


BNM berkata pemulihan sektor swasta lebih kukuh, disokong oleh penambahbaikan pasaran buruh/tenaga kerja menjadi pemacu pertumbuhan utama pada 2022.


Jelasnya apabila aktiviti ekonomi meningkat, kadar pengangguran dijangka terus berkurangan pada 2022 kepada kira-kira 4.0 peratus daripada tenaga buruh, disokong langkah disasarkan untuk melonjakkan permintaan buruh, memudahkan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran serta mengurangkan geseran pasaran buruh.


Katanya ia menambah pemulihan berterusan dalam pekerjaan dan pendapatan dijangka memacu peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah, manakala kemajuan dalam vaksinasi dan penarikan balik langkah pembendungan membawa kepada peningkatan dalam keyakinan pengguna selain beberapa permintaan terpendam dapat direalisasikan.


"Hasilnya, penggunaan swasta dijangka melonjak 9.0 peratus (2021: naik 1.9 peratus) manakala pelaburan swasta juga diunjur pulih, meningkat 5.3 peratus pada 2022 daripada 2.6 peratus pada 2021, disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan pelaksanaan projek pelaburan baharu dan yang sedang dijalankan," katanya.


Mengenai pelaburan awam pula, BNM berkata ia diunjurkan berkembang 9.6 peratus pada 2022 berbanding penguncupan 11.4 peratus tahun 2021, didorong oleh perbelanjaan modal berterusan kerajaan dan syarikat awam.


"Penggunaan awam dijangka berkembang 1.2 peratus pada 2022 daripada 6.6 peratus pada 2021, penyederhanaan itu disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam emolumen dan penguncupan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan," katanya.


Ia menyatakan bahawa langkah dasar disasarkan dijangka kekal untuk memudahkan momentum pemulihan.


Walaupun menyedari langkah pembendungan lebih meluas berpotensi dilaksanakan semula disebabkan kebangkitan semula penularan COVID-19 seperti kemunculan varian membimbangkan (VOC) yang teruk dan tahan vaksin merupakan risiko penurunan utama kepada pertumbuhan domestik, BNM tetap mengunjurkan risiko keseluruhan condong ke arah bawah.


"Pertumbuhan global yang lebih tinggi daripada jangkaan dan peningkatan lebih kukuh daripada jangkaan dalam sektor berkaitan pelancongan di tengah-tengah pembukaan semula sempadan menimbulkan risiko meningkat kepada pertumbuhan domestik," katanya.


Semua Sektor Ekonomi Diunjurkan Berkembang Pada 2022, Diterajui Sektor Perkhidmatan


Menurut BNM, semua sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2022, dengan sektor berorientasikan eksport terus mendapat manfaat daripada permintaan luar dan pengembangan kapasiti pengeluaran domestik yang kukuh.


Katanya sektor perkhidmatan dijangka menyaksikan pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.9 peratus daripada 1.9 peratus pada 2021, diikuti pembinaan (6.1 peratus daripada -5.2 peratus pada 2021), pembuatan (5.2 peratus daripada 9.5 peratus pada 2021), perlombongan dan kuari (2.5 peratus daripada 0.7 peratus pada 2021) dan pertanian (1.5 peratus daripada -0.2 peratus pada 2021).


Bank pusat itu menambah jangkaan pertumbuhan lebih tinggi bagi sektor perkhidmatan diterajui subsektor berkaitan pengguna dan pelancongan; pertumbuhan dalam sektor pembuatan disokong kelompok atau kluster elektrik dan elektronik (E&E) berikutan permintaan global berterusan; dan pemulihan dalam sektor pertanian dipacu terutamanya pengeluaran minyak sawit lebih tinggi.


Bagi sektor perlombongan, BNM berkata ia dijangka mencerminkan peningkatan berterusan dalam pengeluaran minyak mentah dan gas asli susulan pengoperasian kemudahan baharu seperti projek gas Pegaga di luar pantai Sarawak; manakala pertumbuhan dalam sektor pembinaan dijangka pulih berikutan pembukaan semula ekonomi. 

Friday, 25 March 2022

Bank Negara Perkenal MYOR-i Rangsang Pembangunan Inovasi Produk Kewangan Islam


   Sumber Foto: Bank Negara Malaysia


PERBANKAN | Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) yang bakal merangsang pembangunan inovasi produk kewangan patuh syariah seterusnya memperkukuh pasaran kewangan Islam Malaysia.


BNM dalam kenyataan media pada 25 MAC 2022 menjelaskan MYOR-i juga bakal mengukuhkan ekosistem patuh syariah holistik serta meningkatkan amalan dan piawaian pasaran terbaik.


Katanya MYOR-i menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (KLIRR), yang akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.


"MYOR-i adalah kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia dan dibangunkan mengikut Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan.


"Ia akan menjadi pemangkin dalam memacu inovasi produk kewangan Islam dan mewujudkan ketelusan bagi peserta pasaran untuk berunding dan menyeragamkan kontrak kewangan mereka, seterusnya mencapai penetapan harga yang cekap merentas semua instrumen kewangan," menurut BNM.


Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh : 


BNM melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia bagi merangsang inovasi produk kewangan Islam


Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelancaran Kadar Semalaman Islam Malaysia (Malaysia Islamic Overnight Rate, MYOR-i). 


Pengenalan MYOR-i akan merangsang pembangunan produk kewangan patuh Syariah yang inovatif yang akan terus memperdalam pasaran kewangan Islam Malaysia. MYOR-i juga akan mengukuhkan ekosistem patuh Syariah yang holistik serta meningkatkan amalan dan piawaian pasaran yang terbaik.


MYOR-i merupakan kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia. Kadar ini dibangunkan menurut Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan [1]. Majlis Penasihat Shariah (MPS) BNM juga telah mengesahkan status patuh Syariah MYOR-i. 


MYOR-i akan menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Reference Rate, KLIRR), yang akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.


Dalam usaha membangunkan MYOR-i, BNM telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) [2] dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam (Islamic Market Technical and Development Committee, IMTDC) AIBIM-FMAM [3]. Dokumen dasar MYOR-i telah diterbitkan melalui laman sesawang BNM dengan ciri utama dan piawaian tadbir urus yang berikut:


MYOR-i ditadbir dan dikira oleh BNM. MYOR-i merupakan kadar pulangan purata berwajaran jumlah (volume-weighted average rate of return) bagi urus niaga Ringgit semalaman patuh Syariah antara bank tanpa cagaran, termasuk operasi monetari semalaman Islam BNM [4].


MYOR-i pada masa ini adalah berasaskan instrumen Murabahah Komoditi. Instrumen patuh Syariah yang baharu boleh dimasukkan pada masa hadapan.


MYOR-i untuk mana-mana hari bekerja di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada pukul 12 tengah hari pada hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM.


BNM akan melakukan penilaian berkala terhadap MYOR-i bagi memastikan MYOR-i terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas.


Penubuhan MYOR-i sebagai kadar penanda aras Islam akan menjadi pemangkin dalam memacu inovasi produk kewangan Islam dan mewujudkan ketelusan bagi peserta pasaran untuk berunding dan menyeragamkan kontrak kewangan mereka, seterusnya mencapai penetapan harga yang cekap merentas semua instrumen kewangan. 


Hal ini akan membantu memperdalam pasaran kewangan Islam dalam negeri dan meningkatkan peranannya untuk membiayai kegiatan ekonomi benar di Malaysia.


Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pasukan Tinjauan Penanda Aras Kewangan (Financial Benchmark Review) BNM melalui fbr@bnm.gov.my.


Lihat juga:


Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) dan jumlah agregat

https://www.bnm.gov.my/myor-i


Dokumen Dasar Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i)

https://www.bnm.gov.my/documents/20124/938039/pd-myor-i.pdf


Nota kaki


[1] Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan dibangunkan oleh Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (International Organization of Securities Commission, IOSCO). IOSCO menyediakan rangka kerja yang menyeluruh bagi prinsip untuk penanda aras yang digunakan dalam pasaran kewangan.


[2] FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016. Keahlian FMC terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.


[3] AIBIM: Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia)

FMAM: Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (Financial Markets Association Malaysia)


[4] Tidak termasuk Kemudahan Tersedia.


Bank Negara Malaysia

25 Mac 2022


Tuesday, 22 March 2022

KLIA, Langkawi Dinobatkan Antara Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2021

    KLIA



PENERBANGAN | Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) dipilih sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia.


Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan media pada 23 Mac 2022 berkata pemilihan itu berdasarkan kepada kategori masing-masing bagi 2021 dalam kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) yang dijalankan oleh Airports Council International (ACI).


KLIA dan LIA mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu lapangan terbang yang memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan setahun dan dua hingga lima juta pelanggan setahun. 


ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi keseluruhan kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.


Penghargaan terbaharu oleh badan global itu memberi dorongan kepada MAHB untuk terus mengekalkan standard tinggi perkhidmatannya terutama dengan jangkaan peningkatan penumpang selepas sempadan Malaysia dibuka semula pada 1 April 2022.


Kumpulan itu merekodkan sejumlah 4.66 juta penumpang pada Februari 2022, yang mana 2.54 juta penumpang atau 55 peratus disumbang oleh rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45 peratus daripada asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG).


Di Malaysia, pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa sebanyak 280,000, manakala ISG mencatatkan 1.09 juta penumpang domestik dan 1.03 juta penumpang antarabangsa.


Bagi operasi kargo, kumpulan itu merekodkan peningkatan jumlah tan sebanyak 17.4 peratus bulan lalu yang mana kira-kira 86,768 tan metrik bagi operasi kargo di Malaysia dan juga di Turki, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.


Syarikat penerbangan kargo milik Malaysia, Kargo Xpress yang memulakan operasinya di KLIA pada Jun 2021, memulakan laluan baharu Kuala Lumpur-Hong Kong selain mengendalikan dua penerbangan kargo tempatan ke Kuching dan Kota Kinabalu.


Ia kini menawarkan perkhidmatan penerbangan harian ke Hong Kong ekoran pertumbuhan permintaan terhadap kargo udara daripada sektor e-dagang, perkhidmatan pos, penghantaran dan industri yang memerlukan perkhidmatan logistik bernilai tinggi.


Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata trafik dijangka pulih dengan stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila lebih banyak negara membuka semula sempadan sejajar dengan kadar vaksinasi tinggi di rantau ini.


Ia berkata, peningkatan seterusnya dijangkakan bermula separuh kedua 2022.


Penutupan ruang udara Ukraine dan Russia ekoran konflik antara kedua-dua negara itu ketika ini menganggu sementara penerbangan antara ISG Istanbul, Ukraine dan Russia (Moscow dan St Petersburg).


Bagi Asia Pasifik, penutupan ruang udara itu menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa mengubah semula laluan penerbangan ke Eropah, yang menyebabkan penambahan masa penerbangan dan peningkatan penggunaan bahan api dan kos.


Kumpulan itu sedang memantau perkembangan di Ukraine selain peningkatan harga bahan api pesawat dan akan terus menilai impaknya kepada trafik antarabangsanya.


Friday, 18 March 2022

Public Bank, Carsome Jalin Kerjasama Pembiayaan Kereta Lebih Cekap, Lancar


      Logo: Carsome


PERBANKAN | Public Bank Bhd dan Carsome memeterai memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama dalam pembiayaan kereta pada 18 Mac 2022.


MOU itu ditandatangani Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek dan Pengasas Bersama/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng.


LANJUT > https://invol.co/cl9tkpr


Di bawah MoU itu, bank terbabit bakal menyediakan pembiayaan stok dan pengaturan pembiayaan akhir kenderaan kepada peniaga kereta yang juga ahli dan pembeli individu yang memenangi bidaan di platform dalam talian Carsome.


Public Bank dalam kenyataan media pada 18 Mac 2022 berkata ia turut menawarkan pembiayaan produk/perkhidmatan borong kepada pelanggan Carsome.


Ah Lek berkata, kerjasama itu bertujuan menawarkan penyelesaian perkhidmatan kewangan komprehensif iaitu akaun semasa PB, PB Enterprise, pengurusan tunai dan perkhidmatan pedagang kad kredit saudagar dengan keutamaan dari segi syarat untuk Carsome dan ahli peniaga-peniaga keretanya.


"Kerjasama ini akan membolehkan Public Bank untuk berhubung kait dengan platform dalam talian Carsome bagi menyediakan sistem pembiayaan kenderaan yang lebih cekap dan lancar, sekali gus dapat mengurangkan tempoh pemprosesan serta meminimumkan dokumen fizikal untuk pembiayaan yang berjaya membida kenderaan.


"Public Bank yakin kerjasama ini dapat meningkatkan lagi bahagian pasarannya dalam segmen pembiayaan kenderaan," katanya.


Cheng berkata visi kumpulan itu adalah mewujudkan ekosistem kenderaan terpakai dalam talian bersepadu yang menyeluruh.


"Oleh itu, kerjasama dengan Public Bank ini akan membolehkan kami mencapai matlamat ini kerana berupaya menawarkan lebih banyak pilihan pembiayaan kepada pelanggan serta rakan peniaga apabila berurusan dengan kami," katanya.

Wednesday, 16 March 2022

AirAsia X Muktamad Struktur Semula Hutang, Pulihkan Liabiliti RM33 Bilion


PENERBANGAN | AirAsia X Bhd (AAX) mengemukakan perintah sekatan bagi penstrukturan semula hutangnya kepada Pendaftar Syarikat (ROC) dengan formaliti penstrukturan semula kini sudah selesai.


AAX dalam kenyataan media pada 16 Mac 2022/Rabu berkata cadangan penstrukturan semula hutang itu diluluskan pemiutangnya pada 12 November 2021 dan Mahkamah Tinggi Malaya pada 16 Disember 2021.


"Perintah sekatan itu bermakna bahawa kesan kewangan boleh diiktiraf dalam penyata kewangan syarikat dan seterusnya AAX akan dapat memulihkan liabiliti berjumlah RM33 bilion dan peruntukan untuk liabiliti yang telah diketepikan di bawah skim itu.


"Kesan penuh ke atas penyata pendapatan dan lembaran imbangan syarikat itu akan dinyatakan dalam pengumuman suku tahunan Bursa Malaysia," katanya.


Penyerahan perintah sekatan itu kini membuka jalan bagi meneruskan cadangan pengumpulan dana, katanya.


Berikut adalah kenyataan media penuh :


AirAsia X announces the final completion of its debt restructuring and a write back of RM33 billion to profits


SEPANG, 16 March 2022 - AirAsia X (AAX) has today lodged the Sanction Order for its debt restructuring with the Registrar of Companies with the formalities of the restructuring now completed.


The debt restructuring proposal was approved by its creditors on 12 November 2021 and by the High Court of Malaya on 16 December 2021.


The lodgement of the Sanction Order means that the financial effects can be recognised in the financial statements of the Company and, as a result, AAX will be able to reverse RM33 billion of liabilities and provisions for liabilities which have been waived under the scheme. The full effects on the income statement and balance sheet of the company will be reflected in the next quarterly Bursa Announcement. 


The lodgement of the Sanction Order will now pave the way for the completion of the proposed fund raising. 


AirAsia X CEO Benyamin Ismail said: ”This is another significant step in rebuilding AAX, post pandemic. We are returning to the skies in a robust position where we can once again offer the best value fares and customer service excellence which our customers deserve. 


“Cargo has been a strong lifeline for AAX and our recovery is already underway as a combination carrier with equal emphasis on cargo and passenger revenues.


“We look forward to offering more value for money services across our core network in tandem with cargo and consumer demand. In the next two months we will recommence passenger services to several more international destinations in line with borders reopening with exciting offerings for guests and particularly to our customers that have travel credits with us.”

***

About AirAsia X - airasiax.com

AirAsia X (AAX) is the medium haul, low-cost affiliate of the AirAsia Group operating an all wide body A330-300 fleet. The airline together with its Thai associate Thai AirAsia X (TAAX) have carried over 19 million guests since commencing service in 2007. 

In 2021, the airline was successfully restructured and is now relaunching service as a combination carrier with equal emphasis on both cargo and passengers, working in partnership with global freight forwarders. As international borders reopen, AAX is well poised to compete very effectively in the markets where it operates with perhaps the lowest cost structure of any similar airline globally.

airasia ride Perkenal Pilihan Shidmat Pemandu Wanita LadiesONLY

      Sumber Foto: AirAsia

Perkhidmatan e-panggilan airasia Super App, airasia ride memperkenalkan pilihan pemandu wanita dikenali sebagai LadiesONLY untuk pelanggan wanita, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya.


Lim Chiew Shan dalam kenyataan media pada 16 Mac 2022 berkata ciri LadiesONLY memberikan pilihan kepada penumpang wanita untuk memilih pemandu wanita bagi perjalanan lebih selesa.


Katanya, pelancaran LadiesONLY ini juga permulaan kepada ciri Pemandu Komuniti yang dikembangkan tidak lama lagi.


airasia ride ketika ini mempunyai 500 pemandu wanita yang disasarkan untuk meningkat kepada 5,000 pemandu tahun 2022.


Berikut adalah kenyataan media penuh : 


airasia ride lancar ciri Pemandu Komuniti, bermula dengan LadiesONLY


-Penumpang wanita kini boleh memilih ciri LadiesONLY untuk perjalanan yang lebih selesa


-Bekerjasama dengan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) sempena Hari Wanita Antarabangsa dan menderma semua hasil perjalanan daripada ciri LadiesONLY kepada wanita yang memerlukan 


-Pelbagai ciri komuniti akan dilancarkan tidak lama lagi untuk memenuhi keperluan penumpang yang berbeza


KUALA LUMPUR, 16 Mac 2022 - Perkhidmatan e-panggilan paling pesat berkembang oleh airasia Super App, airasia ride hari ini melancarkan ciri baharunya iaitu Pemandu Komuniti untuk memenuhi keperluan penumpang yang berbeza dan akan bermula dengan pilihan pemandu wanita atau LadiesONLY. 


Ciri LadiesONLY akan memberi penumpang wanita pilihan untuk memilih pemandu wanita, dan sebaliknya untuk perjalanan yang lebih selesa. Untuk menempah perjalanan LadiesONLY, mereka hanya perlu menekan ikon ‘Ride’ pada airasia Super App.


airasia ride juga akan menaja pemandu wanita yang ingin menyertai airasia ride buat kali pertama tanpa pengalaman e-panggilan atau tanpa lesen e-panggilan dengan faedah eksklusif bernilai sehingga RM400 seperti pengecualian yuran untuk kursus pembelajaran dan ujian PSV serta pemeriksaan perubatan percuma. 

Manakala semua pemandu wanita aktif dan baharu akan menerima kamera dalam kenderaan percuma (tertakluk kepada terma dan syarat). 


Mereka yang berminat untuk menyertai airasia ride sebagai Allstars boleh mendaftar dengan memuat turun aplikasi pemandu airasia ride atau layari halaman ini untuk mendaftar. 


Selain ciri LadiesONLY, airasia ride akan memperkenalkan beberapa kategori Pemandu Komuniti lain dalam beberapa bulan akan datang: 


PriorityRide: Nikmati masa menunggu yang lebih singkat dan dipandu oleh pemandu dengan penilaian tertinggi


Joy in the ride: Nikmati perjalanan yang menyeronokkan dan penuh kejutan 


DriveForMe: Nikmati ciri pemandu peribadi untuk kenderaan anda jika anda tidak dapat memandu sendiri


QuietDriver: Nikmati perjalanan yang lebih tenang


Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App berkata, “Kami sentiasa berinovasi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan pengalaman yang diperibadikan untuk pengguna airaisa Super App dan pemandu atau rakan penghantar kami daripada perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makanan dan bungkusan. 


Kami memahami bahawa penumpang airasia ride mempunyai keperluan yang berbeza, dan kami yakin ciri Pemandu Komuniti, bermula dengan ciri LadiesONLY akan menarik minat pengguna airasia ride sedia ada dan menarik lebih ramai pengguna baharu. 


Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan penumpang ke-sejuta apabila kami menambah lebih banyak ciri Pemandu Komuniti tidak lama lagi.” 


Lim Chiew Shan, Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride berkata: “Kami berbesar hati untuk melancarkan ciri LadiesONLY hari ini sebagai permulaan kepada ciri Pemandu Komuniti yang akan mewujudkan perjalanan yang lebih baik dan selesa untuk para penumpang dan pemandu wanita kami. Ciri Pemandu Komuniti kami menawarkan kelainan baharu dalam perjalanan harian anda. 


Sama ada anda ingin melakukan perjalanan segera, menikmati perjalanan yang jauh untuk ke pejabat, memerlukan seseorang untuk memandu kenderaan anda atau ingin menikmati perjalanan yang lebih tenang, semuanya tersedia di airasia ride. Nantikan pelbagai ciri menarik baharu pada airasia Super App apabila anda menempah perjalanan dengan airasia ride!”


Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa baru-baru ini, airasia ride akan menderma semua hasil (kecuali komisen untuk para pemandu) daripada ciri LadiesONLY antara 8 Mac 2022 dan 7 April 2022 kepada komuniti wanita yang memerlukan melalui Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO). 


Para pemandu airasia ride juga mempunyai kelebihan tambahan untuk memanfaatkan jenama syarikat penerbangan tersebut untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan yang melakukan perjalanan ke dan dari lapangan terbang. 


Para tetamu dalam penerbangan AirAsia kini mempunyai pilihan untuk menempah perjalanan mereka selepas membeli penerbangan mereka, membolehkan pemandu mendapatkan tempahan lebih awal dan merancang perjalanan mereka dengan lebih cekap dan produktif. 


Mereka juga akan mempunyai maklumat ketibaan penumpang dalam masa nyata, membolehkan mereka menguruskan masa dengan lebih baik dan mengurangkan masa menunggu jadi mereka boleh membuat lebih banyak perjalanan dan menjana lebih banyak pendapatan. 


Selain itu, para pemandu akan menerima 85% daripada tambang bersih (tidak termasuk caj tol), yang mana ia lebih tinggi daripada perkhidmatan e-panggilan lain di pasaran, menjadikannya pilihan pekerjaan sambilan dan peluang menjana pendapatan sampingan yang berdaya maju. 


Tambang untuk perjalanan airasia ditetapkan berdasarkan harga yang berpatutan, mengambil kira kemampuan para tetamu di samping mengimbangi masa perjalanan tambahan berikutan kesesakan trafik.


Untuk promosi dan tawaran istimewa airasia ride, ikuti@airasiasuperapp di Instagram.

Monday, 14 March 2022

Suruhanjaya Sekuriti Gesa Masyarakat Waspada Pelaburan Tipu Guna Telegram



PELABURAN | Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang awam mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan dipromosikan dalam aplikasi Telegram.


SC dalam kenystaan media pada 15 Mac 2022 berkata, sejak Januari 2022, ia menerima 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram dipromosikan melalui Telegram.


Jelasnya skim penipuan itu menawarkan peluang pelaburan tidak wujud serta menjanjikan pulangan sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat.


Tegasnya skim itu kebiasaannya menawarkan pulangan tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam tempoh 24 jam atau beberapa jam.


SC menjelaskan pihak berkenaan menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan. 

"Mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram itu.


"Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh Syariah. Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej yang ditawarkan," katanya.


Selain itu, pengawal selia pasaran modal itu berkata, pelabur sering diarahkan untuk mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti yang sah, dan ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan.


Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka dan skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.


"SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko yang sedikit atau tiada. Pelabur juga tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan.


"SC menggesa orang ramai untuk merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur," katanya.


Senarai berkenaan katanya, mengandungi butiran laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran.


Selain itu, SC meminta orang awam yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh firma atau individu yang tidak dibenarkan dan yang menawarkan skim dengan pulangan tidak realistik boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my.

Counter-Strike’ players are faster decision-makers, study shows

By : Mohd Ezli Mashut   Key Points - Research suggests that experienced Counter-Strike players make decisions faster, with a study showing t...